Sunday, February 24, 2013

Sungai Nil...

Alhamdulillah, diberi kekuatan untuk menulis hari ini. Kekeringan idea, ditambah pula dengan jadual yang agak menekan saya belakangan ini, lama tidak meluah rasa.Tambahan, musim peperiksaan yang makin menghampiri, membuatkan masa agak terbatas. Kali ini, paksa diri untuk coret sedikit, lepas hati ini diisi dan diberi kekuatan.

Banyak yang saya dapat dalam perkongsian bersama-sama sahabat jumaat lalu. Lama tidak bersua muka, banyak kalam-kalam taujihat yang dilontarkan buat peringatan sahabat-sahabat dan lebih pada diri sendiri sebenarnya. Tapi, banyak input yang boleh diambil. Dan semalam, berkumpul bersama adik-beradik 'smart circle' saya, me'recharge' energy yang semakin 'low'.

Banyak yang ingin dikongsi. Cuma tertarik mengenai satu kisah. Tentang Saidina Umar yang menulis surat kepada Sungai Nil. Sungai itu tidak pernah kekeringan air, sehinggalah satu hari sungai tersebut kontang. Isi kandungan surat itu berbunyi:



Isi kandungannya berbunyi: “Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi, tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu maka kami memohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula!”


Terkedu sebentar. Peringatan buat diri sendiri, untuk mencontohi sungai Nil. Kalaulah dalam dunia ini kita hidup kerana kehendak kita, maka kita bebas untuk buat apa-apa, dan bebas untuk TIDAK BUAT APA-APA. Tapi, kita ingat semula, apa tujuan kita hidup. Apa yang kita nak capai. Kemana sebenarnya arah tuju kita? Destinasi terakhir? Dan untuk perjalanan yang masih jauh, tidak tahu bila akhirnya, apa yang ada dipertengahan perjalanan, cukupkan bekalan kita?

Tidak mahu memanjangkan kalam, marilah kita terus bergerak. Walau sesukar manapun laluan itu, yakinlah memang Dia yang lebih mengetahui kenapa Dia letak kita disitu. Apa pun yang kita lakukan sekarang, teruskan berusaha. Dia Yang Maha Melihat, Dia sentiasa bersama kita.


Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). (At-Taubah: 42)






Saturday, February 9, 2013

Tepuk dada, tanya iman

Bismillah..

Kali ini tergerak untuk meluah rasa tentang fenomena yang berlaku di depan mata. Lama sudah memerhati, baru kini diilhamkan untuk berkata.

Sebenarnya ada sedikit rasa kecewa. Melihat teman-teman yang dulu istiqamah ke kelas pengajian agama waktu tahun-tahun pre-clinical dulu, kini tidak lagi turut serta dalam majlis-majlis ilmu yang dinaungi para malaikat. Kalau dulu zaman 'muda-muda' dulu, rajin nampak, tapi sekarang, dah semakin kurang.

Sedari dulu lagi saya perhatikan. Bila mana melangkah ke tahun clinical, masing-masing seolah-olah buat hal sendiri. Tak libatkan sangat dalam program-program yang dianjurkan. Cuba juga berbaik sangka, mungkin ada hal yang lebih perlu di 'aula' kan, tapi kalau acap kali, diri ini tertanya-tanya juga.

Sememangnya kita sebagai ahli dalam bidang yang kita ceburi, fardu ain ke atas kita untuk belajar bersungguh-sungguh, mendalami ilmu-ilmu perubatan sebaiknya,menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas kita untuk berkhidmat kepada masyarakat kelak. Namun, itu tidak menggugurkan kewajipan fardu ain ke atas kita untuk belajar sedikit dari ilmu agama, bukanlah sampai mampu memberi fatwa, tapi cukup untuk buat kita beramal dan beribadat kepada-Nya.

Tak perlu tanya soalan yang susah-susah, kadang-kadang bab solat jama' dan qasar pun belum tentu betul-betul arif.. Sudahnya bila bermusafir baru terkial-kial. Belum masuk lagi bab aqidah. Kita semua cakap nak mendapat cinta dan reda Allah. Tapi tanya iman sendiri, sejauh mana ilmu kita tentang makrifatullah? Subjek tauhid yang kita belajar pun setakat SPM, lulus dah cukup. Sifat 20  pun ingat-ingat lupa. Allah, layakkah kita meraih cinta-Nya?

Tidaklah berdosa andai kita tidak tahu tentang sesuatu perkara, tapi salahnya bila kita MAMPU untuk pergi belajar tetapi kita lebih senang berdiam diri di rumah, melakukan perkara-perkara lain yang entah penting atau tidak. Di situ teruji juga, Fiqh Aulawiyat kita bagaimana? Ternyata banyak lagi perkara yang perlu kita bertanya dan belajar.

Banyak manfaat yang kita peroleh jika kita menghadiri majlis-majlis ilmu. Bayangkan, seawal kita hendak pergi lagi, dengan hanya berniat, kita malaikat Raqib sudah mencatit pahala  untuk kita. Kemudian sepanjang perjalanan kita ke tempat tersebut, tanpa kita sedari makhluk-makhluk di bumi mendoakan kebaikan untuk kita. Sampai di sana, kita duduk dalam taman-taman syurga yang dinaungi para malaikat yang sentiasa mendoakan orang yang menuntut ilmu. Kita berguru dengan alim ulama, banyak berkatnya berdamping dengan ulama yang menjadi pewaris nabi (menurut satu hadis). Diri kita terpelihara, berada dalam kalangan orang-orang yang soleh, saling ingat-mengingati. Bertemu dengan sahabat, merapat ukhuwah. Dan pastinya kita pulang dengan rohani kita terisi. Nah! Apa lagi sebab untuk kita lepaskan peluang ini?


Barangsiapa menempuhi sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan menempuhkan suatu jalan untuknya menuju ke syurga."

(Hadith riwayat Muslim)

Sepatutnya, semakin bertambah umur kita, semakin banyak yang perlu kita tahu. Untuk itu, semakin banyak yang patut kita pelajari. Sayangnya, kita menjadi semakin malas. Tiada salahnya sekiranya kita mendoakan dengan kesungguhan kita menuntut ilmu agama menjadi wasilah untuk kita lebih cemerlang dalam bidang yang kita ceburi. Kerana usaha kita mencari bekalan untuk akhirat kelak menjaminkan kehidupan kita di dunia.



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

مَنْ كَانَتْ اْلآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ

“Sesiapa yang akhirat menjadi harapannya, Allah akan menjadikan rasa cukup di dalam hatinya dan menyatukan urusannya, dan dunia akan datang tunduk kepadanya. Tetapi sesiapa yang menjadikan dunia sebagai harapannya, nescaya Allah akan menjadikan kefaqiran di antara dua matanya serta mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar apa yang telah ditetapkan baginya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/5, no. 2389. Dinilai sahih oleh al-Albani)


Kita juga suka berkata, 'aku belajar kerana Allah'. Betul, alhamdulillah. Tapi, kita manusia memang mudah lupa. Oleh itu, kita kena ingat, setiap amalan bermula dengan niat. Jadi bukan hanya waktu nak belajar perlu niat.  Muhasabah diri sendiri, hari-hari yang kita terlepas majlis ilmu, apa yang kita niatkan untuk amalan yang kita buat? Adakah kerana Allah juga?

Akhir sekali, peringatan juga buat diri ini, majlis ilmu itu tidak rugi tanpa kehadiran kita. Islam itu tetap akan menang walaupun tanpa kita. Kerana Allah pasti akan mencari orang untuk menjaga dan membela agama-Nya. Beruntunglah bagi orang yang menjadi pilihan Allah. Tanya diri kita sendiri, apa yang kita buat untuk Islam? Adakah kita ingin menjadi orang yang memberi sumbangan Islam? Cukupkah kelayakan untuk menjadi tentera Allah? Bersediakah kita?

Moga Allah beri kekuatan pada kita semua. Buat yang sedang mencari, moga Allah tunjukkan jalan. Yang sudah berjumpa, tapi masih merangkak, moga terus kuat agar dapat melangkah. Yang sudah bertatih, jangan pandang belakang, teruskan berjalan dan berpautlah pada yang mampu memimpin. Yang sudah berlari, jangan berhenti, sama-sama tarik sahabat yang masih tertinggal. Semoga kita sama-sama mendapat reda dari Ilahi.

p/s: ini cakap-cakap dengan beberapa sahabat...

Thursday, February 7, 2013

Kenangan di bumi Turki

Assalamualaikum wbt..

Nampaknya hati masih tertinggal di Turki. Macam tak percaya jasad sudah kembali ke Iskandariah. Terbayang-bayang kenangan di sana. Masih tak puas menatap gambar-gambar jaulah bersama sahabat-sahabat. Dan di sini ingin mengabadikan kata-kata semangat seorang sahabat...

Salam turkish-mate sekalian.hee
Alhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah
Tak terucap syukur pd Allah kpd indahnya kenangan kite bersama di turki, bumi ottoman empire suatu ketika dahulu
Yang masih lagi rindu2 tertitis air mata
Dek kebaikan dan keindahan berukhuwah dengan org turkey
Kita berdoa jika tidak diketemu oleh dimuka bumiNya ini
InsyaAllah di syurga kite bertemu kembali dgn org2 yg dikasihi
Kite kembali ke dunia nyata
Ke bumi mesir yg menuntut 1001 perjuangan dan pengorbanan
Kesusahan jerit tangis di sini mari kite hadapi kembali
Kite kutip semangat Badiuzzaman said nursi
Kite bina kekuatan seperti Sultan Mehmet Fatih
Kita kembali pd Allah bak Syeikh Jalaluddin arRumi, ahli sufi
Kita bina ukhuwah sebagaimana yg diucap Mudir ketika malam itu
Kite jd mereka yg meraikan tetamu sperti anne shaymak, anne zalikha, anne syukran, summayyah dan sahabat2 di dormitary
Bukan sahaja kecantikan senibina masjid yg kite taajubkan
Bukan sahaja kecantikan alam yg kite tadabburkan
Semoga doa2 yg kita tawasulkan di makam2 hambaNya yg soleh dimakbulkan Allah, sang Pencipta insyaAllah
Ayuh, kite jadi pemudi penggoncang dunia
Yg kuat semangat juangnya
Terima kasih kerana kalian semua, aku ditarbiah Allah 

Ada kesan pada hati yang merasa..:)

Tuesday, February 5, 2013

Risalah Nur dan Edirne

Alhamdulillah, telah selamat sampai ke bumi Alex setelah berjaulah selama hampir dua minggu ke bumi Turki. Mulanya saya tidak bercadang untuk ke luar Mesir untuk cuti winter kali ini, tapi Dia telah mnyediakan perancangan yang lebih baik untuk saya, banyak sangat yang saya dapat pada percutian kali ini, seolah-seolah tarbiyyah baru, 'special edition' yang Allah beri untuk saya.

Tak tahu bagaimana ingin meluahkan apa yang dirasa, setiap saat di sana sangat berharga, pengalaman yang tidak dapat saya perolehi di tempat lain. Semuanya, masya Allah, rakan-rakan jaulah yang Allah beri, saudara-saudara di Turki, tempat-tempat yang kami lawat memberi seribu satu makna.

Kenapa saya kata lain?Mmm, saat ini tangan saya berhenti menaip, namun bibir mengukir senyuman. Allah, manisnya saat itu..

Trip kami kali ini mengikut rombongan dibawah seliaan ustaz-ustaz, yang mana salah seorang ustaz merupakan abang kepada sahabat saya yang juga dalam trip ini.

Mula-mula kami melawat sekitar Istanbul dan Bursa..kemudian kami mengikut trip bersama sebuah syarikat di Turki yang mementingkan cara hidup Islami ke Edirne-singgah sahaja di Cannakale-Pamukkale-Konya, kemudian balik ke Istanbul..trip yang kedua itulah sangat memberi makna.

Awalnya kami ingin berjalan sendiri berdasarkan apa yang telah dirancang, tapi nampaknya perancangan Allah lebih baik, maka perjalanan kami berubah 100% dari apa yang dirancang.

Tidak mampu untuk mencatitkan semula detik-detik indah, tapi disini ingin mencoretkan pengajaran disebaik semua ini. Kalaulah saya mampu, ingin membukukan hari-hari di sana, tapi kali ini cukuplah sekadar cebisan-cebisan kenangan.

Banyak perkara yang saya belajar. Kalau di Istanbul, saya menelusuri kehebatan Sultan Mahmud al-Fateh, betapa hebatnya beliau sehingga mampu menakluk Kota Constantinople.

Hadis yang wajib hafal ..

"Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera ... " (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Alhamdulilah, saya berjaya menghabiskan buku tentang Sultan Al-Fateh, milik seorang sahabat, karya Abdul  Talib. Hebatnya seorang hamba apabila dia betul-betul mengamalkan ajaran Islam, sehingga mampu membenarkan satu hadis setelah beratus-ratus tahun berlalu.

Bukan setakat mengetahui sejarah dan tokoh-tokoh Islam, tapi menyedarkan saya sendiri betapa sangat kurang pengetahuan saya tentang agama Islam sendiri. Teringat kata-kata seorang ustaz, kata beliau, "Kalau saya tanya 10 orang, apa itu Islam, pasti jawapan yang keluar adalah berbeza-beza,". Muhasabah diri sendiri, apa jawapan kita?

Seawal malam pertama lagi di Istanbul, saya'diketuk' dengan perkara ini. Kami makan malam di sebuah pusat yang menjadi penyelidikan tentang Risalah Nur. Disini barulah saya tahu tentang seorang tokoh pemikir yang memperjuangkan Islam pada zaman Kamal Atartuk. Badiuzzaman Said Nursi. Agak asing pada saya awalnya. Namun masyarakat Turki yang masih kuat pegangan Islamnya, sangat mengkagumi tokoh tersebut. Kalau di Mesir, orang-orang Mesir mempunyai as-Syahid Imam Hasan al-Banna, tapi di Turki mereka ada Badiuzzaman Said Nursi. Said Nursi menulis banyak risalah sehingga menjadi koleksi yang dipanggil Risalah Nur. Tokoh yang sangat hebat, orang yang dipilih Allah untuk menjaga agama-Nya pada zamannya.Alhamdulilah, sempat mengikuti kuliah bersama Ustaz Nazrul membaca Risalah Ikhlas dan Ukhuwah (dari koleksi Risalah Nur). Sangat bermanfaat.

Lagi perkara yang saya ingin highlight. Kami pergi ke Kota Edirne. Edirne merupakan pusat kedua selepas Istanbul. Selepas pembukaan kota Constantinople, barulah pusat pemerintahan beralih ke Istanbul yang bermaksud kota Islam. Bandar Edirne merupakan bandar pertama yang berjaya dikuasai dalam usaha Sultan Fateh menawan kota tersebut. Ketika kami sampai, bandar ini sangat sejuk dan bersalji. Indah sangat pemandangan tatkala melawat masjid Selimiye yang dibina oleh arkitek Mimar Sinan. Masjid ini sangat cantik, memaparkan seni bina Islam. Diceritakan, Edirne dipilih sebagai tempat pembangunan masjid tersebut didasarkan mimpi Sultan Selim II. Di dalam mimpinya, Nabi Muhammad saw memerintah sultan untuk membangunkan sebuah masjid besar di Edirne, kota yang menurut mimpi itu dilindungi oleh Nabi Muhammad saw. 
Masjid Selimiye (Selimiye Camii) yang berlatarkan salji memutih..


Tugu Mimar Sinan (arkitek)  dan Masjid Selimiye

Satu lagi masjid yang sempat kami lawati di Edirne ialah Uc Serefeli Camii. Masjid ini dibina pada zaman pemerintahan Sultan Murat II. Tak banyak maklumat yang saya ingat, tapi masjid ini mempunyai 9 kubah. Satu lagi, ketika khatib membacakan khutbah, beliau akan memegang pedang.



Banyak sebenarnya yang ingin dikongsi. Untuk kali ini, mungkin sampai sini sahaja. Kalau sebelum ini nama Edirne pun tak pernah dengar, tapi kini banyak memori yang akan saya simpan sampai bila-bila. In  sha Allah akan mencoretkan memori lain pula di kota-kota lain yang sempat saya ziarahi di sini.

In sha Allah, ada rezeki, akan ke sana lagi..:)