Tuesday, October 27, 2015

Terus berjalan

Alhamdulillah atas nikmat yang diberi. Nikmat Islam dan Iman. Nikmat badan yang sihat dan waktu lapang. Moga semua ini digunakan sebaiknya untuk kebaikan.

Lama sudah tidak dicoretkan kisah, kehabisan kata barangkali. Moga Allah istiqamahkan diri untuk menitip kisah yang boleh dikenang dan diambil iktibar.

_______________________________________________________________

Matanya mengerling melihat waktu di telefon bimbitnya. Mencongak masa, bimbang kelewatan menghadiri temu janji sahabat. Anak matanya diarahkan pada laluan tram itu, melihat-lihat bayang gerabak biru putih itu. Senafas lega dilepaskan tatkala yang ditunggu sudah tiba di perhentian sebelumnya.

Dia membuang pandang ke sekeliling. Menghormati refleks deria pendengaran pabila menangkap bunyi tram dari arah berlawanan. Sekilas matanya berhenti pada susuk tubuh pemuda di atas kerus roda.  Dalam kelam malam, cuba melintas laluan tram menggunakan kerusi roda. Tidak pasti apa kena dengan tangannya, namun dirinya menggunakan kakinya untuk menggerakkan kerusi roda itu. Setapak demi setapak terus kehadapan. Wajah pemuda itu nampak tenang. Sehingga dia yang melihatnya merasa kagum. Tram berhenti memberi laluan pada pemuda kerusi roda itu. Seorang pemuda lain menolong menolak kerusi rodanya melintasi laluan tram itu. Menolak sehingga melintasi laluan kereta pula. Dan pemuda itu mengucap terima kasih atas bantuan diberi. Seolah dia berkata lagi, "Cukup hingga ke sini. Aku boleh teruskan bergerak sendiri," Namun si pemberi bantuan itu terus menolak kerusi roda itu lagi. Sehingga hilang dari pandangannya.

Tram dari perhentian sebelumnya sudah sampai. Namun seolah dirinya tidak puas menghayati drama sebabak itu. Tubuhnya meninjau hingga kemanakah dua watak lakonan dunia itu menghilang. Ingin mengetahui penghujung kisah. Tram yang dinaiki sudah bergerak berlawan arus mereka. Dirinya akur, dia juga punya skrip lakonan yang bakal dipentaskan di akhirat kelak. Ceritanya harus diteruskan. Dan dia bermuhasabah sebentar.

Dia bermonolog sendiri. Daya apakah yang ada pada pemuda itu hingga mampu terus berjalan, hatta berkerusi roda di tengah kota raya ini? Yang bukan setakat menempuhi lorong kecil, berselisih dengan beberapa kelibat manusia di tengah perjalanan.

Bahkan di kota ini, kenderaan pelbagai. Kotak besi tram, bas, kereta, van, motosikal, basikal bahkan kadangkala kuda dan keldai yang menarik muatannya juga berkongsi ruang perjalanan ini. Juga lautan manusia. Hiruk pikuk kota yang harus ditempuhi dengan sejuta ragam dengan tabah dan sabar. Sehingga yang tidak tahan iman akan berhenti menapak, mengeluh lantas menyembunyikan diri di dalam gua.

Itulah kehidupan ini. Dia insaf sendiri. Bagaimana dia boleh berputus asa, sedang umurnya yang baru ingin mencecah 24 tahun boleh mengalah? Tubuhnya masih kuat, akalnya masih cerdas, kudratnya masih utuh. Seharusnya dia gigih mencari bekal buat kehidupan yang akan datang. Dia mesti kuat. Hidupnya bukan sekadar di sini. Dunia hanya tempat persinggahan, ujian buat penentuan pengakhiran yang abadi.

Tram sudah meninggalkan stesen itu. Bergerak perlahan, menurunkan penumpang dan mengambil penumpang di setiap stesen. Satu stesen lagi dia akan sampai ke destinasinya. Azam disemat, semangat dibakar. Dia memasang niat. Semoga reda Allah sentiasa mengiringinya dalam menyumbang bakti untuk Islam dan umat keseluruhannya.