Monday, March 25, 2013

di sebalik jigsaw puzzle itu

Alhamdulillah, atas segala kurnia-Nya yang tidak terhitung. Masih dalam waktu bercuti, banyak masa lapang. Semalam berkesempatan menziarahi keluarga ustaz yang bakal pulang ke Malaysia, moga tali silaturrahim berkekalan. Balik itu, sempat singgah di Maarad Kutub (Pameran buku) dekat dengan Bibliotheca Alexandria, jalan kaki sahaja dari rumah.

Tak rancang apa-apa, tiba-tiba ahli bait ajak. Sempat jugalah beli buku-buku medic sebagai rujukan. Tapi, paling tak sangka, saya beli juga 'jigsaw puzzle'. 500 keping. Entah, lama sudah rasa nak ada yang sendiri punya dan siapkan, tapi disebabkan zaman  sekolah dulu, adik-adik saya masih kecil, umi tak galakkan untuk beli. Nanti mereka ambil, makan, atau main masak-masak, membazir.

This box catch my eyes among the books..
Dan hari ini cuti, sempat saya lengkapkan mula dari lepas Subuh hinggalah lepas Zohor baru saya berjaya siapkan. Satu kepuasan..:)

Ada apa dengan permainan ini? Sambil saya cuba mencantumkan satu-satu kepingan ini, cuba mencari kebaikan yang ada.

Pastilah ia mendidik kita untuk fokus dan sabar untuk melengkapkan satu gambar penuh. Begitu juga dengan hidup ini. Nak tak nak, kita perlu tahu matlamat akhir kita untuk memaknakan erti sebuah kehidupan. Dalam mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti fokus, tumpu sepenuhnya dengan berusaha sungguh-sungguh memastikan apa yang kita lakukan dapat mencapai matlamat kita, meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Lagi pula, perjalanan hidup yang panjang pasti berliku, akan ada cabaran untuk mematangkan kita. Dengan sifat sabarlah dapat membantu kita terus bergerak tanpa berputus asa.

Banyak lagi 'rahsia' kehidupan yang perlu kita hadapi.

Dalam proses hendak melengkap jigsaw puzzle kita, pemain mestilah mempunyai strategi. Kalau kita terus buat tanpa perancangan, tengah jalan kita akan putus asa, hilang arah dan akhirnya kita menyerah kalah. Seorang pelajar yang cemerlang mempunyai tips-tips untuk memastikan kecemerlangannya dalam bidang akademik. Kalau peniaga apatah lagi. Hatta seorang surirumah pun perlu bijak menyusun urusan rumah tangganya untuk keharmonian sebuah keluarga. Dalam sirah Rasulullah pun, setiap perkara yang baginda ingin lakukan penuh perancangan. Hasilnya, dakwah baginda berkembang sehingga hari ini.


Strategi saya buat bingkai dulu (ini umi yang ajar), kemudian saya asing ikut warna..baru cuba cantumkan.

Apa lagi? Nak melengkapkan jigsaw puzzle kita, kita akan rujuk pada gambar yang diberi barulah kita dapat gambaran keseluruhan tentang hasil yang kita dapat. Dan kita, sebagai orang Islam, Allah telah berikan petunjuk melalui al-Quran dan as-Sunnah untuk kita jadikan panduan. Tanpanya, kita sesat. Wajiblah kita menjadikan kedua-duanya sebagai sumber utama dalam kehidupan kita seharian.


still in the making..

Antara yang menarik saya juga ialah, dalam proses mencantum cantum, tidak dapat tidak akan ada lubang-lubang yang sukar kita padankan. Mengambil masa. Memerlukan kesabaran. Mesti teliti. Dan apabila kita berjaya lengkapkan satu bahagian, barulah kita nampak gambaran sebenar dan berasa gembira. Perkara sama yang berlaku apabila kita berdepan dengan masalah dan ujian. Sukar untuk mencari jalan keluar. Dan kadang-kadang kita mengeluh, mempersoalkan kenapa perkara ini berlaku pada kita. Tapi, sekiranya kita berjaya menghadapi masalah tersebut, kita akan nampak hikmah yang Allah sediakan disebalik perkara yang kita nampak buruk itu. Kita merasa indahnya pelangi selepas lebatnya hujan. Cantik perancangan yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya.

Bahagian akhir paling sukar. Warna awan yang seakan-akan sama memerlukan try and error yang lebih.  Tapi , sayangnya jika putus asa di saat-saat akhir apabila kejayaan itu semakin hampir.

Banyakkan perkara yang kita dapat sekiranya kita melihat sesuatu dari sisi yang positif? Walaupun kita bermain, ada pengajarannya. Allah takkan sia-siakan hambaNya..:)

DONE!!!

Nampak macam tutorial sahaja. Tapi, sekurang-kurangnya ada perkara yang boleh kita pelajari. Nak berhibur dan bermain pun pastikan bermanfaat. Dan ini mengasah 'skill' juga untuk selesaikan masalah..:)

No comments:

Post a Comment