Saturday, March 16, 2013

islam syariatul zaman wa makan

Alhamdulillah, selesai sudah menjawab satu subjek untuk final semester ini. Rasa diberi kelapangan untuk menulis sesuatu. Alhamdulillah juga, semalam diberi kekuatan untuk menyelitkan diri sebentar dalam daurah kitab "Islam Syariatul Zaman Wa Makan'. Gagahkan juga untuk luangkan masa walaupun ada peperiksaan hari ini kerana 'cemburu' dengan sahabat-sahabat yang dapat hadir. Ini sebenarnya kali ketiga daurah ini diadakan, dan alhamdulillah, kali ini kitab kecil itu berjaya dihabiskan.

'Tidak ada masa dan tempat melainkan dengan Islam'

Tidaklah bermaksud untuk membuat satu pembentangan kertas kerja di sini, sekadar ingin meng'highlight'kan beberapa point yang saya dapat.

Secara keseluruhannya, kitab ini menceritakan ciri-ciri Islam. Bagaimana sebenarnya ciri-ciri Islam yang banyak disalah anggap. Islam agama yang penuh rahmat. Agama yang diredai Allah. Dan pastilah Allah telah menyediakan cara hidup yang paling sempurna untuk kita ikuti. Tapi masalahnya, umat Islam sendiri yang tidak mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna.

Ciri yang pertama sudah menggambarkan kesempurnaan Islam itu sendiri. Rabbaniyyah. Maksudnya syariatnya dicipta dan disusun oleh Tuhan yang mencipta kita, bukan dicipta oleh manusia yang bersifat dengan sifat yang lemah. Kalau kita tengok ciri kedua pula, 'alamiyyah, maksudnya universal, sesuai untuk semua manusia pada setiap zaman. Kalaulah manusia, undang-undang yang dicipta hanya sesuai untuk kelompoknya sahaja dan pada masa dia hidup sahaja. Berbeza dengan Islam yang bersifat murunah atau anjal. Islam menerima pembaharuan dengan mengekalkan asasnya.

Kalau bahagian kedua kitab ini membawa penyaksian dari tokoh-tokoh barat sendiri tentang kajian mereka tentang syariat-syariat Islam yang mana sebenarnya paling sesuai diamalkan. Banyak contohnya, antaranya berkaitan sistem riba dan poligami. Dihuraikan bagaimana masalah-masalah yang mungkin timbul dan sebenarnya Islam telah memberi penyelesaian dalam al-Quran 1400 tahun dahulu lagi. Sebenarnya, orang Islam sendiri yang terlalu bangga dengan sistem Barat yang dianggap 'up-to-date'. Kalau kita mengkaji agama sendiri, pasti terasa kehebatan agama Islam ini.

Juga disentuh bagaimana perancangan Barat yang ingin melemahkan umat Islam. Dan kalau kita teliti sirah-sirah perjuangan sahabat, pasti kita dapati bahawa tentera Islam juga mempunyai kehebatan sendiri ketika berperang. Oleh itu, kita sekarang banyak diserang dengan serangan pemikiran. Teliti sejarah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924. Bagaimana umat Islam dilemahkan apabila sekularisme diterapkan dalam pemerintahan. Umat Islam didoktrin dengan pemikiran bahawa agama itu perlu dipisahkan untuk mencapai kemajuan.

Hari ini ramai yang beragama Islam, tapi sekadar melaksanakan amal-amal fardu untuk mencukupkan syarat sebagai Islam itu sendiri tanpa memahami dan menghayati Islam yang sebenar dalam kehidupan sehari-hari. Hidup tanpa 'menghayati'. Bak kata ustaz, ramai yang hanya 'mengeja' al-Quran bukan 'membaca' dengan memahami dan mengamalkan maksudnya.

Satu lagi perkara, ustaz bercerita tentang zaman salafussoleh dahulu. Zaman di mana, umat Islam sangat cemerlang dan gemilang, menguasai 2/3 dunia, hebat dalam bidang ilmunya. Zaman di mana lahirnya tokoh-tokoh Islam yang mendalami ilmu, bukan setakat menguasai tetapi melakukan penemuan-penemuan baru. Hebatnya rijal yang dilahirkan sekiranya memahami Islam sedalam-dalamnya. Dan yang membuatkan saya tersentak ialah apabila ustaz mengatakan bahawa, hari ini, musuh-musuh Islam tidak perlu takut untuk menulis perancangan mereka untuk menjatuhkan Islam kerana UMAT ISLAM MALAS MEMBACA. Aduh, pedih juga  menerima kebenaran. Bayangkanlah, bidang ilmu yang kita ceburi pun kita tidak bersungguh-sungguh mempelajarinya, bagaimana pula dengan cabang-cabang ilmu yang lain? Diri ini sangat terasa bila memikirkan lemahnya apabila berdepan dengan buku-buku medic. Moga Allah beri kekuatan untuk menuntut ilmu.

Yang penting sekarang, bukan hanya update status di blog dan facebook tentang seronoknya ceramah ini, atau izzahnya Islam, tetapi menterjemahkan dalam amal..:)

Selamat beramal...

1 comment: