Sunday, July 28, 2013

Syukur

Alhamdulillah, selesai sudah menjawab Kertas Community Medicine hari ini. Nampaknya, kebanyakan blog saya akan diupdate selepas berjaya melepasi peperiksaan. Tak mengapalah, kalau tak mampu buat semua, kita jangan tinggal langsung.

Musim peperiksaan yang memaksa diri untuk memerap dalam rumah, menyebabkan tiada idea untuk menulis. Masih belajar mencari perkara yang bermanfaat untuk menulis.

Hari ini 19 Ramadan sudah, hampir masuk fasa ketiga bulan barakah ini. Fasa yang ditunggu, betapa ingin dikejar Lailatul Qadar. Semoga momentum kita bertambah baik untuk meningkatkan amalan dan ibadah kepada-Nya.



Tiba-tiba rasa ingin bercakap tentang syukur. Entah mengapa, terkesan dengan dua scene oleh dua kawan yang berbeza. Satunya sudah lama berlaku, satu lagi masih baru-baru ini, tetapi dua-duanya membuatkan saya terpukul sebentar.

Situasi 1:

Baru sahaja mendapat tahu keputusan peperiksaan semester satu. Berbagai-bagai reaksi dapat dilihat di dewan kuliah, sementara menunggu professor memulakan syarahan.

Saya duduk sebelah seorang sahabat, yang hebat dalam caranya yang tersendiri saya kira.

Saya: Macam mana result, ok tak? Ok je kan?
Beliau: Ok, Alhamdulillah..senyuman dilemparkan.

Balik rumah, sempat melihat sepintas lalu result sahabat-sahabat secara keseluruhan. Dan, beliau yang saya tegur, markahnya cukup-cukup untuk lulus, kurang satu, terpaksa mengulang musim panas nanti. Dan, mengenang beliau, yang mengucapkan syukur, dapat saya rasakan betapa ucapan itu lahir dari hati. Menampar diri sendiri yang kadang-kadang masih iri hati melihat result rakan lain yang lebih cemerlang.

Situasi 2:

Bersembang-sembang dengan rakan tentang result end-round yang baru diperoleh. Biasalah, akan kita bandingkan dengan group yang lepas.

Saya: Macam mana result? Mesti ok je kan?
Dia: Group kita orang teruk sikit. Si A yang score selalu pun dapat sikit je. Macam mana la Si B dari group lain tu salah tiga je. Kita punya markah pun teruk.

Entah kenapa, rasa terkedu sekejap mendengar reaksi tu. Mungkin biasa je berlaku, tapi kali itu rasa dia lain. Ada yang tidak berpuas hati dengan markahnya yang dikira sangat baik kalau dibanding dengan orang yang biasa-biasa sahaja. Yang saya kira, kalau sahabat di situasi A dapat tadi, dia akan sangat bersyukur. Betapa rasa syukur itu mahal. Dan darjat syukur itu berbeza barangkali. Bukan semua orang dapat. Orang yang biasa kena ulang exam, akan rasa sangat bersyukur kalau dia dapat lepas subjek tu, walaupun markah cukup-cukup makan. Tapi yang dapat markah cemerlang, ada juga yang rasa, ala sikit lagi nak dapat markah penuh.

Bukan saya nak kata orang di situasi kedua tak bersyukur dengan markah dia. Tapi, entah, kadang-kadang rasa syukur itu bukan semua orang dapat. Sebab itu Allah banyak kali sebut, sedikit sangat hamba-hambaNya yang bersyukur. Bila orang ingatkan kita untuk bersyukur, masa tu baru istigfar, dan ucap alhamdulillah. Muhasabah diri sendiri, rasa syukur kita di tahap mana?

Analogi mudah orang pesan, kalau lepas exam, kita mesti kesalkan, satu soalan yang kita tak boleh jawab. Sedangkan banyak lagi soalan lain yang boleh jawab.

Tapi, kita tak boleh juga terlalu merasa cukup dengan apa yang ada. Kalau semua fikir macam tu, bila kita hendak maju. Mesti sentiasa berusaha untuk mencapai lebih demi kecemerlangan umat Islam. Cantiknya Islam mengajar kita untuk bersederhana.

Dan ada juga orang pesan untuk bersyukur atas rasa syukur. Bersyukurlah kita dikurniakan perasaan syukur. Kerana itu pun Dia yang beri. Dan semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang bersyukur.

Bersyukur di atas nikmatNya yang tidak terhitung.

Gambar diambil dari tingkat atas masjid bahagian perempuan semasa solat tarawih berdekatan rumah. Orang arab ni semangat sambut Ramadan, gantung lampu dan tanglung. :)


Satu lagi subjek yang tinggal. Orthopedics. Semoga Allah mudahkan baki perjuangan kami, dalam masa memanfaatkan Ramadan yang tinggal di bumi Barakah.

Thursday, July 18, 2013

Ramadan


Alhamdulillah, selesai kertas pertama, General Surgery untuk peperiksaan final. Masih berbaki 3 lagi subjek yang menuntut usaha yang bukan sedikit. Dan kali ini, kami menjalani peperiksaan dalm bulan Ramadan, bulan yang berkat.

Kehabisan idea untuk mencurah kata, cuma ingin mengabdikan satu tazkirah ringkas yang dikongsi seorang sahabat ketika dalam dewan kuliah. Memberi makna yang besar buat hati-hati yang mengharapkan keampunan dari Yang Maha Esa.


Allah, betapa Dia muliakan orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadan lebih dari yang lain walau sekali. Ikutkan berbeza amalan yang dilakukan, tapi kerana keberkatan bulan Ramadan itu sendiri, dia dibenarkan untuk memasuki pintu syurga dahulu.

Sama-sama kita mengambil ibrah. Jadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan tarbiyah untuk kita. Jangan hanya momentum hanya terhenti bila Syawal menjelang, seharusnya kita cuba istiqamahkan diri sepanjang tahun.


Friday, July 12, 2013

Mesir dan Mursi

Alhamdulillah, akhirnya diberi juga kekuatan untuk mencurah idea di sini. Sudah berapa kali ingin membuat post baru, tapi bila berhadapan dengan papan kekunci, idea jadi kaku, walhal banyak sahaja perkara yang berlaku di sini yang boleh saya coretkan. Entah, Allah tak izin barangkali.

Semalam ada berbual dengan seorang sahabat. Tentang politik Mesir, tentang reaksi penduduk Mesir sendiri dari mak cik biasa-biasa di tepi jalan hingga ke seorang doktor yang mengajar perubatan di dewan kuliah. Semua beri pandangan masing-masing tentang negara mereka.

Kami yang berada di sini tidak terkecuali. Yang turut merasa kemenangan ketika rejim mubarak dijatuhkan 2 tahun lalu selepas hampir 30 tahun memerintah, merasa semangatnya thaurah (demonstrasi), betapa penduduk Mesir mengharapkan sesuatu yang baru dengan bertukarnya pimpinan.

Dan setahun yang lalu, di kala musim peperiksaan, semua tekun menghadap laptop untuk sama-sama mengetahui presiden manakah yang menang dalam pilihanraya yang diadakan. Yang telus, menyuarakan harapan rakyat. Dan kami sama-sama gembira mendengar keputusan, berbangga dengan pilihan penduduk yang membuat perubahan baru, agar corak kepimpinan negara diterapkan nilai-nilai Islam.

Nampaknya langit tidak selalu cerah, hujan turun ditengah hari kala bumi Mesir memasuki musim panas ini. Entah, nampaknya kami sendiri keliru kenapa mereka ingin menjatuhkan presiden yang bukan calang-calang itu. Yang merupakan seorang hafiz Quran, bangun, memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin apabila membuka pintu Rafah, yang turut mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria tatkala rejim Basyar semakin mengganas terhadap puak sunni. Mungkin peranan media massa yang terlalu menyebar berita yang tidak benar, seolah-olah presiden mereka tidak pandai mentadbir negara. Seolah dilihat rakyat mereka tidak sabar untuk mengecapi arus pembangunan dan kemodenan walau tempoh yang diberi baru setahun.

Berikutan protes yang dilakukan pihak tamarrud, Majlis Angkatan Tentera mengambil keputusan untuk menjatuhkan presiden mereka. Berjuta bangun semula untuk memprotes, namun sehingga kini keadaan masih begitu. Sedih mengingatkan betapa mereka meraikan kemenangan ketika keputusan diumumkan. Seolah satu perayaan besar malam itu, dengan percikan bunga api, lagu dimainkan di jalanan, dan sorakan penuh kegembiraan. Hati merintih sedih, kecewa dengan apa yang berlaku.

Tapi Allah tak menjadikan sesuatu tanpa sebab. Semuanya untuk mengajar kita, mengambil muhasabah apa yang berlaku. Tidaklah ingin mengungkit apa yang telah terjadi, cuma ingin merenung apa yang perlu dilakukan pada masa depan.

Kerana bukan mudah untuk Islam menang. Tidak kerana seorang pemimpin yang memahami Islam telah mendapat jawatan pemimpin dalam negara, Islam akan tertegak dengan mudah di sesuatu negara. Tidak, banyak tapisan yang Allah buat, banyak perubahan yang perlu dilakukan oleh setiap ahli negara sebenarnya.

Kalau kita analogikan, bagaimana keadaan seorang pemenang? Andai dia seorang atlet lumba lari yang memenangi tempat pertama, pasti andai diajak untuk berlumba lagi, rekod yang cemerlang akan dikekalkan. Kerana dia telah mencapai yang terbaik dalam bidangnya, tentunya hasil dari usaha keras dan berterusan untuk mendapat kejayaan tersebut. Kerana dia tahu apa yang ingin dicapai dan bagaimana dia ingin mencapainya, usahanya luar biasa, maka kita pun akan lihat si pemenang tadi bukan orang yang biasa-biasa. Sama juga halnya dengan seorang pelajar yang cemerlang. Bukan calang-calang usaha yang dilakukan.

Maka, renung diri sendiri, andai kita rasakan Islam itu ingin menang, cukupkah dengan keadaan umat Islam sekarang ini? Yang rata-ratanya masih jahil tentang agama, bagi yang faham, masih malas untuk bekerja untuk Islam, menyebar fahaman pada semua. Layakkah Islam itu tertegak dengan melihatkan akhlak dan peribadi kita sendiri? Ya, adakah saya sendiri sudah betul-betul mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan saya sendiri? Atau masih menjuzuk-juzukkan, untuk diaplikasikan pada ketika-ketika sahaja, masih menerapkan baki-baki sekularisma.

Nah, lihat sendiri, bukan senang untuk mendapat kemenangan itu. Dalam hidup ini, semuanya pasti pernah berlumba, merasa menjadi peserta, bersaing dengan orang lain yang hebat juga. Maka semuanya pasti tahu, untuk mencapai kemenangan Islam itu, tidak boleh bersenang lenang, mengharap sahaja, melihat dari jauh. Bukan Allah yang rugi jika kita tidak membantu agamaNya, tapi kita sendirilah yang rugi jika tidak memperjuangkan kemenangan Islam. Kerana Allah pasti akan menggantikan kaum lain, jika sesuatu kaum itu lalai dan leka.

Pilihan di tangan kita. Semoga kita thabat di posisi masing-masing.

Selamat menyambut Ramadan. Semoga ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya...:)