Saturday, March 23, 2013

Turkiye

Bismillah...masih dalam waktu bercuti, bosan dengan waktu terluang, tengok-tengok balik gambar masa bercuti di Turki cuti winter yang lepas. Banyak sangat memori-memori indah.

Kali ini cuma ingin upload random gambar dan cerita sedikit apa yang saya dapat di sana. Ok lah kan, dapat juga sampaikan walau sedikit?


Gambar ini diambil ketika atas feri dalam perjalanan ke Bursa. Subhanallah, pemandangan yang sangat indah. Masing-masing terpegun dengan birunya langit, putihnya awan dan cantiknya burung-burung yang berterbangan dengan bebas. Tenangnya rasa hati walaupun udara agak sejuk pagi itu.

Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu (Al-Mulk: 19)


Feri seperti inilah yang kami naik. Kalau penciptaan yang hidup Allah beri pengajaran untuk kita berfikir, yang buatan manusia pun dengan kuasa-Nya juga.

Tidakkah mereka memerhatikan bahwa sesungguhnya kapal itu belayar di laut dengan nikmat Allah, agar diperlihatkan-Nya kepadamu sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran-Nya). Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran-Nya) bagi setiap orang yang sangat sabar dan banyak bersyukur. (Surah Luqman 31:31)



Waktu ini kami di puncak Uludag, Bursa. Pertama kali menyaksikan salji di depan mata, masing-masing teruja. Putihnya salji, sejuk mata memandang. Kami sempat buat snow man..:)

snow man in the making.


Balik ke Istanbul, tempat wajib pergi, Masjid Sultan Ahmed atau lebih dikenali dengan nama Masjid Biru. Alhamdulillah, pertama kali, berkesempatan menunaikan solat Jumaat disini (walaupun terkebil-kebil dengar khutbah dalam bahasa Turki). Masjid ini mempunyai 6 menara. Asalnya, sultan meminta untuk membina masjid menggunakan emas. Tetapi, kerana tidak mahu membazir, arkitek tersebut membuat 6 menara dengan alasan perkataan emas dan enam itu mempunyai bunyi sama dalam bahasa Turki.


Saya lagi suka pemandangan pada waktu malam. Subhanallah, burung-burung turut menghiasi lukisan alam..:)



Ini pula Masjid Aya Sofia. Asalnya, Aya Sofia adalah sebuah gereja paling besar di Istanbul. Selepas penaklukan Kota Konstantinople pada tahun 1453 oleh Sultan Muhammad Fateh, baginda menukarkan gereja ini kepada sebuah masjid. Indahnya akhlak baginda apabila baginda hanya menutup lukisan-lukisan di dinding dengan kain dan menggantungkan nama-nama Allah dalam Aya Sofia. Ini merupakan salah satu bukti bahawa kesemua rakyat Kota Konstantinople yang ditawan menerima pemerintahan baginda tanpa sebarang pemberontakan.

Aya Sofia

Walaubagaimanapun, ketika pemerintahan Mustafa Kamal Attartuk, dia telah menutup masjid ini. Bahkan dia telah menutup banyak masjid di seluruh Turki dalam melaksanakan pemerintahan berunsurkan sekularisme. Sekarang masjid Aya Sofia menjadi sebuah muzium. Masih terlihat gambar-gambar Maryam dan Nabi Isa di dinding.

seni bina dalam Aya Sofia.


Antara tempat yang wajib pergi juga ialah Istana Topkapi. Istana ini dibina ketika pemerintahan Sultan Muhammad Fateh. Dapat dilihat seni bina istana yang sederhana dan menenangkan, bersesuaian dengan jiwa baginda.
Pintu masuk Istana Topkapi
Suasana dalam Istana Topkapi yang terbahagi kepada beberapa bahagian. 

Bilik untuk rakyat berjumpa raja.

Ada cerita menarik di sini. Kalau dilihat di bahagian sebelah pintu, terdapat pili air. Pili air ini akan dibuka apabila ada rakyat berjumpa raja untuk mengadu atau berbincang masalah mereka. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan sesiapa yang ingin curi-curi dengar yang akan terganggu dengan bunyi air.




Kawasan dalam ini merupakan muzium. Ada pelbagai bahagian muzium. Antaranya bahagian yang menempatkan pakaian raja, singgahsana raja, hadiah-hadiah dan macam-macam perhiasan. Tetapi antara benda yang paling menarik ialah bahagian yang menempatkan kesan Rasulullah seperti rambut Rasulullah. Sewaktu ia dikumpulkan, ramai orang yang cuba mendakwa mereka juga mempunyai rambut Rasulullah. Namun, untuk dipastikan asli, rambut Rasulullah tidak mempunyai bayang apabila disuluh lampu.Rasulullah itu sendiri adalah cahaya dan baginda tidak mempunyai bayang.


Satu daripada bilik di sini menempatkan orang yang membaca Quran tanpa henti sejak beratus-ratus tahunnya. Bilik tersebut tidak pernah sunyi daripada alunan bacaan Quran yang dibaca secara bergilir-gilir.


Jalan yang pernah dilalui oleh raja-raja Turki.
 Dan kalau berkunjung ke Istanbul, pasti tidak ketinggalan untuk menziarahi makam penakluk agung, Sultan Muhammad Fateh. Alhamdulillah, sempat datang ke sini 2 kali sebelum pulang. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah Sultan Fateh. Hebatnya apabila baginda berjaya membenarkan hadis Nabi tentang pembukaan Kota Konstantinople yang telah beberapa kali cuba ditawan semenjak zaman sahabat lagi.

Masjid Sultan Fateh yang pernah dijadikan kandang kuda semasa pemerintahan Mustafa Kamal Attartuk.

Makam Sultan Fateh

Ikutkan hati, banyak lagi yang ingin saya coretkan di sini. Banyak sangat kenangan dan input-input yang saya dapat ketika berziarah ke Turki. Bukan setakat mengenali kebaikan budi dan keindahan akhlak Islamiyyah yang ditunjukkan masyarakat Turki, tetapi saya lebih mengetahui tentang sejarah Islam. Lebih tahu? Saya rasa lebih tepat untuk saya katakan saya lebih berminat untuk belajar tentang sejarah-sejarah Islam. Apabila kita lebih faham kenapa pentingnya untuk kita tahu tentang sejarah Islam, barulah kita betul-betul semangat untuk mengetahui dengan lebih banyak dan mencontohi tokoh-tokoh agung, sekurang-kurangnya untuk 'menegakkan' Islam dalam diri kita sendiri. Alhamdulillah atas nikmat kurnia-Nya.

Nampaknya mood Turki masih tak hilang walaupun lebih hampir 2 bulan berlalu. Tapi, memang tak mustahil akan ada post saya tentang Turki lagi..:)

Semoga Allah bantu saya memanfaatkan masa cuti ini. Amin.

1 comment: