Thursday, March 21, 2013

penjual minyak wangi

Alhamdulillah, hari ini selesai sudah menjawab kertas terakhir untuk semester ini. Semoga Allah memberikan keputusan yang baik. Tak boleh nak berharap sangat, dengan usaha yang sedikit. Apapun yakin, rezeki sudah ditentukan olehNya.

Selepas ini, kami akan bercuti untuk 5 hari sebelum memulakan semester baru. Harap-harap dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat. Masih merancang jadual 'to-do-list' untuk cuti spring kali ini.

Kali ini ingin bercakap tentang seorang sahabat. Lama sudah merangka idea, cuma kali ini baru diizinNya.

Tahun 1, dia yang saya kenal semenjak belajar di sini, sebagai seorang yang ada amanah yang perlu dipikul.
Tahun 2, kami biasa-biasa sahaja, satu dewan kuliah, sering berjumpa di perpustakaan universiti.

Tahun 3, tika musim panas itu, ketidak pulangan saya ke Malaysia, Allah hadirkan beberapa orang sahabat untuk sama-sama memaknakan cuti semester kali itu, cuti yang paling berfaedah saya kira semenjak saya berada di darjah satu. Sama-sama menjalani ibadah puasa di bumi Mesir, pergi ke kelas-kelas agama, bertalaqqi, beraya di perantauan, melakukan 'attachment' di hospital dan menyumbang tenaga untuk sambutan adik-adik yang baru tiba. Dan dia salah seorang dari mereka. Alhamdulillah, Allah hadirkan dia untuk mengajar saya.

Dia komited dalam melakukan kerjanya. Sanggup mengorbankan kepentingan diri sendiri.
Dia sistematik dalam urusannya. Tahu apa perkara yang ingin dikerjakan.
Dia tenang menghadapi sesuatu perkara. Yakin dengan perancangan TuhanNya.
Dia positif berdepan dengan masalah. Fokus mencari jalan penyelesaian.

Melihat dia, saya banyak belajar. Cantik juga perancangan Allah, banyak perkara yang saya berjodoh dengannya. Saya belajar mengambil risiko, merasa manisnya memberi dan meletakkan pergantungan kepada Allah setelah kita berusaha. Alhamdulillah.

Indahnya apabila kita berukhuwah kerana Allah. Manisnya apabila dikurniakan sahabat yang baik, mampu menegur apabila kita buat salah. 



Teringat juga hadis popular tentang sahabat yang perlu kita cari, 

Rasulullah bersabda :

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

Sesungguhnya perumpamaan teman yang baik (shalih/shalihah) dan teman yang jahat adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup api pandai besi. Pembawa minyak wangi mungkin akan mencipratkan minyak wanginya itu atau engkau menibeli darinya atau engkau hanya akan mencium aroma harumnya itu. Sedangkan peniup api tukang besi mungkin akan membakar bajumu atau engkau akan mencium darinya bau yang tidak sedap”.
(Riwayat Bukhari, kitab Buyuu’, Fathul Bari 4/323 dan Muslim kitab Albir 4/2026)
Jelas sekali saranan baginda tentang sahabat yang perlu kita cari. Kalau bercerita tentang kisah persahabatan, saya tidak dapat lupakan tentang contoh yang perlu kita ikuti, junjungan baginda sendiri, Rasulullah saw. Bagaimana teladan yang ditunjukkan dalam sirah-sirah tentang baginda dan juga Saidina Abu Bakar as-Siddiq.

Kita tahu yang gelaran as-Siddiq itu kerana sifat beliau yang sentiasa membenarkan apa sahaja perkara yang dibawa oleh baginda. Ketika baginda menceritakan tentang peristiwa Isra' dan Mikraj, semua orang meragui dan menidakkan perkara yang dibawa oleh baginda. Ada yang menuduh Rasulullah tidak siuman. Lalu apabila perkara ini diberitakan kepada Saidina Abu Bakar, apa katanya? " Apa sahaja perkara yang dibawa oleh Muhammad, maka aku membenarkannya!"

Tinggi sekali keyakinan beliau kepada Rasulullah. Tidak ada rasa ragu walau sedikit pun. Kalau kitalah, andai sahabat baik dan rapat mana sekalipun, apabila mendengar sesuatu perkhabaran yang sukar untuk dipercayai disampaikan, paling kurang kita akan tanya semula, "betul ke? aku macam tak percaya je," atau kalau speechless sangat, akan ada reflex muka yang tak percaya, bibir mula kelu tak berbicara.

Itu kisah manusia agung. Sempurnanya akhlak Rasulullah, menerbitkan kepercayaan yang begitu tinggi dalam diri Abu Bakar. Kuatnya iman Abu Bakar sehingga mampu membenarkan kata-kata Rasulullah ketika peristiwa mukjizat sampai pada pengetahuannya di kala yang lain meraguinya. 

Jadi, hargainya orang-orang di sekeliling anda yang telah Allah pilih untuk menempuh kehidupan yang sementara ini. Walaupun ada sifat-sifatnya yang tidak elok, semua itu sebenarnya cara untuk bermuhasabah kembali tentang diri kita sendiri agar menjadi seorang yang lebih baik. Setiap orang pasti ada nilai-nilai baik yang boleh dicontohi. Tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah bukan? 

Akhir sekali, 

Rasulullah saw. bersabda, “Apabila seseorang mencintai saudaranya, hendaklah dia mengatakan cinta kepadanya.” (Abu Dawud dan Tirmidzi)

Kepada sahabat yang berkenaan, minta maaf kadang-kadang tak terbalas ucapan sayang. Masih cuba beramal dengan hadis ini.

Terima kasih buat kalian yang menjadi sahabat yang baik untuk saya. Minta maaf atas hak-hak sahabat yang tak tertunai.Semoga kita berjumpa di syurga kelak. Sama-sama saling mendoakan.

No comments:

Post a Comment