Wednesday, April 3, 2013

Yang mana penting?

Alhamdulillah, dikurniakan nikmat masa lapang. Untuk semester ini saya mula dengan round elektif subjek, saya dapat Clinical Pharmacology. Ikutkan memang bukan subjek kegemaran la, tapi saya pilih juga untuk perbaiki ilmu pasal drugs ni. Dan, alhamdulillah, sangat enjoy belajar pharmacology, bertambah rasa suka.

Kali ini rasa ingin sentuh mengenai Fiqh Aulawiyat. Fiqh keutamaan. Banyak kali sudah saya dengar pengisian tentang perkara ini. Dan setiap kali, ada benda baru yang saya dapat.

Fiqh aulawiyat ini yang saya faham, bagaimana seseorang itu meletakkan sesuatu perkara lebih penting yang perlu diselesaikan dengan kadar segera dari yang lain apabila bertembung. Mana yang perlu dahulu, yang mana kemudian. Dan kita ada guideline macam mana nak buat pilihan apabila bertembung sesuatu perkara. Sebenarnya hidup kita ini memang tidak lari dari membuat pilihan. Bukan seawal bangun dari tidur, tetapi bermula dari malamnya lagi, kita pilih nak tidur pukul berapa. Esoknya,  dengan jadual yang padat, kita mesti pandai untuk susun pergerakan kita, barulah kita jadi orang yang sistematik. Nampak simple, tapi beza apabila seseorang itu mampu untuk lakukan banyak perkara walaupun masing-masing ada 24 jam sehari.



Ringkasnya, kemaslahatan perkara itu dibahagikan pada 3 peringkat:
1. Daruriyyat- satu kemestian, sangat diperlukan untuk meneruskan kehidupan.
2. Hajiyyat: satu keperluan, sangat penting, tanpanya kehidupan akan menjadi susah.
3. Tahsiniyyat; kesempurnaan, pelengkap yang menjadi hiasan tambahan.

Dalam pada kita nak susun satu-satu perkara itu, kita kena lihat kesannya juga, perkara yang bertembung itu lebih banyak maslahah(kebaikan) atau mafsadah(keburukan). Dan kalau bertembung dua perkara yang ada maslahahnya, kita kena lihat, maslahah yang mana untuk kumpulan yang sedikit atau yang besar. Dan dalam fiqh aulawiyat ini, kadang-kadang setiap orang mempunyai keutamaan yang berbeza. Terpulang pada kebijaksanaan masing-masing.

Cuma kadang-kadang kesalkan dengan sikap sesetengah individu yang memandang ringan perkara ini. Ikut hawa nafsu semata-mata. Hasilnya nanti, banyak kesusahan dan masalah. Kalau dia seorang pelajar, lagi banyak bermain-main dari belajar sungguh-sungguh. Biasanya manusia ini, kalau untuk kesenangan diri sendiri banyak mana masa dan duit yang dikorbankan pun tak kisah, tapi bila datang perkara yang perlukan pengorbanan kita demi kemaslahatan umum, banyak alasan yang diberi. Perkara ini disebut sendiri dalam kitab Fiqh Aulawiyat karangan Dr Yusuf al-Qardawi, berapa ramai orang Islam yang rela berhabis beribu-ribu untuk menunaikan umrah yang bukan pertama kali setiap tahun, tapi apabila diminta untuk membelanjakan duit bagi membantu menyelesaikan masalah aqidah di Indonesia, masing-masing buat tak tahu.

Tak reti nak huraikan sangat, tapi apa yang saya boleh cakap, hidup kita ini adalah semuanya perlu membuat pilihan. Teringat kata-kata seorang sahabat, ketika itu seorang sahabat yang lain ini mengambil suatu tindakan yang berlawanan dengan pendapat dia. Komen dia ringkas" tak apalah, itu ijtihad dia". Nampak di sini, pentinglah setiap langkah yang kita nak buat dipandu dengan iman dan ilmu. Semoga kita sentiasa dalam lindungannya.

Ada satu syair popular yang ditulis oleh Imam Abdullah bin Mubarak kepada sahabat baiknya, Sheikh Fudhail bin Iyadh. Beliau menegur sahabatnya yang asyik melakukan iktikaf sehingga meninggalkan urusan yang lebih utama iaitu tugas jihad.



يا عابـد الحرمين لو أبصـرتنا لعلـمت أنك في العبـادة تلعب

من كان يخضب خده بدمـوعه فنحـــورنا بدمائنا تتخضب


أو كان يتعب خيله في باطــل فخيولنا يوم الصبيحـة تتعب

ريح العبير لكم ونحـن عبيرنا رهج السنابك والغبار الأطيب


ولقــد أتانـا من مقـال نبينا قول صحيح صادق لا يكذب

لا يستوي غبار خيـل الله في أنف امرئ ودخان نـار تلهب


هذا كتاب الله ينطـــق بينا ليس الشهيد بميت لا يكـذب

“Wahai  ahli ibadah di dua Tanah Haram,
Kalaulah kamu telah menyaksikan kami,
Maka kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya
Seolah-olah kamu telah bermain-main dalam ibadah,
Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras
Maka dengan pengorbanan kami, kami mengalirkan darah yang lebih deras,
ataupun kuda-kuda ia kepenatan di dalam perkara batil,
Maka kuda-kuda kami penat dalam melakukan penyerbuan dan peperangan,
Bau wangi-wangian menjadi milikmu,
Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu di jalanan,
dan sesungguhnya telah datang kepada kami sabda nabi s.a.w.,
Sabda yang benar jujur dan tidak ada kebohongan
Tidaklah sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap neraka yang menyala-nyala,
Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami,
Bahawa orang mati syahid tidaklah sama dengan orang yang mati biasa,
Ia tidak akan berbohong”.


Ini surat yang dihantar kepada seorang abid yang sangat terkenal dengan ibadahnya sehingga digelar ahli ibadah bagi dua tanah haram. Masih ditegur kerana meninggalkan kewajipannya untuk berjihad dalam menegakkan Islam. Bagaimana pula dengan kita? Apa yang kita buat di rumah hari-hari?

Semoga diberi kekuatan untuk beramal...:)

No comments:

Post a Comment