Saturday, April 27, 2013

anak perempuan

Alhamdulillah, hari ini selesai satu paper, untuk end of round (Orthopedic). Pertama kali periksa OSCE guna komputer, mendiagnosis x-ray bersenjatakan papan kekunci. Moga Allah beri keputusan yang terbaik.

Seperti biasa, saya akan menelefon umi dan abah saya pada pagi sebelum keluar rumah menduduki peperiksaan. Memohon doa, dengar suara mereka, ada kekuatan dan keyakinan.

Ada kelainan sedikit pada perbualan hari ini dengan abah. Pesanan biasa-biasa, tapi terkesan lebih hari ini. Kata-kata yang sama setiap kalinya, tapi ada bezanya kali ini.

Abah: Nanti nak pergi exam, pergi dengan siapa?
Saya: Kakak pergi seorang je la, housemates semua exam pukul 9. Kakak pukul 11.
Abah: Eh, tak bahaya ke pergi seorang-seorang?
Saya: In sha Allah, ok je, kakak jalan kaki, 10 minit dah sampai U. Siang, ramai orang.
Abah: Tapi, bahaya sekarang jalan seorang2...(macam tak puas hati lagi)

Saya tergamam pun ada. Sudah 4 tahun berada di bumi Iskandariah, seolah-olah abah pesan macam semalam saya baru tiba. Dari tahun 2, sejak berpindah keluar dari asrama mara, saya ke kelas seorang diri. Hampir setiap hari. Dan sememangnya, saya selalu bergerak seorang diri kerana jadual kelas dan komitmen yang tak sama dengan rakan-rakan. Dan abah berpesan seolah-olah dia tidak tahu.

Kerana saya tahu dia risaukan saya. Setiap kali. Walaupun umur sudah mencecah 22 tahun, tapi saya tetap anak kecilnya, yang didukung satu masa dulu. Saya dapat rasakan, ucapan "hati-hati, jaga diri elok-elok," bukan sekadar pesanan rutin seorang ayah, tapi kerana dia betul-betul maksudkannya.

Terdetik untuk mencoret di sini kerana melihat fenomena sekarang di mana anak-anak gadis selalu keluar malam, tanpa urusan yang betul-betul penting. Keluar makan dengan kawan-kawan. Ada juga berjalan seorang diri. Kalau di Mesir, ada sistem mushrif, tapi bukan semua yang menggunakannya. Lagi senang, bertawakal, dengan harapan in sha Allah selamat.

Umum mengetahui, kalau seorang isteri, nak keluar rumah, mesti dapatkan kebenaran suami dahulu. Tapi, kita mesti ingat juga, status bujang ini tidak bermakna boleh keluar sesuka hati, tanpa urusan. Sepatutnya, kena lebih pandai menjaga diri, memelihara maruah diri. Saya sendiri pernah ditegur oleh pak cik Arab, dalam tram kerana masih berada di luar rumah walaupun sudah lewat malam.(Masa itu, mushrif ada kat gerabak belakang). Memang betul pun, tak maniskan?

Post ini lebih sebagai peringatan untuk diri sendiri sebenarnya. Kadang-kadang kurangnya pengalaman kita tentang dunia ini, membuatkan kita tidak berfikir panjang kesan dari tindakan-tindakan kita. Dan kalau kita tak ambil berat pasal keselamatan diri kita sendiri, ingatlah kita kena jaga diri 'anak perempuan' ayah kita baik-baik.

Monday, April 15, 2013

Oh! My Arabic!

Alhamdulillah, atas segala nikmat kurniaanNya..

Baru pulang dari Kelas Arab Fushah yang saya ambil sejak di tahun 2 berada di bumi Iskandariah ini. Seronok belajar, banyak perkara yang ustazah ajar, bukan sahaja bahasa itu sendiri tapi nasihat ustazah persis seorang ibu kepada kami selalu menjentik tangkai hati kami.

Ringkas beberapa perbualan yang terkesan di hati:

Situasi 1:

Kami dapat kerja rumah. Perlu buat karangan. Tajuknya kita boleh rujuk pada petikan yang kita belajar dalam kelas yang lepas.

Ustazah: Jangan tiru ayat bulat-bulat, fahamkan kemudian buat ayat sendiri.
Sahabat 1: Susahlah, kami tak mampu.
Ustazah: Karangan ini hanyalah kata-kata manusia. Kamu mampu tulis karangan yang lebih baik. Hanya al-Quran sahaja yang tidak dapat ditandingi. Tidak ada yang mampu membuat yang sebanding atau lebih baik darinya.
Kami: ............





Situasi 2:

Seorang sahabat datang lambat ke kelas kerana kuliah yang habis lambat ditambah pula dengan jarak yang jauh.

Sahabat 2: Ustazah, sekarang saya dalam round elektif, kelas saya jauh, dekat Mustafa Kamal.
Ustazah : Apa yang jauh, rumah ustazah lagi jauh, dekat Hannouville. Kamukan pemuda, mana kekuatan seorang pemuda?!!

Situasi 3.

Hari ini ustazah nak buat oral exam. Diberi tajuk dan semua orang kena bercakap dalam bahasa arab. Nampaknya kali ini, giliran saya dulu..

Saya: cakap-cakap sedikit.....(ooo, memanglah saya tak tahu nak cakap apa)
Ustazah: Belajar bahasa arab bukan sahaja membaca, memahami makna, belajar nahu tetapi juga bercakap. Kamu mesti bercakap dengan jelas, berterusan(tak tersekat-sekat) supaya dapat difahami. Mesti bercakap. Nanti suatu hari kamu nak jadi doktor, pasti perlu berkomunikasi dengan pesakit-pesakit.

Kadang-kadang malu dengan diri sendiri. Saya belajar bahasa arab dari saya sekolah rendah sedikit-sedikit, belajar juga dan ambil exam masa PMR dan SPM. Kemudian datang pula ke tanah arab ini, dan masuk kelas lagi. Tapi dibandingkan semua itu, sedikit sangat output saya. Ustazah selalu tegur sekiranya kami tidak menyiapkan kerja rumah, " Kamu bayar untuk masuk kelas ini. Sepatutnya kamu berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar seperti mana kamu belajar medic. Kamu mesti ulangkaji, supaya tidak lupa. Ustazah tak rugi apa-apa, tapi kamu sendri macam mana?,"

Masa berbaki 2 tahun lebih sedikit. Semoga saya manfaatkan betul-betul masa di sini untuk mengutip mutiara-mutiara di celah-celah debu Mesir ini. Kerana mutiara terbaik itu berada di dasar yang paling jauh ke dalam, maka bukan sedikit pengorbanan yang diperlukan. Kagum juga dengan sahabat-sahabat yang jauh lagi sibuk, tapi masih semangat. Baru-baru ini, ada sahabat yang baru mendaftar untuk mulakan kelas. It's better late than never, right?



Esok, ada lagi kelas. Dan kena ulang oral exam itu. Moga saya diberi kelancaran lidah dan kekuatan akal.
Letih juga dengan sendiri yang kadang-kadang, selalu sangat berat mulut.

Wednesday, April 10, 2013

permainan masa

Bismillah..



Masa..
Jangan mudah merendahkan nilai sekeping masa tatkala waktu lapang menguasai diari harian..

Masa..
Jangan biar ia dibazirkan begitu sahaja tanpa dimanfaat sebaik mungkin..

Masa..
Jangan sangka yang berlalu mampu kita beli atau ganti untuk satu hari nanti..

Kerana masa..
Takkan pernah menunggu kita..
HambaNya yang lalai bermimpi indahnya dunia
Dalam sedar, ditinggal waktu ditelan zaman
Diam statik kaku mengorak langkah

Maka,
Andai perlu mengejar waktu, maka berlarilah
Usah dihitung lelahnya memerah keringat
Kerana ia juga makhluk Yang Maha Esa
Pohonlah keberkatan dariNya
Moga sentiasa dalam lindungan rahmatNya

Kerana dunia bukan tempat berehat, hanya akhirat kekal abadi bagi hamba abdi yang hakiki...


p/s: carilah keberkatan masa..:)

Tuesday, April 9, 2013

Al-Fateh

Alhamdulillah, baru sahaja selesai exam untuk round elektif. In sha Allah, esok akan memulakan round Orthopedic.

Berkesempatan mendengar perkongsian tentang kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh beberapa hari lepas. Banyak sungguh ibrah yang boleh diambil.Dan rindu Turki menggamit lagi.

826 tahun sebelum penaklukan kota Constantinople, Rasulullah telah bersabda ketika menggali parit bersama sahabat dalam Perang Khandak bahawa kota tersebut akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Peristiwa itu adalah antara pencetus semangat tentera.-tentera Islam untuk terus berjihad dalam penyebarkan Islam ke serata dunia.

Sebanyak 29 kali percubaaan telah dilakukan dan 12 kali daripadanya adalah dari tentera Islam. Ramai pemimpin Islam cuba membuktikan hadis nabi tersebut, seperti Muawiyah dan Khalifah Harun ar-Rasyid sehinggalah kali terakhir oleh Sultan Murad II sendiri, bapa pada Sultan Muhammad al-Fateh.

Apa rahsia kehebatan baginda? Yang pasti baginda juga manusia biasa tetapi mempunyai kekuatan dan kelebihan yang luar biasa. Baginda bukanlah harapan ayahandanya untuk memegang tampuk pemerintahan kerana beliau anak yang ketiga.

Diceritakan, Sultan Muhammad ketika kecil lagi selalu dibawa  ibunya berjalan di tebing bukit yang menghadap Kota Konstantinople. Setiap kali dibaca hadis penaklukan kota tersebut. Ibunya berkata, "kamulah yang akan membuka Kota Konstantinople. Baginda bertanya semula, mengapa bukan ayahanda yang akan lakukan? Bagaimana dia ingin takluk kota itu? Ibunya menegaskan bahawa baginda dapat melakukan dengan ilmu dan iman," -pentingnya peranan seorang ibu dalam mendidik anaknya.

Tapi, sejak dari kecil, baginda mempunyai visi yang luar biasa. Baginda ingin menakluk Kota Constantinople. Dan untuk itu baginda terus bergerak. Memulakan langkah. Mengatur strategi. Membina potensi. Bukan sekadar angan-angan kosong. Begitu juga kita seharusnya. Andai kita ingin mencapai sesuatu perkara, langkah pertama harus dibuat. Jangan bertangguh. Rezeki tidak datang bergolek. Sesuatu yang bernilai pastinya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Kerana syurga itu mahal harganya, maka ujian yang bukan biasa-biasa Allah beri pada hamba-Nya. Dan semua ini mesti dipandu dengan iman dan taqwa. Moga mendapat reda Allah.

Kota Konstantinople bukan senang untuk ditawan. Terletak antara Asia dan Eropah, kedudukannya begitu strategik ibarat pintu masuk kepada dua benua. Sehingga disebut oleh sejarawan, kalaulah dunia ini mempunyai ibu negara, maka Kota Konstantioplelah tempatnya. Oleh itu, bukan calang-calang strategi peperangan yang diperlukan. Maka Sultan Fateh melakukan banyak perkara.

Tembok kota yang mempunyai 3 lapisan. Bukan senang ingin memecahkan tembok besar ini.

Baginda belajar dari kesilapan datuk moyangnya.
Baginda meneliti peta Kota Konstantinople setiap malam di kamarnya.
Baginda melakukan risikan untuk mengetahui keadaan dalam kota itu sendiri.
Baginda membina Rumeli Hisari bagi menangkis serangan  musuh sekiranya bantuan datang dari pihak luar.
Baginda menggunakan bantuan Urban, rakyat Hungary untuk mencipta senjata meriam, teknologi baru dalam usaha menakluk Kota Konstantinople.
Baginda melakukan sesuatu yang luar biasa apabila menimbulkan idea untuk memindahkan kapal menggunakan jalan darat agar dapat sampai ke Golden Horn untuk melakukan serangan dari pelbagai sudut apabila laluan ke selat tersebut disekat dengan rantai besi sepanjang pintu masuknya.

Usaha yang bukan sedikit. Kerana keimanan yang tinggi, beliau berjaya melakukan. Walaupun yakin bantuan Allah sentiasa bersama dengan hambaNya, tapi baginda bukan sekadar menunggu. Siangnya, baginda begitu gagah sebagai penglima perang, berjuang sehabis daya, tapi malamnya baginda sujud penuh tawaduk menghadap Ilahi. Baginda membina kekuatan fizikal dan spiritual. Kerana itu yang Islam ajar.

Situasi perang dalam usaha menakluk kota tersebut. Ramai yang terkorban. Jihad kita sendiri bagaimana?
Andai dibanding dengan diri sendiri, jauh benar beza kita dan baginda. Pernah menjadi raja ketika berumur 12 tahun, dan Kota Konstantinople berada di tangannya ketika baginda 21 tahun, terlalu sedikit yang pencapaian kita lakukan setakat ini.

Namun, Allah tidak menjadikan sesuatu sia-sia. Kehebatan yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh Islam zaman lampau seharusnya menjadi penguat dan ikutan kita sekarang. Kalau dulu umat Islam berdepan dengan musuh-musuh Islam yang nyata, dengan golongan kafir yang sentiasa ingin memerangi mereka, maka musuh-musuh Islam sekarang dalam bentuk yang tidak nampak juga satu ancaman yang besar. Bahayanya apabila masih ramai umat Islam sekarang yang masih dibuai lena, tidak sedar dengan perkara yang berlaku sekelillingnya. Umat Islam hari ini diserang dengan sekarang pemikiran, dengan 'ism-ism' yang semakin menular. Kita disibukkan dengan sekularism, nasionalism, individualism dan macam-macam lagi yang melemahkan individu itu sendiri. Kalah dengan nafsu sendiri. Takutkan mati dan cintakan dunia.

Yang penting sekarang, tidak kira di mana kita, bergeraklah sebaik mungkin. Menyumbanglah untuk kekuatan Islam.Mungkin langkah kita hari ini begitu kecil, tapi permulaan yang sedikit inilah yang akan menghasilkan natijah yang besar. In sha Allah, Allah akan membantu hambaNya...:)

Wednesday, April 3, 2013

Yang mana penting?

Alhamdulillah, dikurniakan nikmat masa lapang. Untuk semester ini saya mula dengan round elektif subjek, saya dapat Clinical Pharmacology. Ikutkan memang bukan subjek kegemaran la, tapi saya pilih juga untuk perbaiki ilmu pasal drugs ni. Dan, alhamdulillah, sangat enjoy belajar pharmacology, bertambah rasa suka.

Kali ini rasa ingin sentuh mengenai Fiqh Aulawiyat. Fiqh keutamaan. Banyak kali sudah saya dengar pengisian tentang perkara ini. Dan setiap kali, ada benda baru yang saya dapat.

Fiqh aulawiyat ini yang saya faham, bagaimana seseorang itu meletakkan sesuatu perkara lebih penting yang perlu diselesaikan dengan kadar segera dari yang lain apabila bertembung. Mana yang perlu dahulu, yang mana kemudian. Dan kita ada guideline macam mana nak buat pilihan apabila bertembung sesuatu perkara. Sebenarnya hidup kita ini memang tidak lari dari membuat pilihan. Bukan seawal bangun dari tidur, tetapi bermula dari malamnya lagi, kita pilih nak tidur pukul berapa. Esoknya,  dengan jadual yang padat, kita mesti pandai untuk susun pergerakan kita, barulah kita jadi orang yang sistematik. Nampak simple, tapi beza apabila seseorang itu mampu untuk lakukan banyak perkara walaupun masing-masing ada 24 jam sehari.



Ringkasnya, kemaslahatan perkara itu dibahagikan pada 3 peringkat:
1. Daruriyyat- satu kemestian, sangat diperlukan untuk meneruskan kehidupan.
2. Hajiyyat: satu keperluan, sangat penting, tanpanya kehidupan akan menjadi susah.
3. Tahsiniyyat; kesempurnaan, pelengkap yang menjadi hiasan tambahan.

Dalam pada kita nak susun satu-satu perkara itu, kita kena lihat kesannya juga, perkara yang bertembung itu lebih banyak maslahah(kebaikan) atau mafsadah(keburukan). Dan kalau bertembung dua perkara yang ada maslahahnya, kita kena lihat, maslahah yang mana untuk kumpulan yang sedikit atau yang besar. Dan dalam fiqh aulawiyat ini, kadang-kadang setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza. Terpulang pada kebijaksanaan masing-masing.

Cuma kadang-kadang kesalkan dengan sikap sesetengah individu yang memandang ringan perkara ini. Ikut hawa nafsu semata-mata. Hasilnya nanti, banyak kesusahan dan masalah. Kalau dia seorang pelajar, lagi banyak bermain-main dari belajar sungguh-sungguh. Biasanya manusia ini, kalau untuk kesenangan diri sendiri banyak mana masa dan duit yang dikorbankan pun tak kisah, tapi bila datang perkara yang perlukan pengorbanan kita demi kemaslahatan umum, banyak alasan yang diberi. Perkara ini disebut sendiri dalam kitab Fiqh Aulawiyat karangan Dr Yusuf al-Qardawi, berapa ramai orang Islam yang rela berhabis beribu-ribu untuk menunaikan umrah yang bukan pertama kali setiap tahun, tapi apabila diminta untuk membelanjakan duit bagi membantu menyelesaikan masalah aqidah di Indonesia, masing-masing buat tak tahu.

Tak reti nak huraikan sangat, tapi apa yang saya boleh cakap, hidup kita ini adalah semuanya perlu membuat pilihan. Teringat kata-kata seorang sahabat, ketika itu seorang sahabat yang lain ini mengambil suatu tindakan yang berlawanan dengan pendapat dia. Komen dia ringkas" tak apalah, itu ijtihad dia". Nampak di sini, pentinglah setiap langkah yang kita nak buat dipandu dengan iman dan ilmu. Semoga kita sentiasa dalam lindungannya.

Ada satu syair popular yang ditulis oleh Imam Abdullah bin Mubarak kepada sahabat baiknya, Sheikh Fudhail bin Iyadh. Beliau menegur sahabatnya yang asyik melakukan iktikaf sehingga meninggalkan urusan yang lebih utama iaitu tugas jihad.



يا عابـد الحرمين لو أبصـرتنا لعلـمت أنك في العبـادة تلعب

من كان يخضب خده بدمـوعه فنحـــورنا بدمائنا تتخضب


أو كان يتعب خيله في باطــل فخيولنا يوم الصبيحـة تتعب

ريح العبير لكم ونحـن عبيرنا رهج السنابك والغبار الأطيب


ولقــد أتانـا من مقـال نبينا قول صحيح صادق لا يكذب

لا يستوي غبار خيـل الله في أنف امرئ ودخان نـار تلهب


هذا كتاب الله ينطـــق بينا ليس الشهيد بميت لا يكـذب

“Wahai  ahli ibadah di dua Tanah Haram,
Kalaulah kamu telah menyaksikan kami,
Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya
Seolah-olah kamu telah bermain-main dalam ibadah,
Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras
Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras,
ataupun kuda-kuda ia kepenatan di dalam perkara batil,
Maka kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan,
Bau wangi-wangian menjadi milikmu,
Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu di jalanan,
dan sesungguhnya telah datang kepada kami sabda nabi s.a.w.,
Sabda yang benar jujur dan tidak ada kebohongan
Tidaklah sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap neraka yang menyala-nyala,
Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami,
Bahawa orang mati syahid tidaklah sama dengan orang yang mati biasa,
Ia tidak akan berbohong”.


Ini surat yang dihantar kepada seorang abid yang sangat terkenal dengan ibadahnya sehingga digelar ahli ibadah bagi dua tanah haram. Masih ditegur kerana meninggalkan kewajipannya untuk berjihad dalam menegakkan Islam. Bagaimana pula dengan kita? Apa yang kita buat di rumah hari-hari?

Semoga diberi kekuatan untuk beramal...:)