Tuesday, April 9, 2013

Al-Fateh

Alhamdulillah, baru sahaja selesai exam untuk round elektif. In sha Allah, esok akan memulakan round Orthopedic.

Berkesempatan mendengar perkongsian tentang kehebatan Sultan Muhammad al-Fateh beberapa hari lepas. Banyak sungguh ibrah yang boleh diambil.Dan rindu Turki menggamit lagi.

826 tahun sebelum penaklukan kota Constantinople, Rasulullah telah bersabda ketika menggali parit bersama sahabat dalam Perang Khandak bahawa kota tersebut akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Peristiwa itu adalah antara pencetus semangat tentera.-tentera Islam untuk terus berjihad dalam penyebarkan Islam ke serata dunia.

Sebanyak 29 kali percubaaan telah dilakukan dan 12 kali daripadanya adalah dari tentera Islam. Ramai pemimpin Islam cuba membuktikan hadis nabi tersebut, seperti Muawiyah dan Khalifah Harun ar-Rasyid sehinggalah kali terakhir oleh Sultan Murad II sendiri, bapa pada Sultan Muhammad al-Fateh.

Apa rahsia kehebatan baginda? Yang pasti baginda juga manusia biasa tetapi mempunyai kekuatan dan kelebihan yang luar biasa. Baginda bukanlah harapan ayahandanya untuk memegang tampuk pemerintahan kerana beliau anak yang ketiga.

Diceritakan, Sultan Muhammad ketika kecil lagi selalu dibawa  ibunya berjalan di tebing bukit yang menghadap Kota Konstantinople. Setiap kali dibaca hadis penaklukan kota tersebut. Ibunya berkata, "kamulah yang akan membuka Kota Konstantinople. Baginda bertanya semula, mengapa bukan ayahanda yang akan lakukan? Bagaimana dia ingin takluk kota itu? Ibunya menegaskan bahawa baginda dapat melakukan dengan ilmu dan iman," -pentingnya peranan seorang ibu dalam mendidik anaknya.

Tapi, sejak dari kecil, baginda mempunyai visi yang luar biasa. Baginda ingin menakluk Kota Constantinople. Dan untuk itu baginda terus bergerak. Memulakan langkah. Mengatur strategi. Membina potensi. Bukan sekadar angan-angan kosong. Begitu juga kita seharusnya. Andai kita ingin mencapai sesuatu perkara, langkah pertama harus dibuat. Jangan bertangguh. Rezeki tidak datang bergolek. Sesuatu yang bernilai pastinya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Kerana syurga itu mahal harganya, maka ujian yang bukan biasa-biasa Allah beri pada hamba-Nya. Dan semua ini mesti dipandu dengan iman dan taqwa. Moga mendapat reda Allah.

Kota Konstantinople bukan senang untuk ditawan. Terletak antara Asia dan Eropah, kedudukannya begitu strategik ibarat pintu masuk kepada dua benua. Sehingga disebut oleh sejarawan, kalaulah dunia ini mempunyai ibu negara, maka Kota Konstantioplelah tempatnya. Oleh itu, bukan calang-calang strategi peperangan yang diperlukan. Maka Sultan Fateh melakukan banyak perkara.

Tembok kota yang mempunyai 3 lapisan. Bukan senang ingin memecahkan tembok besar ini.

Baginda belajar dari kesilapan datuk moyangnya.
Baginda meneliti peta Kota Konstantinople setiap malam di kamarnya.
Baginda melakukan risikan untuk mengetahui keadaan dalam kota itu sendiri.
Baginda membina Rumeli Hisari bagi menangkis serangan  musuh sekiranya bantuan datang dari pihak luar.
Baginda menggunakan bantuan Urban, rakyat Hungary untuk mencipta senjata meriam, teknologi baru dalam usaha menakluk Kota Konstantinople.
Baginda melakukan sesuatu yang luar biasa apabila menimbulkan idea untuk memindahkan kapal menggunakan jalan darat agar dapat sampai ke Golden Horn untuk melakukan serangan dari pelbagai sudut apabila laluan ke selat tersebut disekat dengan rantai besi sepanjang pintu masuknya.

Usaha yang bukan sedikit. Kerana keimanan yang tinggi, beliau berjaya melakukan. Walaupun yakin bantuan Allah sentiasa bersama dengan hambaNya, tapi baginda bukan sekadar menunggu. Siangnya, baginda begitu gagah sebagai penglima perang, berjuang sehabis daya, tapi malamnya baginda sujud penuh tawaduk menghadap Ilahi. Baginda membina kekuatan fizikal dan spiritual. Kerana itu yang Islam ajar.

Situasi perang dalam usaha menakluk kota tersebut. Ramai yang terkorban. Jihad kita sendiri bagaimana?
Andai dibanding dengan diri sendiri, jauh benar beza kita dan baginda. Pernah menjadi raja ketika berumur 12 tahun, dan Kota Konstantinople berada di tangannya ketika baginda 21 tahun, terlalu sedikit yang pencapaian kita lakukan setakat ini.

Namun, Allah tidak menjadikan sesuatu sia-sia. Kehebatan yang ditunjukkan oleh tokoh-tokoh Islam zaman lampau seharusnya menjadi penguat dan ikutan kita sekarang. Kalau dulu umat Islam berdepan dengan musuh-musuh Islam yang nyata, dengan golongan kafir yang sentiasa ingin memerangi mereka, maka musuh-musuh Islam sekarang dalam bentuk yang tidak nampak juga satu ancaman yang besar. Bahayanya apabila masih ramai umat Islam sekarang yang masih dibuai lena, tidak sedar dengan perkara yang berlaku sekelillingnya. Umat Islam hari ini diserang dengan sekarang pemikiran, dengan 'ism-ism' yang semakin menular. Kita disibukkan dengan sekularism, nasionalism, individualism dan macam-macam lagi yang melemahkan individu itu sendiri. Kalah dengan nafsu sendiri. Takutkan mati dan cintakan dunia.

Yang penting sekarang, tidak kira di mana kita, bergeraklah sebaik mungkin. Menyumbanglah untuk kekuatan Islam.Mungkin langkah kita hari ini begitu kecil, tapi permulaan yang sedikit inilah yang akan menghasilkan natijah yang besar. In sha Allah, Allah akan membantu hambaNya...:)

No comments:

Post a Comment