Tuesday, October 15, 2013

Tadhiyyah manifestasi tarbiyyah

Alhamdulillah, kali ini diberi peluang untuk beraya aidil adha di perantauan, kali kelima. Berbeza sedikit kali ini, kami masih dalam waktu cuti, belum ramai sahabat yang pulang ke Mesir. Apa pun, kemeriahan beraya tetap berasa bersama sahabat-sahabat yang sudah berada di sini.

Seperti biasa, paginya, akan berkumpul di Bangunan Mara di Iskandariah, untuk solat sunat aidil adha dan mendengar khutbah. Kalau orang arab akan solat awal lagi, kami budak melayu, lewat-lewat sedikit. Dengar khutbah melayu, in sha Allah input difahami.

Dan seperti biasa akan diulang cerita mengenai kisah pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga, dari kisah seorang ayah yang patuh dengan perintah Allah, meninggalkan isteri dan anak yang masih kecil, yang disayangi, di padang pasir yang kontang, sehinggalah baginda kembali dengan perintah Allah untuk menyembelih anaknya itu.

Bagaimana kuatnya iman Nabi Ibrahim, menjalankan perintah Allah untuk mengorbankan anak yang sudah lama ditinggal, datang untuk mengambil nyawanya.

Bagaimana patuhnya Nabi Ismail, dalam usia yang masih muda, reda dengan ketentuan dari Allah, memahami suruhan Yang Maha Esa.

Bagaimana redanya Siti Hajar, merelakan diri ditinggal bersama anak di tempat yang tandus, dan membesarkan anaknya, hingga menjadi seorang yang begitu patuh.

Kisah yang biasa didengar, namun bak kata seorang ustaz, sirah nabi, walau banyak kali diulang, akan ada pengajaran yang akan kita dapat, akan ada info baru yang kita terima.

Dan kali ini tersentak dengan kata ustaz, "Kuatnya Nabi Ibrahim yang sanggup meninggalkan keluarga, walaupun baru bernikah dan anak masih kecil, di tempat yang tiada sesiapa pun, padang pasir yang tandus".

Bukan ingin membandingkan dengan situasi sekarang, dengan iman para nabi, tapi lihat diri kita, insan yang imannya biasa-biasa, senipis kulit bawang.

Risaunya ingin membiarkan anaknya belajar di bumi Mesir, ardul kinanah, dalam keadaan politik yang tidak stabil. Seorang anak yang sudah besar, dalam kelompok masyarakat yang saling membantu dengan bahan keperluan asas yang masih dalam capaian.

Jauh benar kalau dibandingkan dengan kisah pengorbanan agung itu. Memang tidak layak dibandingkan pun. Terasa diri kecil, malah besarnya jiwa Nabi Ibrahim sehingga sampai tahap itu sanggup berkorban.

Itulah namanya pengorbanan, benda yang kita sayang sangat, tapi perlu dilepaskan. Tak bermakna sebuah pengorbanan andai benda tu memang kita nak buang, dah tak perlukan.

Bak kata ustaz pagi tadi, kalau kita ingin membuat korban binatang, sebaiknya kita bela terlebih dahulu, jaga haiwan itu baik-baik, hingga timbul perasaan sayang dan belas kasihan, barulah haiwan itu disembelih. Mengorbankan benda yang kita sayang.

Itu bukti tarbiyyah seseorang, didikan dari kefahaman agama sehingga mampu melahirkan insan yang mampu berkorban di jalan Allah.

Kuatkan diri untuk menerima tarbiyyah, moga kita dipilih Allah untuk berjihad dan berkorban untuk menegakkan syiar agama-Nya.

Cuti semakin pendek. Buat pertama kali, university mengeluarkan slip keputusan peperiksaan setelah empat tahun. Semoga diberi kerajinan untuk belajar dengan lebih baik, memahami sedalamnya ilmu yang diceburi, bekerja dengan lebih kuat, menyumbang untuk ummah.

Kerana sejauh mana kita sanggup berkorban, itu bukti didikan yang kita terima. Tak kira di bumi mana, di university mana. Dan orang yang menerima tarbiyyah punya kekuatan untuk memberi tadhiyyah.



P/s: tajuk diambil sempena tema program aidil adha di Mesir. Besar maknanya untuk mereka yang merasai :)




Monday, October 14, 2013

holiday in egypt?

Alhamdulillah, masih diizinkan untuk berada di ardul kinanah.Setelah banyak perkara yang berlaku, melibatkan politik mesir sehingga menjejaskan pengajian pelajar yang menuntut di bumi mesir, alhamdulillah, jodoh saya masih kuat di sini. semoga rakan-rakan yang lain dipermudahkan urusan dan diberikan kekuatan menghadapi ujian.

Tetap pulang ke mesir seperti dijadualkan, sudah 2 minggu berada di sini. Tak banyak yang dapat dilakukan, kelas masih belum bermula, cuma banyak 'merehat-rehatkan' diri sementara masih tidak disibukkan dengan jadual yang padat.Cuba memaksa diri membaca buku-buku sampingan, tak mengapalah beberapa helai pun memadai.

Sempat mengambil angin laut, menikmati keindahan Laut Mediterranean. Memang tak jemu dipandang, "Alex memang fotogenik"- quoted.

Dan setelah sekian lama, baru berpeluang untuk mandi laut. Seronok, bersantai dan berpiknik..:)

Piknik di Pantai Ma'mourah

Alhamdulillah, keadaan di sini baik-baik sahaja. Tak banyak yang berubah. Penduduknya masih meneruskan kehidupan seperti biasa. Dan sekarang kemeriahan Aidil Adha semakin terasa.:)

Beberapa ekor kambing yang di'kandang'kan di tepi jalan, menanti untuk dikorbankan pada Aidil Adha. Gambar ini diambil seminggu sebelum beraya dan sehari sebelum raya, ada unta pula :)
 Hari ini sudah 9 Zulhijjah, esok kali kelima beraya Aidil Adha di perantauan. Mengambil keberkatan Hari Arafah dan cuba beramal dengan hadis ini:

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya: Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

Nabi pun galakkan kita untuk banyak berdoa.


Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda,
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”. [HR. Tirmizi no. 3585. “Hasan”].

Tak banyak idea yang dapat dikeluarkan. Nampaknya, memang kalau bercuti, agak 'slow' sedikit. Memang nak istiqamah memang susah. Mengharap dapat menulis lebih baik selepas ini..