Sunday, September 18, 2016

She, my other half.

Alhamdulillah, masih mampu tersenyum.
____________________________________________________________________

Hari itu sahabat baiknya bakal menamatkan zaman bujang, bergelar isteri orang dan bakal melayari bahtera rumah tangga.

Dia rasa seronok sekali. Mungkin dia tidak seperti orang lain yang bisa meluahkan rasa hati secara zahir baik pada orang sekeliling mahupun di media sosial. Tapi dia memang begitu, lebih senang diam-diam sahaja.

Sekadar ingin mencoret, mengenang tali persahabatan yang terjalin.

Mereka seolah banyak sekali persamaan. Atau mungkin banyak perbezaan yang masing-masing boleh berlapang dada. Dia boleh meluah andai tidak bersetuju dan mampu mendengar andai berbeza pendapat.

Mereka saling berlapang dada. Persahabatan itu serendah-rendah tingkatnya adalah berlapang dada. Namun ramai yang tersalah sangka. Seolah sudah menjadi sahabat sejati bila mampu berkorban atau melebihkan pihak yang lain dari diri sendiri. Hakikatnya, kadang-kadang hati masih tidak tenang, masih ada sangkaan buruk bila dirasakan ada hak persahabatan yang tidak dipenuhi. Andai benar bibir tegar melaungkan dialah sahabat sehidup semati, masih ada ruangkan untuk bibit-bibit negatif seperti itu?

Lagi, mereka bisa berkongsi kisah, meluah rasa, menyimpan rahsia.

Seolah dia difahami oleh si dia, tanpa perlu mengungkap bicara kala bibir berat sekali meluah rasa. Sorotan mata dan anggukan tanda faham buat dia rasa separuh masalah terbang pergi. Hatinya tenang di samping sahabat sebegitu.Tepukan dibelakang tanda sokongan seperti dia memikul sebahagian beban di bahu. Hingga terkadang andai si dia tidak berada di situ, dia seolah menerima hantaran doa buat diberi kekuatan dipermudahkan urusan.

Doa untuk kamu sahabat,

Semoga kamu menjadi isteri solehah, ibu yang bakal melahirkan anak-anak yang berbakti untuk ummah. Semoga rumah tangga dibina sentiasa dalam rahmatnya, diberkati dan berkekalan ke syurga. Panjang lagi harapanku, biar yang lain diungkap dalam rintihan doa.

Dan semoga persahabatan kita kekal. Doakan juga semoga sahabatmu ini bertemu pasangan yang membawa ke syurga.

Walau kita mungkin tidak selalu bersama, namun harapanku kita saling mengingati dalam doa..

Setelah sekian lama..

Alhamdulillah, setelah sekian lama, hati tergerak untuk menulis lagi. Mencurah rasa hati, meluah beban diri, mencoret kisah diri agar suatu ketika nanti tersenyum sendiri mengimbau memori.
______________________________________________________________________
Hari Ahad, hari keempat cuti untuk minggu itu. Sengaja dia menghabiskan cuti sebelum menamatkan posting Surgical fasa housemanship itu. Sementelah cutinya masih tidak berusik, dan sahabat baiknya melangsungkan perkahwinan di selatan tanah air, dia cuba mencelah diri, lari dari kesibukan bekerja. Seronok sungguh mengenangkan pertemuan dengan sahabat yang jauh mata, dekat di hati, selalu dituturi dalam doa.

Pertemuan itu singkat sekali, namun seoalah mampu untuk mengecas kembali semangat yang hilang. Masing-masing sibuk untuk bercerita pengalaman setelah mula bekerja, aaahh, serasa baru semalam mereka tamat belajar, berseronok dan mengharung suka duka di tempat orang. Dan kini mereka tidak seperti dulu lagi, yang sekadar memenuhi tanggungjawab seorang pelajar. Tuntutan lebih berat. Mereka bermain dengan nyawa manusia. Kerja mesti cekap, mesti cepat dan mesti rajin belajar.

Mereka bermuhasabah lagi.

Ikhlas dalam bekerja rupanya sukar sekali. Kalau di pagi hari, sebelum matahari terbit, azam di hati sudah tersemat untuk membantu mereka yang sakit. Namun bila sampai di tengahari, ujiannya banyak sekali. Kerenah segenap lapisan manusia harus dihadapi. Setinggi-tinggi peringkat ketua hingga serendah gred pekerja dalam carta organisasi. Bahkan juga mereka yang sama pangkatnya. Atau orang diluar yang menuntut layanan kelas pertama.Kala itu diri letih, emosi turun, perut tidak diisi, mungkin sekadar menelan makian dan teguran manusia. Maka, ikhlas kamu di mana ketika itu?

Mereka berbicara lagi.

Menambah ilmu ketika bekerja. Diri seringkali bertanya, mampukah dia menjadi insan yang cemerlang dalam bidang yang diceburi? Serasa hal itu payah sekali. Setiap hari berusaha, memaksa diri belajar sebaiknya. Namun, entah mengapa seolah ada sahaja perkara baru yang perlu dipelajari lagi. Seolah dia menjadi si dungu setiap hari. Sehingga ada ketiak dia penat, ingin lari menjauh diri. Segera diingatkan kembali, andai masih ada guru yang tidak berputus asa memberi tunjuk ajar dan panduan, mengapa cepat benar ingin mengalah?

Banyak lagi yang ingin dinukilkan di sini. Di akhir pertemuan itu, mereka saling meminta maaf, berterima kasih dan memohon doa. Semoga urusan kehidupan masing-masing dipermudahkan. Semoga mereka terus kuat berbakti untuk ummah. Dan semoga mereka berjumpa lagi, dalam jalan yang sama.