Sunday, June 30, 2013

Amal dan hati

Alhamdulillah, diberi kesempatan menulis. Hari ini kuliah dibatalkan, kerana ada pihak yang ingin menjatuhkan Presiden Mursi membuat demonstrasi. Sejak semalam, jalan raya sunyi, kedai tutup, ramai lagi senang berada di dalam rumah, kerana jangkaan demonstrasi yang lebih teruk daripada 2 tahun lepas berlaku. Kalau dulu, demonstrasi yang melibatkan kesatuan seluruh rakyat Mesir untuk menjatuhkan Presiden Mubarak, tapi kali ini melibatkan pertembungan 2 kumpulan. Semoga keadaan di Mesir baik-baik sahaja. Tak sanggup rasanya menghadapi peristiwa 2 tahun lepas.

Dan saya sepanjang hari, hanya duduk di rumah, bercadang untuk cuba cover semula syllabus Forensic Medicine. Nampaknya, sudah kebosanan bila petang menjelang. Ini pun sudah kerap kali mengupdate di facebook tentang keadaan yang berlaku di Mesir. Setakat ini, hanya demonstrasi secara aman di beberapa tempat. (dah biasa sangat dengan demonstrasi)

AMAL. Ada satu ketika saya banyak kali diingatkan tentang perkara ini. Waktu itu, antara minggu yang agak sibuk untuk saya. Ada lebih sedikit mesyuarat yang perlu dihadiri. Dan boleh dikatakan tazkirah yang datang dari mulut teman-teman dalam mesyuarat menekankan tentang amal.

Kita tak tahu amalan mana yang kita buat yang Allah terima.


Ringkas.

Tapi diulang banyak kali, oleh orang yang lain-lain seolah-olah ada peringatan yang Allah ingin berikan untuk saya.

Kerana amal itu perlukan faham. Barulah kita boleh bergerak.
Kerana amal itu perlukan ikhlas. Barulah membuahkan hasil.

Dan keduanya datang dari hati, faham dan ikhlas yang sebenar-benarnya, yang perlukan tajdid niat sentiasa, semoga diterima disisi-Nya.

Diingatkan juga, kita perlu tajdid niat sebelum, semasa dan selepas kita beramal. Sedangkan Saidina Umar pun memperbaharui niatnya dalam setiap langkah ke masjid.

Itu seorang khalifah, sahabat yang dijanji syurga.
Itu langkahnya ke masjid.

Sedang kita, siapa kita? Apalah sangat amalan kita?

Kenapa penting? Kalau kita fikirkan semula, when an action is done, it is what it is. No turn back. No re-do it again. It's finished. Nasi kalau dah jadi bubur, kita tak boleh ubah jadi beras semula. Kalau semalam tak baca buku, tak boleh kembali waktu lalu untuk tunaikan apa yang kita tertinggal.

Tapi hati, kalau betul pun kita niat awalnya, perlu jaga sentiasa. Hati mudah melencong, sekejap ke sana, sekejap ke sini. Kerana sifatnya berbolak-balik.

Dan hati juga, beza dengan anggota lain, ada rahsia sendiri. Tiada yang mengetahui melainkan Dia Yang Maha Esa. Tiada yang boleh meneka apa yang bersarang, yang tersembunyi dari pandangan manusia. Yang Allah hijab, Allah jaga aibnya.

Dan sini, perlukan kekuatan manusia itu sendiri untuk jaga betul-betul. Kerana Allah tidak melihat kepada luaran, tapi apa yang ada dalam hati manusia itu. Sungguh, sukar untuk menjaga perkara yang terlindung ini. Yang kita kadang-kadang tidak ambil kisah kerana 'tiada siapa yang nampak'. Contoh mudah, ramai yang mengurangkan makannya kerana ingin menjaga berat badan, agar kelihatan cantik di mata manusia, tetapi berapa ramai yang peduli kuantiti makanan yang dimakan kerana bimbang yang berlebihan itu adalah kerana nafsu?

Manusia ini terdiri dari dua, ruh dan jasad. Tanpa satunya, kita seolah-olah mati, tidak hidup.
Kita beri makan pada jasad, jaga, bersenam untuk nampak sihat dan bertenaga cergas pada penglihatan.
Jangan kita lupa untuk beri makan pada ruh kita, agar sentiasa hidup.

Lihat sahabat-sahabat dahulu, walau tiada apa yang tinggal, tapi kerana hatinya sudah dihidupkan dan dipenuhi dengan cinta pada Allah dan akhirat, semuanya terasa cukup. Bahagia milik mereka. Jiwa tenang tidak gelisah.
Tapi manusia sekarang, mengejar harta duniawi, walau bermandi kepingan emas sekalipun, hati resah, jiwa gelisah, hidup tidak aman. Hubungan dengan Allah tidak dijaga.



Mari kita cuba hidupkan hati kita....:)


Tuesday, June 11, 2013

forensic medicine


Alhamdulillah, hari ini diberi kelapangan waktu. Kalau rasa mencabar untuk uruskan masa di kala planner harian dipenuhi pelbagai aktiviti, ujian untuk memanfaatkan  masa lapang tidak kurang hebatnya. Mungkin kita mampu menjaga diri dari membuang masa tika sibuk, tapi anak Adam itu turut ditanya ke mana masa lapangnya dihabiskan.

Long Life Learner. Hidup ini memang satu pembelajaran. Dan pengalaman adalah guru yang terbaik mengajar erti kehidupan. Andai diuji, bukanlah dilihat bagaimana natijah dari ujian kita itu, tapi bagaimanakah diri kita menghadapi sesuatu. Dan manusia sering kali terleka.

Saya baru mula round baru, masih di minggu pertama. Forensic Medicine, cabang medik yang berbeza dari yang lainnya. Membayangkan cerita Crime (CSI), subhanallah, banyak lagi perkara yang perlu dikaji rupanya.

Hari ini lecture tajuk asphyxia. Menghuraikan bagaimana mangsa yang mati kerana tidak mendapat pernafasan yang cukup, bekalan oksigen yang terputus kerana pelbagai sebab. Dan pastinya, lebih menjurus kepada kaedah pembunuhan, bukan kematian secara semulajadi.

Dan practical selepas kelas pula, disambung dengan tajuk Sudden Death, atau kematian mengejut. Dan ini juga penting untuk bezakan antara kematian semulajadi atau ada unsur curiga.

Rasa tersentak bila doktor mulakan kelas dengan intro yang semua pun biasa dengar, tapi bukan semua 'simpan betul-betul'. Kata doktor: " Kita semua akan mati satu hari nanti. Yang bezanya adalah sebab kematian kita itu".

Tersentak sekejap. Dalam kehidupan ini, kadang-kadang kita terleka, kita lalui hidup seperti biasa tanpa kita ingat bahawa aku hidup hari ini, untuk mati suatu hari nanti. Hari yang tidak tahu bila. Yang tidak ketahui bagaimana. Yang kita takutkan iman kita tika itu. Muhasabah diri sendiri, sejauh mana kita bersedia? Kalau tarikh exam yang kita tahu pun kadang-kadang masih kita tangguh untuk belajar betul-betul, persiapan selalu di minit terakhir, kita yakinkah andai kita tahu bila saatnya, kita akan beramal seperti kita akan mati esok?
Manusia selalu leka, perlu diingat selalu.

Satu perkara lagi yang ingin dihighlight tentang prinsip seorang doktor yang mengajar kami tajuk Infanticide. Tentang pembunuhan kanak-kanak. Doktor memberi persoalan, kenapa kita perlu berusaha sungguh-sungguh untuk menuntut bela untuk bayi ini? Yang dibunuh oleh ibunya sendiri? Baru sahaja beberapa jam  keluar ke dunia, sudah diambil nyawanya, tiada siapa pun peduli, kenapa mesti kita tuntut juga keadilan nuntuk bayi yang tak ada kepentingan pun pada siapa-siapa?

Kata doktor: Kita tak tahu, mungkin di sisi Allah, bayi ini lebih mulia dari mana-mana VIP yang ada di dunia ini. Mungkin kedudukannya lebih tinggi dari kita, yang penuh dengan dosa. Dan apabila saya buat kerja saya bersungguh-sungguh, sekurang-kurangnya saya terlepas dari ditanya Allah tentang amanah saya di dunia ini. Tidak boleh hanya kerana bayi ini bukan orang yang dikenali, yang ditunggu sebab kematian, siapa yang membunuhnya, maka saya buat kerja saya sambil lewa. Sebagai orang yang berada dalam profession perubatan, kita harus professional, tidak membezakan darjat siapa pesakit kita. Dan kita buat kerja, kerana Dia melihat, bukan kerana ingin dilihat manusia.

Sungguh, setiap apa yang Allah jadikan itu, ada pengajarannya. Semoga kita dibuka mata hati, melihat kebesaranNya, menambah keimanan dan menguatkan akidah.


Ini makanan arab. Nasi yang dibalut dengan daun anggur, mahsyi  namanya kalau tak silap. Ustazah Suria, ustazah kelas arab kami yang sediakan untuk kami. Dan kami berempat berjaya habiskan semasa ustazah solat 10 minit. Selalu sangat kelaparan masa kelas arab..:)
Selamat pagi Iskandariah. Semoha hari ini lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini..:)
Marilah kita buat kerja sungguh-sungguh. Tanam sifat ihsan...:)

Friday, June 7, 2013

sc aku datang

Bukan sekadar tagline, tapi ungkapan itulah yang tercetus di benakku setiap kali tiba waktu itu.. Ya, aku begitu ingin menatap wajah mereka, setiap satunya. Kerana lama tidak berjumpa, kerana masing-masing sibuk dengan halnya, kerana hanya di SC itu kami bersemuka dan meluah rasa.

                Masih aku ingat pertemuan pertama, mengenali murabbi yang kami cinta. Betapa Allah menjadi saksi, hari itu, di situ dan bermula saat itu ukhuwah kami terbina. Mengenali mereka yang aku terima sebagai keluarga bukan perkara biasa tapi cukup besar dan bermakna. Maka aku pohon ‘Ya Allah, Kau peliharalah ikatan ini, kukuhkan kasih sayang ini, satukanlah hati-hati kami, thabatkan kami di jalan ini’.

                Andai ditanya apa yang istimewa, kami punya dunia sendiri tatkala kami bersama. Cuba mencari antara renggang masa, diusahakan juga ada semuanya. Dalam dunia itu, segala keserabutan minda dan jiwa seakan hilang menjauh seketika. Tak jemu menunggu, tak lelah mendengar, tak segan bertanya, sesekali berderai juga gelak dan tawa. Andai ditanya apa yang ‘bestnya’, cerita murabbi ‘part’ paling utama.

                Jarang sekali kedengaran suara, tapi kehadirannya cukup dinanti semua. Soalan biasa yang diaju padanya, ‘Ani, musyrif dah ada?’. Suryanie Noordin itulah orangnya.

                Amalina memang ‘busy’ sentiasa, sekarang TPah dulu setiausaha. Walau hanya untuk seketika, pasti muncul juga akhirnya.

                Selalunya dia paling awal tiba, ketua yang dedikasi Noornajihah orangnya. Komited bekerja ringan tangannya, kalau nak ‘qiam’ kami ke rumahnya.

                Ruzanna juga senyap orangnya, sekali berkata menyentuh jiwa. ‘Dessert’ selalunya pasti ada, senyap-senyap tapi ada bakat rupanya.

                 Suka berceloteh tiada lainnya, itulah dia Aqilah namanya. Membuat kami selalu tertawa, andai tiada sepi sahaja.

                Athirah pula macam SU lagaknya, bila mencatat memang sempurna. Nak tilawah kami tanya ‘muka surat berapa?’, diam-diam tapi berisi orangnya.

                Syeikhah Hafsah gelaran diberi, dialah yang paling kami segani. Sirah, tajwid, tafsir dan motivasi, pabila berkata menyentuh hati.

                Orangnya ceria sangat ‘supportive’, Liyana Bolhan nama diberi. Ayatnya ‘power’ cukup puitis, itulah dia ex-PKB.

                Sangat cakna isu semasa, cutinya terisi perkara berguna, rajin orangnya suka bertanya,Izyan Hanisah empunya nama.

                Coretan aku mengenai mereka mungkin tak seberapa, tapi cukup aku berkongsi sekadar sahaja. Pertemuan demi pertemuan, menjadikan aku semakin kenal akan keluarga ini. Dan setiap kali itu juga, banyak ilmu yang kami peroleh dari murabbi. Dan ada sahaja perkongsian daripada ahli-ahli yang lainnya, maklumlah semuanya mentor-mentor SC belaka. Tapi acap kali juga aku mungkin terlupa, medan ini bukan sekadar memberi dan menerima.    
Lantas aku teringat Allah berfirman dalam kitabNya ‘ Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?’, (itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan’. Terasa berat terpundak beban, menanggung ilmu yang dicurahkan tanpa amalan yang diterjemahkan.

Mari bersama muhasabah diri, andai benar apa yang dicita, menegakkan Islam di muka bumi, tapi sudah cukupkah memberi?. Mari bersama koreksi diri, andai penuh ilmu di dada, sebanyak mana amalan fardhi, seutuh mana iman di jiwa? Ingat tujuan diturunkan ke bumi, menjadi khalifah juga abdi, jalankan amanah sebagai daie, moga perjuangan sentiasa diredhai.

Bingkisan istimewa buat murabbi, pasti menanti dari tadi. Takkan aku lupa segala budi, mendidik kami tanpa henti. Dialah pemula ikatan kami, dia penyatu ukhwah kami, membimbing kami dan mengasihi,  memberi ilmu juga inspirasi. Adab sopannya memang tinggi, aku mencuba untuk mencontohi, kak Hasyimah nama diberi, murabbi kami penyejuk hati.

 Sedang aku mendengar pengisian yang diberi, aku membayangkan saat kelibat itu tiada lagi di hadapan mata. Pasti rindu kami dibuatnya. Dia bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi, menyambung perjuangan di tanah air sendiri.. Berpisah bukan pilihan kami, perkara yang memang menyayat hati, berjauhan juga tidak sekali, memang itu takdir Ilahi, doakan kami tabah di sini,

Alhamdulillah, aku bersyukur kerana dipilih Allah menjadi sebahagian daripada mereka. Punya murabbi dan keluarga sendiri di sini. Bersyukur kerana dikurniakan insan-insan seperti mereka. Senyuman mereka penawar duka, bicara mereka pengubat rasa. Mungkin sahaja apa yang aku coretkan ada mengguris jiwa, tangan dihulur maaf dipinta.


Jangan dilupa pesan Nabi kita, ‘Jikalau seseorang itu mencintai saudaranya, maka hendaklah memberitahukan pada saudaranya itu bahawa ia mencintainya’. Maka dengarkan aku berbicara, aku sangat cinta kalian semua, moga bertemu di syurga sana, dengan izinNya.

nukilan: Nur Shaquerin Sahuddin 

smart circle

Alhamdulillah, atas segala nikmat hari ini.

Hari ini lain sedikit dari yang sebelum. Semalam selesai exam round Community Medicine. Malamnya, kami adik-beradik berkumpul sama-sama, tidur bersama untuk bangun qiam bersama. Waktu subuh yang seawal jam 3 pagi, menuntut kekuatan yang bukan sedikit untuk bangun malam. Tapi, bila kita bersama, kekuatan sentiasa ada..

Selesai solat subuh, kami sama-sama sediakan sarapan. Ringkas, nasi lemak dan cucur udang, bersama air nescafe susu. Sudah dirancang dari awal, ada yang bawakan beras, udang, kacang, timun dan telur. Sama-sama memberi untuk menerima.



Seronok rasanya bergotong-royong di pagi yang hening itu. Jauh sebentar dari kesibukan pelajaran dan tanggungjawab masing-masing, kami punya dunia sendiri tatkala berkumpul. Bersama ibu dan adik-beradik yang disayangi, setiap saat sangat berharga.

Satu talam berkongsi makanan, kami bergurau senda, berhibur bersama. Sungguh indah perasaan bila ukhuwah itu terasa manisnya. Bila hati itu Allah tautkan.

Kenapa sayang?

Tidak perlu sebab untuk ungkapkan rasa itu. Cukuplah kehadiran mereka dalam hidup kita memberi seribu makna. Andai persahabatan itu ingin dihulur, bukan balasan yang dipinta.

Tidak pandai meluah rasa, hanya ingin berkongsi cerita. Semoga ukhwah itu Allah jaga hingga ke syurgaNya..