Tuesday, October 27, 2015

Terus berjalan

Alhamdulillah atas nikmat yang diberi. Nikmat Islam dan Iman. Nikmat badan yang sihat dan waktu lapang. Moga semua ini digunakan sebaiknya untuk kebaikan.

Lama sudah tidak dicoretkan kisah, kehabisan kata barangkali. Moga Allah istiqamahkan diri untuk menitip kisah yang boleh dikenang dan diambil iktibar.

_______________________________________________________________

Matanya mengerling melihat waktu di telefon bimbitnya. Mencongak masa, bimbang kelewatan menghadiri temu janji sahabat. Anak matanya diarahkan pada laluan tram itu, melihat-lihat bayang gerabak biru putih itu. Senafas lega dilepaskan tatkala yang ditunggu sudah tiba di perhentian sebelumnya.

Dia membuang pandang ke sekeliling. Menghormati refleks deria pendengaran pabila menangkap bunyi tram dari arah berlawanan. Sekilas matanya berhenti pada susuk tubuh pemuda di atas kerus roda.  Dalam kelam malam, cuba melintas laluan tram menggunakan kerusi roda. Tidak pasti apa kena dengan tangannya, namun dirinya menggunakan kakinya untuk menggerakkan kerusi roda itu. Setapak demi setapak terus kehadapan. Wajah pemuda itu nampak tenang. Sehingga dia yang melihatnya merasa kagum. Tram berhenti memberi laluan pada pemuda kerusi roda itu. Seorang pemuda lain menolong menolak kerusi rodanya melintasi laluan tram itu. Menolak sehingga melintasi laluan kereta pula. Dan pemuda itu mengucap terima kasih atas bantuan diberi. Seolah dia berkata lagi, "Cukup hingga ke sini. Aku boleh teruskan bergerak sendiri," Namun si pemberi bantuan itu terus menolak kerusi roda itu lagi. Sehingga hilang dari pandangannya.

Tram dari perhentian sebelumnya sudah sampai. Namun seolah dirinya tidak puas menghayati drama sebabak itu. Tubuhnya meninjau hingga kemanakah dua watak lakonan dunia itu menghilang. Ingin mengetahui penghujung kisah. Tram yang dinaiki sudah bergerak berlawan arus mereka. Dirinya akur, dia juga punya skrip lakonan yang bakal dipentaskan di akhirat kelak. Ceritanya harus diteruskan. Dan dia bermuhasabah sebentar.

Dia bermonolog sendiri. Daya apakah yang ada pada pemuda itu hingga mampu terus berjalan, hatta berkerusi roda di tengah kota raya ini? Yang bukan setakat menempuhi lorong kecil, berselisih dengan beberapa kelibat manusia di tengah perjalanan.

Bahkan di kota ini, kenderaan pelbagai. Kotak besi tram, bas, kereta, van, motosikal, basikal bahkan kadangkala kuda dan keldai yang menarik muatannya juga berkongsi ruang perjalanan ini. Juga lautan manusia. Hiruk pikuk kota yang harus ditempuhi dengan sejuta ragam dengan tabah dan sabar. Sehingga yang tidak tahan iman akan berhenti menapak, mengeluh lantas menyembunyikan diri di dalam gua.

Itulah kehidupan ini. Dia insaf sendiri. Bagaimana dia boleh berputus asa, sedang umurnya yang baru ingin mencecah 24 tahun boleh mengalah? Tubuhnya masih kuat, akalnya masih cerdas, kudratnya masih utuh. Seharusnya dia gigih mencari bekal buat kehidupan yang akan datang. Dia mesti kuat. Hidupnya bukan sekadar di sini. Dunia hanya tempat persinggahan, ujian buat penentuan pengakhiran yang abadi.

Tram sudah meninggalkan stesen itu. Bergerak perlahan, menurunkan penumpang dan mengambil penumpang di setiap stesen. Satu stesen lagi dia akan sampai ke destinasinya. Azam disemat, semangat dibakar. Dia memasang niat. Semoga reda Allah sentiasa mengiringinya dalam menyumbang bakti untuk Islam dan umat keseluruhannya.

Monday, September 21, 2015

Kelas Radiology

Alhamdulillah, atas kehadiran orang-orang yang dikirimNya pada kita buat pengubat hati di kala rindu, pengingat diri di kala alpa, penenang di kala resah.

______________________________________________________________________________

Kelas Radiology hari ini dijadual pukul 8 pagi. Agak awal di kala kebiasaannya yang perlu hadir pukul 9. Sesampai di bangunan kuliah, pintu masih terkunci. Lantas, ditanya pada pekerja yang bertugas, ada kekeliruan rupanya. Makluman yang diperoleh, kelas sepatutnya bermula pukul 9. Aduh, dia mengeluh.

Kelas itu tidak sebosan seperti yang dicanang. Lumrah benda yang hitam putih mungkin pada zahirnya seolah tiada tarikan, tidak seindah wara-warni pelangi. Seolah kembali pada zaman sekolah pun ada, mengingat semula konsep yang dipelajari dalam subjek Fizik. Sungguh, banyak prinsip-prinsip yang memajukan bidang Radiology adalah hasil usaha pemahaman saintis tentang sains gunaan, bukan sains hidupan yang menjadi akar dalam bidang perubatan. Sehinggalah kita dapat mendiagnose banyak penyakit berdasarkan gambaran (imaging) melalui X-rays, CT scan, MRI dan banyak lagi pecahannya.

Dia tertarik dengan pesanan ringkas yang dititip profesornya pada hari tu ketika menerangkan konsep yang diaplikasikan dalam mesin besar MRI  (Magnetic Resonance Imaging).

Kata beliau, perkara itu berdasarkan komposisi air dalam badan kita yang terdiri dari molekul H2O. Makanya, dalam badan kita ada cas-cas ion yang sentiasa bergerak-gerak. Cas ini akan menjadi aktif seterusnya menyebabkan kita menjadi gembira bila kita bersama dengan orang yang kita sayang.

Kata guru itu lagi, kebahagiaan itu dari dalam badan kita sendiri, bukan persekitaran kita.

Justeru, bila kita bersama dengan orang yang kita sayang, kita gembira. Lalu, bagaimanakah untuk kita mencari kebahagiaan yang hakiki?

Pesan guru itu, hadirkanlah hati bersama Pencipta. Kuasa yang Maha Besar.

Noktah. Sila beramal.

Mood mencemburui mereka yang dipilih untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji tahun ini. Semoga Allah sampaikan aku ke sana....

Saturday, September 19, 2015

Dimana?

Alhamdulillah.

______________________________________________________________________

" Pernah tak rasa mujahadah sampai nak mati? Seolah sudah penat sampai mati lebih baik?"

Soalan yang dilontarkan kepadanya tidak mampu dijawab. Entah, bibirnya kelu.

Tak pasti bagaimana makhluk melihatnya, namun Allah jualah yang mengetahui kesusahan yang dihadapi setiap hambaNya.

Seringkali dia mencari, dimanakah cinta Allah itu untuk diperoleh?

Bagaimanakah dia pada pandangan Allah?
Lantas dia sendiri sedar, Allah itu sungguh kasih akan makhluknya.

Andai tiada cinta pada hubungan dia dengan Sang Pencipta, maka kerana yang dicipta itu sendirilah yang tidak menghargai cinta Yang Mencipta.

Teruskan mencari, pasti ketemu.

Jangan diletak pada benda yang bukan pada tempatnya.

Teruskan melangkah biar sesukar manapun jalan yang terbentang.

Thursday, August 27, 2015

Pengharapan.

Alhamdulillah, masih tegar menarik nafas, menghirup udara musim luruh yang bakal menjengah. Masih mampu mengukir senyuman dan meneruskan kehidupan. Masih ada sisa kekuatan untuk terus bergerak.

______________________________________________________

Hatinya menangis lagi. Untuk kesekian kalinya, kelopak matanya basah. Dia sendiri tidak tahu kenapa jiwanya begitu rapuh. Letih barangkali, bila bibir tidak mempu meluah rasa,hanya tubir mata memecahkan isinya.

Dia mengulang baca pesanan yang dikirim adiknya di aplikasi Whatsapp yang baru dibuka selesai kuliah tengahari itu. Adiknya merintih sayu, memohon doa agar diberi kekuatan. Menyampaikan khabar ibu mereka yang tidak sihat. Sungguh, hatinya tak mampu menahan. Bilamana tubuh tua yang begitu banyak menabur jasa buat dirinya, ditimpa sakit. Dia tahu ibunya kuat. Andai diadu sakit, sakitnya bukan biasa.

Dia rasa lemah sekali. 3 bulan lagi dia hampir tamat pengajian dalam bidang perubatan, namun ilmu di dada serasa cetek sekali. Seolah tidak tersisa air sedikit pun. Otaknya memerah punca-punca yang berkaitan dengan penyakit yang dihadapi ibunya. Melajukan sel-sel neuron berfikir untuk memberi nasihat kepada ibunya. Berkali diulang supaya banyakkan berehat dan kurangkan membuat kerja berat. Namun ibu tua itu tidak betah berehat sahaja.

Dia bermuhasabah lagi. Kadang-kadang dia berputus asa sendiri. Banyak sungguh perkara yang berlaku kebelakangan ini. Hingga dia semput tidak sempat menarik nafas. Namun digagah diri melangkah walau terkadang tersungkur di belakang, dia cuba bangun menapak ke hadapan.

Lantas dia sedar, hidup ini perlukan jiwa yang besar. Tidak boleh mudah terasa hati dan berputus asa dengan cabaran yang datang. Jika selalu ambil hati terhadap apa yang berlaku, lambat laun hatinya yang tiada. Maka, tika itu, untuk apa lagi hidup ini?

Perlu diluruskan niat, melakukan segalanya untuk Allah. Andai pengharapan itu diletakkan pada manusia yang lemah, dia akan kecewa, berulang kali. Namun, jika hati yakin pada ketentuan dan perancangan Allah Yang Maha Esa, biar apa pun yang berlaku, hatinya akan tenang dan percaya yang Dia akan berikan yang terbaik.

Cinta Allah itu yang perlu dikejar. Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sentiasa mengasihi hambaNya. Lallu dia bertanya, sejauh manakah pula dia memberikan hatinya untuk Pencipta?

"Iman itu bukan angan-angan (khayalan) dan bermanis mulut. Akan tetapi iman itu sesuatu (keyakinan) yang mantap di dalam hati dan dibuktikan dengan amal."

Saturday, August 22, 2015

Kelas Mengaji

Alhamdulillah, atas nikmat hidayah dan taufiq yang mneggerakkan tubuh badan ini untuk memanfaatkan baki waktu di Mesir ini sebaiknya. Terkadang punya perancangan, namun tidak mampu dijalankan tulang empat kerat. Ada kalanya, dia punya kekuatan, namun kesempitan waktu. Alhamdulillah, atas nikmat yang Allah kurniakan pada hari ini.

____________________________________________________________________________

Kakinya melangkah masuk ke perpustakaan. Matanya melilau memerhati penghuni ruang belajar itu. Masih tidak ramai orang. Hanya segelintir pelajar yang sedang dalam fatrah study leave tekun menatap buku. Mengerling jam di telefon pintanya, dia bermonolog sendiri, kelasnya habis awal hari itu. Terus, dia menuju ke tandas wanita untuk berwuduk bagi mempersiapkan diri untuk menunaikan solat zohor.

Selesai solat, dia keluar sebentar ingin mencari pengalas perut buat ganti makan tengahari. Sambil itu, dia cuba membelek keratan nota-nota. Moga ada yang lekat di minda. Tak lama kemudian, sahabatnya masuk, menempatkan diri di kerusi kosong sebelahnya. Seketika mereka berbicara, merencana masa depan. Ahh,  banyak sungguh perkara yang menjadi rahsia Allah. Mereka berdoa moga Allah mudahkan urusan keduanya, di akhir perbincangan itu.

Matanya sambung menatap notanya. Namun, hatinya tidak tenang. Tak pasti, apa yang meresahkan. Tanpa ditunggu, buku ditutup, mengemas begnya ingin berlalu pergi. "Mahu ke mana?". "Cari ubat untuk palpitation (degupan jantung yang boleh didengari)". Spontan menerbitkan rasa hati.

Dia tahu hari itu ada kelas mengaji di sebuah masjid yang diajar oleh seorang ustazah secara percuma. Hatinya berbolak balik ingin pergi atau tidak pagi itu, namun petang ini, serasa tidak kuat meneruskan ulangkaji pelajaran, jasadnya digagahkan untuk menapak ke taman syurga itu.

Dia disapa angin sejuk tika melangkah masuk ke ruangan solat utuk wanita. Telinga menangkap suara mereka yang mengulang hafalan sambil dibetulkan bacaan tajwid oleh sheikah yang mengajar. Menapak masuk, dirinya disapa wanita Arab itu. Mereka bersalaman, bertukar senyuman dan bertanya khabar.

Sambil menunggu giliran, dia cuba mengulang hafalan surah. Tujuannya bukan sekadar untuk tasmi' bacaan, tapi lebih untuk membetulkan bacaannya. Pastinya banyak lagi yang perlu diperbetul bila diajar oleh Sheikah Arab.

Dia duduk disalah satu bangku di situ. Mana-mana pelajar yang sedang berhadapan dengan guru tersebut, dia memasang telinga, cuba menangkap cara bacaan yang betul sebelum dirinya dipanggil. Dirinya berasa tenang, seolah lari sebentar dari dunia yang pelbagai mehnah.

Dia terpegun melihat halaqah kanak-kanak itu, Mereka sudah 2-3 juzuk dihafal, pada usia yang begitu muda. Comel sekali pasangan kembar yang sama-sama menghadiri kelas mengaji tersebut. Aduh, dia bertambah malu. Umurnya sudah menjangkau 24 tahun, namun berapa kerat sangat wahyu Ilahi itu dalam hatinya. Bacaannya masih belum kemas. Syariat Allah dalam kitab itu pun banyak lagi yang perlu dipelajari.

Barangkali melihat dia seorang diri, guru itu memanggilnya untuk duduk bersama di meja tersebut. Duduk lebih dekat, pastinya ada adab yang perlu dijaga, ada berkat yang diperoleh ada perkara yang boleh dipelajari. Yang dia sedari, gurunya itu rajin sekali menitip pesanan buat anak-anak muridnya.

Pertamanya, untuk halaqah kanak-kanak itu, gurunya mengajarkan bagaimana adab apabila bermimpi yang tidak baik. Diajar supaya melafazkan ucapan berlindung dari syaitan yang direjam, dan meludah (tanpa keluar air liur) sebanyak 3 kali ke kiri. Comel sungguh bila mana semua kanak-kanak itu cuba mendemostrasikan perbuatan tersebut.

Keduanya, guru ini menegur aurat salah seorang pelajarnya. Sungguh berhikmah sekali. Usai memperdengarkan bacaan, sebelum meminta diri, ustazah ini memintanya mendekat, katanya ingin menitipkan pesanan, tidak mahu dia yang berada di depan ini turut mendengar. Rupanya ustazah meminta pelajar tersebut menutupkan rambutnya lebih baik lagi. Dan mereka sambung berdiskusi tentang hijab, menggunakan ayat Quran dan sunnah nabi. Suasana yang harmoni. Kata ustazah lagi, "Aku tegur kerana sayang, kerana hak kau ada padaku".

Dan yang ketiga, tidak pasti, namun ustazah bertanya tentang anak perempuan kepada ibu muda yang ingin tasmi. Kurang dia fahami keseluruhan bicara, namun isinya mengingatkan tentang amanah seorang ibu kepada anak-anaknya.

Dan untuk dirinya, selesai satu surah, ustazah bertanya andai ingin sambung surah lain. Bukan dia tidak ingat surah yang lainnya, namun mengakui kelemahan tajwidnya. Bacaan tadi pun hampir setiap ayat bersangkut. Jauh lagi lancar si kembar cilik tadi dari dirinya. Pesan ustazah supaya mendengar bacaan sheikh sebelum dia mengundur diri. Siap ingin dihantar melalui Bluetooth lagi.

Banyak sungguh ganjaran yang Allah kurniakan untuk ustazah ini. 2 jam disini, hatinya tenang seketika. Cukup untuk mengumpul kekuatan sebelum berhadapan dengan perkara yang dia sendiri tidak tahu.

Hanya mampu berdoa semoga Allah beri yang terbaik dan redakan hatinya atas setiap ketentuan yang telah tertulis.

Tuesday, August 18, 2015

Syukur

Alhamdulillah, atas nikmatnya yang kita nampak dan tidak nampak. Yang zahir mahu pun yang batin. Yang kita mampu kira mahupun tidak.

________________________________________________________________________________

Dia teringat kembali pertemuan mereka itu. Hati-hati yang bertemu kerana mengharapkan keredaan Allah. Mereka tidak selalu bersua muka, bertentang mata, namun hati mereka selalu bertaut dalam doa-doa yang dipanjat ke hadrat Ilahi. Taman syurga itu selalu dirindui. Dan kali ini mereka berbicara tentang syukur.

Perkataan yang acap kali disebut, namun sukar sekali untuk dimanifestasikan. Yang sekadar meniti di bibir, tidak dirasa di hati, apatah lagi dibalas dengan tulang empat kerat. Serasa sudah memadai, namun ternyata jauh panggang dari api. Kerana itulah Yang Maha Besar memasukkan hambaNya kerana rahmat, bukan ibadah yang bertahun lamanya.

Dia suka sekali mempelajari bahasa Al-Quran. Seolah ingin disingkap segala rahsia, wahyu dari Ilahi. Penenang jiwa yang gundah gulana, pengubat hati yang berduka. Kata sahabatnya, andai Quran sekadar di baca terjemahannya ibarat menonton cerita di layar hitam putih. Namun, jika kita pelajari bahasa Arab bersamanya, seolah menikmati tayangan HD. Nah, besar sungguh perbezaannya. Dia berharap Allah rezekikan dia untuk mendapat nikmat tersebut.

Perkataan nikmat sungguh banyak kali disebut dalam Al-Quran. Ada yang membawa makna nikmat yang berkekalan, ada yang menempelak, menyatakan nikmat dunia yang hanya sementara. Ada pula mengungkapkan nikmat yang sedikit, di kala yang lain menyatakan nikmat yang banyak. Namun, semuanya disandarkan pada Allah Maha Mempunyai segala sesuatu, yang ada di langit dan di bumi.

Bila bicara tentang syukur, dia teringat kisah Saidina Umar dengan seorang sahabat yang sedang berdoa di hadapan Kaabah. Sahabat yang meminta semoga dia termasuk dalam golongan yang sedikit. Saidina Umat terkejut, lantas menanyakan hal tersebut. Lalu, diberitahu tentang ayat Allah yang menyatakan sedikit sekali golongan yang bersyukur.

Sebenarnya kita tidak mampu untuk mensyukuri semua nikmat Allah. Jika nikmat itu pun tidak dapat kita hitung, bagaimana mungkin untuk kita bersyukur dengan semua nikmat yang kita perolehi? Dan seharusnya kita bersyukur andai kita mengetahui hakikat itu, untuk kita menyatakan betapa lemahnya manusia yang bergantung pada Allah Yang Maha Esa.

Bicara  sahabatnya lagi, seharusnya bila kita bersyukur, kita akan lebih banyak menginfakkan diri ke jalan Allah. Mudah kata, bila kita berterima kasih kepada ibu kita, kita akan buat macam-macam untuk ibu kita itu. Seolah tidak terbalas segala jasa beliau membesarkan, mendidik dan macam-macam lagi.

Begitulah sikap yang ditunjukkan oleh junjungan Nabi Muhammad.  Baginda solat malam hingga bengkak kakinya. Bila ditanya Saidatina Aisyah, "Bukankah kamu sudah dijanjikan syurga? Mengapa masih bersusah payah mengerjakan solat malam sampai begini sekali? Jawab Rasullullah mudah, bukankah aku dalam golongan mereka yang bersyukur?. Sampai begitu sekali manifestasi kesyukuran baginda.

Semoga dia sentiasa menjadi hamba yang bersyukur. Orang bersyukur ni Allah janjikan  akan tambah lagi nikmat lagi. Semoga dengan nikmat yang Allah beri, akan mendekatkan lagi diri kita padaNya. Amin.

Wednesday, August 5, 2015

Jasad yang bakal pulang

Alhamdulillah atas kurniaNya yang tidak dapat dihitung. Yang nampak atau tersembunyi, dalam tidur mahupun jaga. Alhamdulillah hidayah dan taufiq dariNya.

_________________________________________________________________________

Tangannya gatal ingin menari di papan kekunci itu, namun fikirannya beku walau Timur Tengah sekarang dilanda "gelombang angin panas". Mungkin angin sepoi Laut Meditteranean di pinggir Iskandariah tempat dia menetap masih menghembus bayu, mendamai jiwa yang terkadang berkocak, sehebat ombak yang menghempas batuan diselaputi lumut. Dia menarik nafas.

Huruf pertama ditekan dan selanjutnya papan kekunci itu melagukan irama lagu yang hanya dia dengari.

Pagi itu dia membuka mata dengan mencerna jadual harinya yang tidaklah padat sangat, cuma ada beberapa hak yang dia perlu lunaskan. Walau bagaimanapun, dia ingatkan dirinya selalu, minda yang merancang mesti selari dengan tawakal di hati, meyakini perancangan Dia yang terbaik. Senyum, dia menyerahkan diri pada takdir.

Kelas hari itu bermula pukul 9. Dia bangun agak lewat, sementelah bersengkang mata menyiapkan Powerpoint presentation sebagai bahan untuk group discussion hari itu. Tugasan yang mulanya memberi tekanan kerana tidak semua ahli kumpulannya ingin bekerjasama. Namun, dipujuk hati, moga diberi kefahaman dan kelapangan jiwa menambah ilmu. Dan dia berjaya selesaikan.

Nak dijadikan cerita, dia tidak membawa komputer riba, Dan kata doktor resident, komputer jabatannya dicuri. Mujur Professor yang mengajarnya tidak memarahinya kerana kesalahan ini. Gurunya setia mengajar. Hendak dikata ralat kerana tidak present tajuknya, dia tidak pasti. Betul, bila hati sudah tawakal, jiwa kita tenang. Yang Allah rancang itu yang terbaik. Cuma dia malu bila serasa tidak dipenuhi adab berguru. Seolah tidak bersungguh menuntut ilmu.

Syarahan tengahari itu menceritakan tentang keadaan orang tua yang mudah jatuh, apa risikonya, komplikasi dan cara untuk mencegah. Tajuknya nampak ringkas, namun penerangan pensyarahnya buat dia kagum sendiri. Benar, seharusnya kita perlu ada sikap itqan (tekun). Apa yang kita buat hendaklah yang terbaik. Betapa pakar dalam bidang ini menjalankan kajian demi kajian untuk memastikan kualiti hidup orang-orang tua. Tidak memandang mereka sebagai orang yang tiada harapan, sebaliknya menyantuni dan menghargai golongan ini.

Petangnya dia menziarahi kawan seusrahnya. Sudah begitu lama hati-hati ini tidak bertemu, alhamdulillah Allah satukan dalam pertemuan yang walaupun sekejap, namun cukup mengubat rindu. Melihat si kecil yang baru melihat dunia selama sebulan lebih, hatinya damai. Bayi kecil yang tidak ada dosa itu menambat hati sesiapa sahaja yang menjatuhkan pandangan padanya. Menyoroti kisah melahirkan anak dan membesarkan mereka, membuat mereka menghargai pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu.

Sebelumnya dia dan rakan seusrahnya mencari cenderahati untuk diberi pada si kecil itu. Sambil kaki mencari haluan kedai yang ingin dituju, bibir berbicara tentang haluan hidup. Sungguh, mereka sudah dewasa. Sedang melalui fasa yang seterusnya.

Bumi itu akan ditinggalkan. Tidak lama lagi. Dengan seisinya yang mendidik menjadi dia pada hari ini selama 6 tahun. Sedih. Takut dengan cabaran sebenar yang bakal bermula. Dan hati sudah merindui teman-teman yang mewarnai hidupnya di sini. Hatinya berdoa, moga mereka ditemukan lagi di syurga kelak.

Wahai jasad yang bakal pulang, carilah mutiara yang terdampar di dasar laut itu. Gunakan masa yang berbaki sebaik mungkin. Kerahkan tenagamu sekuat mungkin. Moga kau sentiasa dalam lindungan dan rahmat Ilahi.

Friday, July 24, 2015

Taqwa

Alhamdulillah, hari ini hari jumaat. Hari yang paling saya sukai sejak dari sekolah. Kalau masa sekolah rendah dulu, hari ni waktu sekolahnya pendek. Masuk asrama di Terengganu, hari jumaat hari tak sekolah. Tiada prep, tiada aktiviti khusus. Nikmat masa lapang. Dan Allah hadiahkan saya berada di Iskandariah, Mesir, hari jumaatlah satu-satu hari yang tiada kuliah. Hari lain semua ada kelas. Alhamdulillah. Mari kita banyakkan selawat pada penghulu segala hari ini.

Semalam juga cuti. Sempena Revolution Day. Kalau ikut sejarah, cuti ni sempena Revolusi masa zaman Raja Farouq. Ada pakatan nak jatuhkan sistem beraja zaman baginda. Tak tahu sangat sejarah, nama King Farouq pun tahu sebab ada taman kat hujung Alex ini.

Semalam berkesempatan hadiri kelas tafaqquh. Dan penceramah Ustaz Jamil tu antara ustaz favourite pelajar kat sini. Bicaranya santai, namun menyentuh hati. Isinya mungkin kadang-kadang macam lari dari topik, tapi pengajarannya banyak sekali boleh diambil.

Dan semalam ustaz bicara tentang taqwa. 

Tajuknya berkenaan pasca-Ramadan. Senang cerita, bagaimana kita nak tahu yang kita ni dah graduate dari madrasah Ramadan. Apa kayu ukurnya?

Kata ustaz kalau kita nak tahu, sepatutnya orang itu menjadi orang yang bertaqwa. Cliche bukan perkataan taqwa ni? Banyak kali disebut dalam Quran.

Taqwa ni datang dari perkataan Ùˆ Ù‚ ÙŠ yang bermaksud pelihara atau jaga. Kata sumbernya jadi wiqoyah. Maksudnya orang yagn bertaqwa ni memelihara diri dari dosa, sering merasakan dirinya diperhatikan Allah. 

Dan buah takwa ni ada dua:

1) hubungannya baik dengan manusia. 

Bila hubungannya dengan Allah terjaga, hubungannya dengan manusia pun pasti baik. Contohnya boleh dilihat pada role model kita dalam Islam, baginda Rasulullah saw. Nak kata baiknya hubungan sahabat dengan baginda, seolah-olah setiap para sahabat yang berdamping dengannya merasakan bahawa dirinyalah yang paling disayangi baginda. Sebab itulah Islam boleh tersebar. Kebanyakkan orang yang mendengar berita buruk tentang Rasulullah, apabila berjumpa buat pertama kali, hatinya terpaut, terpesona dengan akhlak yang dipamerkan Rasulullah. Malah Allah sendiri yang memuji akhlak Rasulullah dalam al-Quran. Indahnya Islam sekiranya semua umat baginda cuba mencontohi akhlak baginda.

2) membuat kerja dengan bersungguh-sungguh/tekun.

Orang yang bertaqwa akan membuat kerja bersungguh-sungguh. Bila kita niatkan semua perkara yang kita ingin lakukan kerana Islam dan untuk kita dapatkan reda Allah, kita mesti buat yang terbaik. Ustaz bagi contoh sahabat-sahabat dan tokoh-tokoh terkemuka dalam Islam yang kita boleh contohi. Bagaimana mereka bersungguh melakukan sesuatu perkara dalam bidang masing-masing sehingga boleh menjadi yang terbaik dan terhebat. Panglima perang yang terbaik. Penakluk kota Constantinople. Begitu banyak kejayaan yang berjaya dicapai oleh umat Islam yang bertaqwa. 

Akhir sekali ustaz bezakan orang yang berperangai baik dan berakhlak. Kalau orang yang berperangai baik ni, membuat sesuatu kerana ilmu yang dia ada. Contohnya, bila nampak orang minta sedekah, patah balik nak bagi duit kerana teringatkan ganjaran yang Allah janjikan untuk orang yang selalu menginfakkan harta. Tapi, orang yang berakhlak ni, secara spontan/naturalnya setiap perbuatan/akhlak yang dipamerkan. Seolah tabiat begitu sebahagian dan sudah sebati dalam dirinya.

Dan ustaz ingatkan kita untuk berakhlak dengan akhlak yang baik. Jaga adab bila kita berbeza pendapat. Jaga ukhuwah. Zaman sekarang ini zaman fitnah. Mudah sangat kita nak bertengkar/memaki hamun di alam maya. Takut-takut kita tak dapat nak minta maaf dengan orang yang kita bertengkar tersebut hingga menyukarkan kita menghadapi sakaratul maut kelak. Nauzubillahi min lik. Moga Allah jauhkan.

Semoga terus istiqamah. Sebaik-baik amalan ialah yang sedikit tetapi berterusan. 


Thursday, July 16, 2015

29 Ramadan 1436H

Alhamdulillah atas semua nikmatnya. Masih menikmati saat-saat terakhir bulan Ramadan yang bakal meninggalkan kita tidak lama lagi.

Hari ini masih ada kelas. Cikgu siap pesan suruh baca topic "Thrombophilia" lagi. Kelas pukul 9. Sekarang dah pukul 8. Tak tahulah kejap lagi berapa kerat yang datang. Esok pun dah nak raya.

Jujurnya sekarang ni macam dah takde rasa dah. Bukan sebab terkenang esok tak dapat beraya dengan family atau pelbagai juadah raya yang biasa dijamah. Bukan juga sebab tak cuti lagi. Atau apa-apa alasan yang berkaitan.

Tapi, sebab ini Ramadan yang terakhir. Di bumi Mesir. Sayunya hati. Serasa cepat sangat 29 hari berlalu. Moga keluar dari bulan Ramadan ini dengan diampunkan dosa.

Yang pasti akan merindui kemeriahan Ramadan lebih-lebih di sini.

Pergi mana-mana akan nampak pak cik pegang tasbih. Terus ingatkan diri untuk banyakkan zikir.

Al-Quran dibaca di mana-mana. Jalan kaki pergi kuliah, intai orang dalam kereta tengah baca Quran. Pak cik yang bagi tiket dalam tram pun Al-Quran di tangan. Pesakit dalam wad pun, mesti ada Al-Quran dekat meja tepi katil. Malahan, doktor yang mengajar pun selit Al-Quran kecil dalam poket kemeja. Sungguh, hati rasa hidup.

Tarawih lagi lah. Doa qunut dia sangat sayu kalau betul-betul faham. Macam-macam imam minta doa. Dari doa harian biasa, untuk diri sendiri hinggalah keamanan negara dan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia.

Malamnya hidup. Kalau sepuluh malam terakhir, semua masjid berlumba-lumba membuat solat malam, tahajud beramai-ramai. Semua ini lambang kesatuan umat Islam bukan?

Maidah Rahman ada di mana-mana.Orang kaya jamu orang miskin makan untuk berbuka. Kalau petang nak berbuka masih ada kat luar, akan ada orang hulurkan kurma dan air untuk berbuka. Pernah dapat air karkadir percuma masa dalam perjalanan nak pergi rumah kawan untuk berbuka.

Paling suka kat sini, orang Arab ini suka berdoa. Apa-apa sahaja ucapan dari mulut dia ada doa untuk orang yang dilawan bercakap. Kalau kita bagitahu kita ini pelajar, didoakan supaya kita habis belajar, lulus cemerlang dapat jadi doktor yang bagus berbakti untuk ummah. Bila kita hulur duit syiling untuk sedeqah, didoakan supaya kita dipermudahkan urusan, diampunkan dosa dan macam-macam lagi. Kalau borak-borak tu cakap tak kahwin lagi, mak cik tu doakan supaya cepat-cepat kahwin. Bila tengok muka kita ni cuak nak tunggu giliran masa nak oral exam dengan doktor, pekerja hospital tu doa supaya berjaya, diberi ketenangan. Kadang-kadang sebaris ayat macam tu sangat menenangkan hati.

Ya Allah, sungguh aku ini hambaMu yang begitu banyak berdosa. Ampunkan dosa aku Ya Allah. Moga ketemu lagi Ramadan di tahun hadapan.


Sunday, July 12, 2015

Hari Yang Penuh Dengan Keberkatan

Alhamdulillah.

Cubalah ketika anda mendirikan solat subuh, untuk duduk dengan khusyuk dan menghadapkan diri anda ke arah kiblat sepuluh minit atau seperempat jam, kemudian lanjutkan dengan memperbanyakkan zikir dan berdoa.

Mintalah kepada Allah hari yang indah, hari yang baik dan penuh keberkatan, hari yang berbahagia serta yang berisi kejayaan, kesolehan dan keberuntungan.

Mintalah kepadaNya hari tanpa mara bahaya, krisis dan masalah.

Dan hari yang rezekinya berlimpah, kebaikannya banyak, perlindungannya luas atau hari yang tiada kekeruhan di dalamnya, yang tiada pula kesusahan dan kesedihan.

______________________________________________________

Allah S.W.T adalah Tuhan Yang Paling Pemurah dari yang pemurah dan Yang Paling Dermawan di antara penderma.

Dia menganugerahkan kepada hamba-hambaNya sebelum mereka memohon dan di atas apa yang mereka harapkan.

Allah S.W.T. menghargai suatu amal walaupun sedikit dan terus-menerus.

Dia mengampuni banyak kesalahan dan menghapuskannya.

Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepadaNya.

Setiap waktu Dia dalam kesibukan.

Dia tidak merasa kepenatan sedikitpun untuk beralih dari satu pendengaran ke pendengaran yang lain.

Dia tidak pernah berbuat salah dengan banyaknya permasalaha, tidak pernah merasa jemu dengan tekanan permohonan orang yang memohon, bahkan Dia mencintai orang yang memohon dalam doanya.

Dia senang diminta dan Dia akan marah bila tidak diminta.

Dia malu kepada hambaNya, tetapi sebaliknya hambaNya itu tidak malu kepadaNya.

Dia menutupi hambaNya walaupun dia tidak menutupi dirinya.

Dia mengasihi hambaNya yang tidak mengasihi dirinya.

Tidak ada yang dapat menghilangkan keburukan kecuali Dia.

Sesungguhnya, tidak ada yang dapat mengabulkan doa, menghentikan perselisihan kekhilafan, mengampuni kesalahan, menutupi aib, menyelamatkan dari bencana, menolong dari musibah dan memberikan anugerah melainkan hanya Allah semata-mata.

Jalan kebahagiaan ada di depanmu. Carilah dia dalam lautan ilmu, amal soleh dan akhlak yang mulia. Bersihkanlah objektif dalam setiap perkara, nescaya engkau akan bahagia.

- JANGAN BERSEDIH: JADILAH WANITA YANG PALING BAHAGIA, DR 'AIDH BIN ABDULLAH AL-QARNI-




Monday, June 29, 2015

Akhlak Ramadan: Making progress.

Alhamdulillah, atas nikmatnya yang tak terhingga. Moga dijauhkan dari kekufuran nikmat.

__________________________________________________________

Matanya masih setia menatap skrin komputer riba itu. Jam sudah menunjukkan jam 11 malam, dikala kebiasaannya tubuhnya sudah berada di tempat pembaringan. Namun, malam itu jemarinya masih berlari di atas papan kekunci, menyelesaikan amanah yang berbaki.

Tiba-tibanya, telefon bimbitnya menyala, menandakan ada panggilan masuk. Sekilas, matanya menangkap nama si pemanggil, fikirannya ligat meneka perkara yang ingin disampaikan, penting barangkali. Sambil, mengangkat panggilan, sebelah tangan lagi meneruskan kerja di hadapannya.

Dia: Assalamualaikum wbt. Ada apa?
Beliau: Waalaikumussalam wbt. Sahabat, dengarlah ini, Ada benda saya nak cerita.
Dia: Ada apa ukhti?
Beliau: Tadi saya naik tram nak ke rumah kawan ni.
Dia: Masha Allah, hebatnya nak pergi belajar sama-sama ke?
Beliau: Apa pula. Ni hutang kena tidur rumah dia, yang tak selesai lagi. Dengar la, saya nak cerita ni.
Dia; Ok, saya dengar ni.
Beliau: Masa saya nak bayar dekat pak cik yang bagi tiket tram tu, dia tak nak terima duit saya. Tak tahu la kenapa, tapi dia buat isyarat jari yang tak nak tu.
Dia: Kenapa pula macam tu?
Beliau: Tak tahu la, Lepas tu saya cari duit syiling lain. Lepas tu saya terus bagi tak pandang muka dia pun. Buat macam protes macam tu. Masa turun pun saya terus turun, tak pandang pun dia.
Dia: Pak cik tu sengaja nak main-main kot.
Beliau: Yela, tapi ni kan bulan Ramadan, janganlah gurau macam ni, Apa saya nak buat ni? Saya dah rasa bersalah, Ye lah, tak sepatutnya saya buat macam tu. Sepatutnya saya kena jaga la akhlak saya kan. Dah la bulan puasa macam ni. Agak-agaknya pak cik tu terasa tak dengan saya?
Dia: (speechless). Takpelah, awak pun bukan sengaja pun kan.
Beliau: Lepas tu macam mana kita nak buat ya? Mesti dah susah nak jumpa nak minta maaf dengan pak cik tu lagi. Awak bagilah saya denda, cara nak tebus semula kesalahan. Cakap je apa-apa.
Dia: Hah? Saya yang nak kena bagi denda? Saya manalah reti nak denda orang.
Beliau: Saya telefon ni saya berharap pada awak tahu. Awak kena bagi juga denda. Takutlah bila pak cik tu tak maafkan saya.
Dia: Saya tak boleh nak fikirlah sekarang. Nanti saya whatsapp awak semula.
Beliau: Janji tau. Ni amanah.

Panggilan dimatikan. Nafasnya dihela. Badannya seolah mengeluh lemah.

Allah, pengajaran apa yang ingin diberitahu kepada dia? Terkadang, dia malu, dihadirkan dengan sahabat yang solehah sebegitu rupa, saling mengingatkan dia berbagai perkara, dalam keadaan dirinya yang begitu berdosa.

Peringatan seringkali hadir. Setiap kali itu juga, dia mengeluh dosa yang bertimbun. Benarlah, andai tidak ada ayat pemujuk kalamullah yang mengkhabarkan rahmat Allah tu lagi besar dari dosa yang dilakukan manusia, nescaya begitu ramai manusia yang berputus asa. Seolah penat bangkit untuk jatuh lagi, menapak perlahan mencari jalan menuju syurgaNya.

Dia teringat satu pepatah Arab,

حسنات الابرار سيئات المقربين
Tak dapat juga dia tafsirkan secara tepat, tapi intipati yang dia simpan kemas,

Perkara yang dianggap baik oleh orang yang berbuat baik, merupakan satu dosa untuk orang yang dekat dirinya pada Allah.

Indah sekali hati sensitif terhadap dosa sebegitu rupa.

Dia takut sekali andai hatinya keras, sukar untuk menangis dihadapanNya, merasa senang dengan perkara yang dilalaikan dan perkara-perkara dosa kecil seolah "tiada apa-apa" baginya.

Mengerling sekilas pada jam di penjuru skrin, dia menekan punat shut down. Menyedari diri perlu berehat untuk bangun jam 2.30 untuk bersahur. Sebahagian waktu juga perlu diperuntukkan untuk ibadat, mencari keberkatan waktu di sepertiga akhir malam.


Sebelum melelapkan mata, dia menyemak sekiranya masih ada mesej yang masuk di aplikasi Whatsapp. Matanya tertancap pada mesej dari sahabatnya itu.

Awak, janji dengan saya, sebut nama saya dalam doa awak. Semoga Allah ampunkan dosa saya. Dan orang tu reda dengan saya, Tak marah saya. Janji.

Hatinya menangis.

Ya Allah, peliharalah ukhuwah ini. Berkatilah persahabatan kami. Temukan kami dalam syurgaMu.
_________________________________________________________

Ramadan sudah memasuki fasa kedua. Semoga momentum Ramadan masih baik. Semoga ada keampunan untuk dirinya.



Friday, June 26, 2015

Growing up.

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk jalani ibadah puasa di bumi Mesir pada tahun ini. Kali yang terakhir ku kira. Moga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya.

Setelah 6 tahun berada di perantauan, hati tidaklah terlalu sayu teringat rumah. Tambahan, kali terakhir berada di sini, seolah setiap detik mahu dihargai. Namun, lain halnya dengan adik yang baru pertama kali berpuasa di asrama penuh. Homesick.

Mendengar luahan hatinya yang menjerit-jerit ingin pulang ke rumah, hanya pada hujung minggu, membuat aku rasa sayu. Katanya, bukanlah teruk sangat berbuka dan berpuasa di sekolah bersama rakan-rakan, tapi "aby cuma nak balik rumah sekejap".

Stress dengan jadual sekolah yang padat. Katanya penat dengan kerja sekolah yang banyak. Lagi ada aktiviti kurikulum tambahan. Malamnya diwajibkan bertarawih dan bertadarus, Masih perlu pergi 'kelas prep. Tidurnya selalu lewat dan bersahur sekadar minum 3 in 1 yang dibekal umi. Hatinya rindu masakan umi. Sehingga bila kukatakan, "Memanglah, cekodok umi pun takde yang dapat lawan". Bukan semata keenakan rasa, tapi air tangan ibu yang kami rasa sejak dari kecil. Mana mungkin dapat dilupa begitu sahaja. Pantas dia menyambut, membenarkan.

Tika mana menghubungi umi menanyakan perihal puasa di rumah, adik-adik juga begitu. Yang dulu gemar ke bazar ramadan untuk mendapatkan  juadah berbuka, kini " Entah, tak reti nak beli apa. Makan yang umi buat lagi sedap." Tarbiyyah yang dia pelajari setelah 2 tahun berpuasa di tempat orang.

Jawabku mudah sahaja. Inilah proses pembelajaran.

Benar. Yang dulu kulihat,  adik-daik masih enak bermain dan bersuka ria suatu masa dulu, kini berhempas pulas mengerah usaha menggapai cita-cita. Berusaha semampu yang mungkin. Niatnya satu, ingin membalas jasa umi dan abah. Ingin melihat wajah tersebut bangga dengan kejayaan yang dicapai, setelah membesarkan diri ini begitu sukar sekali, dengan perangai masing-masing yang berbagai kerenah.

Wahai kakak sulung, sila belajar sungguh-sungguh.

Kadang-kadang merindui peraturan dan jadual ketika di sekolah suatu ketika dulu.

Kini, diri perlu lebih kuat.

Perlu kuat melawan perkara negatif yang mendatang yang melalaikan diri.

Diri lebih memahami, tujuan hidup, maka mujahadah itu perlu. Bukan sekadar ilmu yang dilekat di dada, namun mesti diterjemah dalam anggota empat kerat.

Ramadan, izinkan aku mencari keberkatan di dalammu.


Wednesday, June 17, 2015

Al-Insan 'Abdul Ihsan

Alhamdulillah. Perasaan yang bercampur baur hari ini.

Dia pulang dari kelas hari ini, lewat sikit dari biasa setelah selesai menghadiri Student Competition yang dianjurkan pihak universiti, di mana peserta menbentangkan research atau article review masing-masing. Tidak seperti biasa, dia perlu singgah dulu ke bank, ke pasar sebelum sampai ke rumah.

Cuaca yang panas terik sungguh membuatkan dia rasa panas. Solat zohor masih belum ditunaikan. Entah apa yang dia fikir, hatinya tidak tenang. Malam ini umat Islam seluruh dunia akan bertarawih, dan memulakan kewajipan berpuasa esok hari. Tapi, dia tidak bersedia. Seakan pelajar yang masih belum lulus untuk masuk madrasah Ramadan.

Kakinya menapak ke bank. Perlu mengeluarkan duit rakan serumahnya dan simpanan sendiri pun sebenarnya sudah berkurang. Dan untuk dirinya, dia perlu mengambil nombor giliran, menunggu dan mengeluarkan dari kaunter. Dan mesin mengambil nombor giliran rosak. Dan pelanggannya ramai. Dia beristigfar.

Hatinya memujuk untuk bersabar. Mungkin ujian peluang menambah pahala. Sementara duduk di bangku, dia mengalunkan ayat-ayat Quran, rendah suaranya di tengah-tengah kesibukan di bank itu. Hampir setengah jam menunggu, pegawai bank bertanyakan dirinya. Sambil menyemak, dia tahu nombor gilirannya belum tiba. Lalu, pegawai bank di hadapan kaunter tu mempercepatkan nombor giliran. Dirinya dipanggil. Dia menapak.

"I'm very sorry because you have to wait too long," Awal bicaranya, buat dia rasa terpujuk. Seolah ada yang memahami betapa seksa dia menunggu di situ. Sambil menyelesaikan urusannya, pegawai bank tersebut ramah bertanya, Bertanyakan namanya. Memang menjadi kebiasaaan masyarakat Mesir yang ingin tahu maksud nama seseorang, dan kenapa nama lebih dari satu. Ada pula nama keluarga di pangkalnya.

Dia senang begitu. Pegawai itu ramah sekali. Dan menjadi kebiasaan juga ucapan "Kullu am wa antum bikhair" ditujukan padanya. Ucapan menyambut Ramadan dan doa semoga tahun yang mendatang kebaikan di dalamnya.

Dia menapak lagi. Mencari haluan kedai menjual ayam. Petang itu gilirannya untuk memasak. Sampai di depan kedai, dia mengeluh. Ramai sungguh mak cik-mak cik sedang menunggu giliran. Nampaknya dia perlu menunggu lagi. Perlahan, kakinya melangkah, mencari ruang antara reban ayam dan kesesakan manusia.

Sangkaannya meleset lagi. Dari jauh, dia disapa. "Malizi, kamu mahu apa?" pak cik itu menjerit memanggilnya, menyedari budak malaysia dalam kedainya. Lalu, disuruh pekerjanya melayan apa yang dia mahu. Dengan cepat, urusannya selesai. Dia rasa dihargai, layanannya baik sekali.

Kalau direnung semula, kisah di atas mungkin tiada nilainya. Sekadar kebaikan orang yang biasa-biasa dijumpai di tengah jalanan.

Namun, untuk hati yang kosong, dirinya rasa suka.

Benarlah kata orang, layanlah sesiapa yang kamu temui dengan baik kerana kita tidak tahu apa perkara yang sedang dihadapinya.

Benar jugalah kata pepatah, Al-Insan Abdul Ihsan. Manusia itu hamba kebaikan.

Sungguh dia malu. Dalam banyak dia berdosa, Allah masih kirimkan insan yang berbudi perkerti.

Marilah kita berbuat baik dengan sesiapa yang kita temui.

Ramadan Kareem. Allahu Akram. :)

Sunday, June 14, 2015

Sayang

Alhamdulillah.

Found this and just asking,

When Allah loves you more that what you think, what to do when you don't love yourself?

Please, wake up!


Sungguh sudah letih. Ramadan, izinkan aku memperoleh keampunan dari Tuhanmu.

Wednesday, June 10, 2015

Siwa , mutiara di padang pasir. Bahagian 1.

Alhamdulillah, nikmat cuti semester lepas ada pengajaran yang ingin dikenang. Memori yang akan tersimpan kemas bila meninggalkan bumi Mesir suatu masa kelak.

________________________________________________________________________________

SIWA: MUTIARA DI PADANG PASIR

Cuti semester kali itu, dia tinggal di Mesir sahaja, tika ramai sahabat lain pulang bertemu ahli keluarga di Malaysia, atau melancong ke negara-negara di seluruh pelusuk dunia. Hajatnya moga berpeluang meluang masa di mana-mana negeri di tanah Nabi Musa dan Firaun itu. Alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk dia dan sahabat-sahabatnya menjadi tetamu Siwa dan Matrouh. Dan dia terkenang kisah di Siwa.

Perjalanan ke Siwa sungguh lama, dari bumi Iskandariah, lebih kurang 300 km perlu ditempuhi untuk tiba di Matrouh dan tambah 300 km lagi ke Siwa. Tidak seperti perjalanan yang biasa dia tempuhi pulang ke kampung di Malaysia yang dipenuhi hutan rimba yang hijau, kali ini  hanya disajikan padang pasir yang sejauh mata memandang dan langit biru yang tidak berawan.



Tiba di sana, mereka check-in hotel. Yang biasa-biasa sahaja, berpadanan dengan keadaan masyarakat Siwa yang sederhana. Dan petang itu, mereka ke padang pasir. :)

Sebelum ini dia hanya pernah melihat padang pasir di kaca televisyen, lagi kerap didengar melalui kisah sirah para nabi atau bayangan yang selalu hadir bila berkata tentang penempatan masyarakat Arab. Sekali dengar, tiada yang menarik, cuma pasir yang tak bertepi, tak tahu mula dan akhir, hanya tanah yang sekejap rata dan sekejap berbukit. Tiada air. Dan panas. Lalu kali ini, mereke mengembara ke padang pasir itu. Hingga akhirnya dia kagum sendiri bagaimana pemandu jip mereka boleh mengingati laluan mereka, tanpa papan tanda. Dan dia muhasabah lagi, kesusahan para sahabat dulu yang merentasi padang pasir, berhijrah dan berperang menegakkan Islam.




Seketika, mereka berhenti. Saat kaki dijejak, pemandangan dihampar, Subhanallah, Pemandangan itu indah sekali. Bibirnya bertasbih, memuji ciptaan Allah yang sungguh sempurna, hingga padang tandus itu ada keunikannya sendiri. Dan dia duduk merenung, merasai hembusan angin panas menampar pipi membawa pasir halus bersama.


Mereka teruskan lagi perjalanan. Dia masih tidak puas memandang padang pasir itu. Entah, dia rasa damai. Seolah dia hilang dalam dunia baru, yang jauh dari segala keasyikan dan kegilaan dunia yang tidak akan pernah puas. Yang menghukum manusia dengan undang-undang sendiri, meninggalkan aturan Allah Yang Maha Esa. Tempat itu seolah membuat dia rasa dia jauh dari semua itu.

Dan di tengah pandangan yang seolah sama, tiada bezanya itu, mereka bertemu dengan sumber air. Oasis. Allah, sejuk sungguh mata memandang. Siapa pernah sangka, ada air dingin dikelilingi tumbuhan yang hidup di tanah gersang itu. Subhanallah, dia terpana lagi. Hatinya ingin mendekat, ingin merasa sendiri keindahan mata air itu. Menurut tukang cerita, padang pasir itu merupakan kawasan lautan yang mengering, hingga meninggalkan beberapa kawasan mata air, yang menjadi oasis.



Dan mereka bergerak lagi ke oasis yang seterusnya. Kalau di perhentian yang pertama tadi, air dingin, kali ini sumber matanya suam. Allahu akbar. Dan mereka melihat pemandangan yang mengkagumkan lagi. Bersumberkan mata air tersebut, pak cik pemandu tadi mengambil wuduk, menunaikan kewajipan solat asar kepada Pencipta langit dan bumi. Betapa mereka memahami kepentingan syariat tersebut, hingga mampu ditunaikan tanpa mencipta seribu alasan. Sungguh Islam agama yang mudah.




Mereka bergerak lagi, mencari tempat lalu mereka berhenti, berhibur dengan permainan yang dipanggil sebagai 'sandboarding'. Meluncur di atas papan menuju ke bawah bukit yang separa landai. Sungguh, hati berdebar tatkala melaju ke bawah. Dan pastinya mendaki ke atas lagi sukar, memenatkan. Cukup dua tiga kali mencuba, mereka berhenti. Lalu, sibuk merakam memori, bersantai di atas kain alas, disajikan minuman teh pudina yang cukup digemari masyarakat tempatan sambil menikmati suasana, menunggu matahari terbenam. Sungguh, tenang sekali hati ini.



Tika itu dia dan rakan-rakannya di sana, bertadabbur alam, tak banyak kata diucap, masing-masing tenang melayan perasaan sendiri. Dia lebih-lebih lagi. Mencuba untuk mencoret saat ini sebagai ganti kesibukan yang bakal dihadapi kelak. Benar, amanah yang perlu ditunaikan kepada masyarakat bukan ringan.





Banyak lagi yang ingin diluahkan, mungkin di lain waktu. Namun, yang dikagumi oleh masyarakat Siwa, yang kebanyakan dari keturunan Barbar, sementelah pula Siwa bersepadan dengan Libya adalah masyarakat di sini sopan sekali. Tidak seperti kebanyakan orang Arab yang ditemui di Iskandariah. Lelakinya menjaga adab, hatta dengan wanita asing yang datang melancong. Kaum wanitanya langsung tidak kelihatan, yang sempat kami ketemu dua hari di Siwa hanyalah mereka yang dikelebung dengan kain yang menutupi seluruh badan. Mata pun tidak terpandang. Pakaian mereka sama, hingga tidak dapat dibeza antara satu dengan yang lain. Ku kira perempuan yang kulihat hanyalah mereka di bawah umur 15. Betapa maruah dan kehormatan seorang wanita itu sangat terjaga.

Siwa, tempat yang seperti tiada apa itu, banyak yang boleh diambil jadi pengajaran. Semoga Allah memelihara tempat ini.







Tuesday, June 9, 2015

Aku ingin menulis lagi

Alhamdulillah, atas nikmatNya yang tidak terhingga.

"Saya suka menulis. Tapi, dah lama saya campak jauh-jauh".
" Saya harap saya dapat menulis seperti itu lagi, seperti suatu masa dahulu"

_________________________________________________________________________

Matahari memancar terik. Bahang musim panas makin terasa. Bulan 6 baru menjengah, namun azan subuh sudah berkumandang seawal jam 3.12 pagi. Ramadan bakal tiba 10 hari lagi. Fikirannya kacau. Masa semakin suntuk. Semester terakhir di Ardul Kinanah, dia tahu masanya tidak banyak. Ingin dicekup segala mutiara yang terdampar di dasar laut itu, hingga kadang kala dia lemas sendiri. Lemas menyelam seorang diri di dasar yang kelam itu.

Hari itu dia pulang awal, kelas tamat jam 12. Setelah 2 jam berdiri di dalam ward ICU, dia hanya ingin berehat di rumah. Ward Round di Unit ICU bahagian Post Cardiac Arrest buat dia insaf sendiri. Hidup sememangnya sukar. Bagi pesakit mahupun pegawai perubatan sendiri. Seketika dia bermonolog, bagaimana dia di masa depannya. Doanya dia mampu menjadi doktor yang mampu menyumbang untuk ummah. Tika masyarakat sekarang tidak lagi percaya kata-kata seorang doktor. Lagi mudah berhujah dengan fakta yang diperolehi dari carian enjin Google dan sumber dari orang yang bukan ahlinya. Tugas semakin sukar. Amanah semakin berat. Azamnya ingin memperbaiki usahanya kali ini. Moga lebih tekun menuntut ilmu.

Selesai solat zohor, dia merehatkan diri sebentar, memanjakan diri di atas tilam yang empuk. Nota "Dyslipidemia" dipegang di tangan, Mindanya merencana tugas yang perlu diselesaikan pada hari itu. Petang nanti dia perlu keluar menghadiri smart circle, yang sudah lama tidak dijalankan. Pengisian tafsir Surah Al-Ahzab belum lagi dihadam, lagi pula hari ini gilirannya menyediakan makan malam untuk ahli rumahnya. "Ah, sempat, masa masih banyak". Dia berbaring walaupun dia tahu dia akan tertidur keletihan dek kerana puasa sunat hari Isnin pada hari itu. Dan matanya terlelap.

Rumah itu dituju. Mujurlah apa yang ingin dibuat selesai pada waktunya. Alhamdulillah. Kadang kala dia malu sendiri. Betapa dosanya tinggi menggunung. Tapi, Allah masih berinya peluang. Masih beri dia kekuatan padanya melakukan amal kebaikan. Betullah, kalaulah dosa kita diketahui orang ramai, kita tak mampu nak keluar rumah kerana malu. Sungguh. Allah itu Maha Pengampun. Sehingga banyak manapun dosa kita, luas lagi rahmat dan pengampunannya. Dia perbaharui niat. Moga dia peroleh kebaikan dalam hidupnya, amalannya diterima, sentiasa mendapat petunjuk. Syukur atas peringatan yang diberi melalui orang sekeliling.

Jam menunjukkan pukul 5. Halaqah itu bermula dengan Al-Fatihah pembuka majlis. Ucapan syukur pengerusi majlis. Dan mereka sepakat tilawah dan tadabbur Surah Hujurat. Dia mengiyakan sahaja permintaan adik-adik smart circlenya. Tahu mereka pasti ada sesuatu yang ingin dikongsi, walaupun tafsir surah itu acapkali sudah dibincangkan. Surah yang banyak peringatan tentang adab dan akhlak, menjaga pergaulan dengan ahli masyarakat. Realiti zaman sekarang, adab dan akhlak makin sirna dalam diri individu muslim. Sedangkan hakikatnya, Islam zaman dahulunya tersebar dengan kemurnian akhlak yang ditunjukkan. Sehingga musuh yang di dalam tawanan mengucap kalimah syahadah hanya selepas mendapat layanan yang baik oleh tentera muslim, melihat cara hidup dan peribadi yang unggul. Bertauhidkan Tuhan Yang Satu, Islam agama yang indah sekali.

Mereka teruskan lagi, Setiap pembentang menyampaikan isi-isi buah peringatan. Sungguh, majlis ilmu itu ibarat taman-taman syurga. Dirinya seolah hilang sebentar dari dunia luar. Dia senang dengan suasana begitu. Hingga akhirnya mereka tutupi dengan sesi taaruf, bersoalkan kegemaran masing-masing di kala musim lapang. Semuanya ingin mencelah, mengorek rahsia, merapatkan ukhuwah dalam mencari titik temu dan merai perbezaan. Alhamdulillah, hari itu dia pulang dengan melihat indah nian matahari terbenam di tepian Laut Iskandariah. Dalam kesibukan kota, jiwanya tenang. Hatinya membisik, "Aku ingin menulis lagi".



Tuesday, April 14, 2015

If you fail to plan, you plan to fail.

Alhamdulillah, atas nikmat masa lapang dan waktu sihat. Yang selalu orang lupa.

Sudah berada di tahun akhir pengajian. Usia pun hampir mencecah 24 tahun. Jalan yang bakal ditempuh pastinya lebih sukar di kemudian hari. Ikut ijtihad sendiri, bukan ibu bapa atau guru-guru seperti di waktu sekolah.

Sekarang dalam waktu elektif. 2 minggu. Dan akan memasuki fatrah study leave, melangkah ke arah final semester. Peperiksaaan Grand OSCE. Yang paling digeruni pelajar perubatan.

Nah, sekarang merasa begitu takut. Takut dengan diri sendiri yang tidak ada perancangan. Kemana diri ingin dibawa? Apa perancangan jangka pendek? Bagaimana pula perancangan jangka panjang?

Terkadang diri sendiri letih merencana takwim hidup sehari-hari. Sehingga kabur mata merenung planner menyusun waktu, membahagi keutamaan dalam menyelesaikan hak-hak. Namun, itukah langkah paling penting, merancang. Dengannya banyak perkara yang mampu diselesaikan.

Dalam pada kita sibuk merancang masa depan, jangan lupa untuk letak pergantungan pada Allah. Bukanlah sesiapa yang mampu untuk memastikan apa yang kita mahukan itu akan berlaku, tapi atas kuasa Dialah yang memberi apa yang Dia hendaki dan menahan dari apa yang Dia mahu. Letak kepercayaan sepenuhnya pada Dia.

Benarlah, kata seorang hamba Allah, kita kena reda. Terkadang bila kita seolah menyesali perkara yang Allah takdirkan berlaku pada kita, seolah kita menyalahkan dan tidak meyakini perancangannya. Lalu, bagaimana hati hendak menjadi tenang?

Wahai diri,

Yang Islam ajar, apa-apa perkara pun perlu pada strategi dan perancangan. Sebagaimana peristiwa hijrah baginda, walau atas wahyu Allah sekalipun untuk berhijrah ke Madinah, baginda junjungan keluar penuh waspada. Di waktu malam hari, hanya berteman sahabat yang paling baginda percayai. Melalui jalan yang tidak dilalui orang pada kebiasaanya. Menyorok di Gua Thur. Dan atas semua perancangan, baginda meletakkan sepenuh tawakal kepada Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dan nusrah Allah pun datang, sehingga tersebarlah Islam ke seluruh dunia pada hari ini.

Kamu, perancangan bagaimana? Tawakal kamu sampai mana?

Bangun. Jangan jadi umat Islam yang malas. Sedangkan musuh Islam begitu hebat merancang untuk menjatuhkan Islam, bagaimana kamu boleh kalah merancang diri sendiri? Siapa yang mahu membawa Islam?

Wednesday, March 18, 2015

Lost and found?

Alhamdulillah, atas nikmat yang kita nampak dan tidak. Yang datang dalam bentuk konkrit mahu pun abstrak. Yang kita boleh pegang dan yang hanya boleh dirasa di hati. Alhamdulillah.

Saya tak tahu kenapa. Cuma belakangan ni, selalu keciciran barang. Entah, saya bukan jenis yang senang hilang barang. Ujian barangkali.

Kelmarin, saya hilang dompet. Serasa ini pertama kali sepanjang saya mempunyai dompet. Yang saya baru perasan bila lewat malam. Terus dail nombor CIB untuk terminate card credit.

Ada hikmah barangkali. Ingin cuci harta bak kata orang. Atau kafarah dosa di mana-mana.

Dan semalam, saya pergi ke bank. Untuk ganti kad yang baru.

Kelakar sedikit bila, tandatangan saya bermasalah. Kata pegawai tersebut,'It's totally different" bila dirujuk pada tandatangan yang direkodkan 5 tahun yang lepas. Sudahnya saya terpaksa berlatih untuk pastikan tandatangan saya itu sama. Alhamdulillah, berjaya :)

Selesai urusan di bank, saya menuju ke Misr Turk, untuk hadiri kelas arab saya. Level yang paling lama, sudah 10 bulan. Dalam perjalanan, pegawai tersebut hubungi saya, menyatakan saya perlukan surat dari kedutaan dan pengesahan saya pelajar dari university (kad pelajar). Allah.

Disebabkan masih ada masa, saya pergi ke bangunan Mara, jumpa dengan pegawai dan alhamdulillah, bisa diatur :)

Dan saya teruskan kelas arab pada petang itu..dan kami sambut birthday ustazah suria. :)

Sentiasa percaya yang setiap yang hilang itu, gantinya lebih baik.
Sentiasa mencari hikmah di sebalik perkara yang berlaku.

Moga diberi kekuatan untuk teruskan hari yang mendatang, Nampaknya, tahun akhir ini memang sukar dari sebelumnya. Banyak hak yang perlu ditunaikan,  banyak misi yang perlu dicapai.

Moga sentiasa ikhlas beribadah keranaNya.


Saturday, March 14, 2015

Diterimakah?


Alhamdulillah, atas nikmatnya.

Semalam hari yang penuh, menghadiri MAT (Mesyuarat Agung Tahunan ) ke 11 PERUBATAN di Kaherah. Yang terakhir barang kali, yang paling terasa di hati. Buat pertama kali lagu Perubatan dinyanyikan setelah setahun cuba dihasilkan.

Banyak sangat perkara yang boleh diresolusikan. Adat mesyuarat, perlu diperhalusi. Mendengar dan memberi pandangan, adab dan akhlak mestilah dijaga.

Andai kata bekerja untuk Islam, perlu dimuhasabah,bagaimanakah hasil kerja kita itu, yang ingin dipersembahkan kepadaNya, agar menjadi pemberat amal kebaikan di akhirat kelak?

Dalam perjalanan pulang di dalam bas, keputusan peperiksaan lepas keluar.

Agak kecewa dengan prestasi diri sendiri.

Disangka, ujian lisan boleh membantu meningkatkan markah, namun sebaliknya berlaku.

Lantas aku bertanya, ku kira jawapan yang diberi sudah memuaskan hati professor, sementelah mereka menunjukkan reaksi yang bukan negatif.

Tapi, tidak berlaku demikian.

Wahai diri, bagaimana kau menjamin semua amalanmu diterima?

Ikhlas dan istiqamahlah..


Saturday, March 7, 2015

Setahun berlalu..

Alhamdulillah, atas nikmat dan kurniaNya.

Lama sudah tidak menulis. Ketandusan idea barangkali. Takut juga andai menulis perkara yang tidak bermanfaat. Namun, terasa sayang andai baki masa di Mesir, yang kurang dari setahun tidak dicoret. Azam baru, meninggalkan memori-memori di Mesir di alam maya ini :)

Sekarang berada di Round Surgery, Department Gastrointestinal System. Banyak sangat perkara yang perlu dipelajari, Sampai letih sendiri, bukan letih mengulangkaji, tapi letih memberi semangat pada diri.

Satu perkara yang ingin disimpan di sini, sewaktu berada di Department Head And Neck yang lalu.

Dapat case Squamous Cell Carcinoma.

Pertama kali dapat, Dapat tengok clinical manifestation secara real, bukan sekadar teori seperti sebelum ini.

Pesakit datang masuk ke dalam kelas, seorang lelaki yang berusia 40 an, tipikal lelaki arab kelas bawahan, memakai jubah, bersama segumpal kapas yang memenuhi ruang mulut sehingga bawah dagu.

Awalnya, aku biarkan rakan sekelas untuk mengambil sheet. Sekadar memerhati dari tempat dudukku di barisan hadapan. Namun, selepas beberapa ketika, aku buat keputusan untuk bantu mengambil history patient. Tambahan, pesakit tersebut kelihatan sukar untuk berbicara.

Data peribadi ditanya. Selesai. Mula ambil aduan, sebab pesakit datang.

Rupanya beliau sudah membuat pembedahan. Tapi, barah tersebut tidak dibuang sepenuhnya, (sepatutnya wide local excision with safety margin), maka sisa barah tersebut merebak. Cepat, Sememangnya Squamous Cell Carcinoma dikenali dengan sifat aggressive. History yang tidak sampai 2 tahun.

Aku bertanya lagi, Sayu melihat keadaan beliau.

"Macam mana pak cik makan?"
" Azab..azab". jawab pak cik dalam bahasa Arab, yang ku kira orang melayu pun faham.

Kami teruskan dengan clinical examination. Aku minta kebenaran untuk melihat keadaan mulut beliau. Awalnya ku kira beliau tak benarkan, dengan keadaan yang sangat teruk. Tapi, pak cik tersebut sangat bekerjasama.

Pak cik buka kapas. Allah, bibir bawahnya sudah tiada, dimakan barah. Kulit bawahnya sehingga dagu pun tiada, terus menampakkan gusi dan gigi. Air liur mengalir tapi pak cik masih berusaha menjawab persoalan kami.

Aku mengambil sarung tangan. Cuba untuk palpate kawasan leher, mencari sekiranya ada cervical lympadenopathy. Jumpa. Hard, fixed to underlying structure. Memang sign of malignancy. 
Selesai berdiskusi dengan rakan sekelas mengenai kes ini, Dr Ayman Sameh masuk. Ingin memulakan sesi pembelajaran.

Rakanku bentang kes. Sebelum bermula perbincangan, doktor katakan pada kami, sebak aku mendengarnya.

"This patient is blessed. We are not fully blessed. You know when someone face hardship, Allah will give difficulty to them. Just like sahabah, when they are comfortable with no trials, they go and see Rasulullah and ask, Ya Rasulullah, Did Allah has stop to love me?" (lebih kurang beginilah mesej yang cuba doctor sampaikan)

Kelas berjalan seperti biasa.


Ujian tanda Allah sayang. Dan ingatlah, ujian itu sekadar tanda untuk Allah lihat bagaimana kamu hadapi, bukan apa keputusannya.

Athirah, this is only a test. You gonna pass through it.

selamat bermujahadah.