Wednesday, May 8, 2013

Diari Cuti Ester

Alhamdulillah atas nikmatnya yang tidak terhitung. Lama sudah tidak meng'update blog ini. Banyak juga perkara yang berlaku. Pastinya setiap perkara yang berlaku, baik atau buruk ada hikmahnya pada orang yang beriman. Saya coretkan sedikit nukilan hati pada setiap detik-detik yang berlaku pada cuti ester kali ini.

2 Mei 2013

Keputusan peperiksaan semester satu keluar. Entahlah, kali ini saya perhatikan semua sudah matang menerima keputusan. Menerima setiap ketentuan seadanya. Kerana kita yakin setiap yang Allah beri yang terbaik untuk kita. Pada yang mendapat keputusan yang cemerlang, tahniah...semoga mengekalkan kecemerlangan demi berbakti atas nama Islam.

Untuk yang diuji, semoga Allah berikan kekuatan. Zahirnya, mungkin kita lihat gred yang cemerlang itu lagi menguntungkan, hakikatnya, rasa syukur itu lagi mahal nilainya. Mungkin yang cemerlang masih tidak rasa cukup atau lupa kurniaan yang diberi, tetapi bagi yang perlu bersabar dengan natijah kali ini lagi besar pahalanya di sisi Allah. Semoga kita semua sentiasa dalam golongan yang bersyukur.






3 Mei 2013

FRANCE (Friendship Remains And Never Can End):SC Gabungan Tahun 2

Pagi di Hadiqah Dauliyah. Menjadi fasi, atas nama mentor tahun 2. Tugasannya hanya perlu jaga checkpoint untuk adik yang bermain explorace. Tapi, seronoknya dapat belajar sesuatu. Lama tidak berkumpul dengan rakan-rakan, banyak cerita dikongsi. Tambahan, 'pengisian' buat tugasan checkpoint yang dijaga perlu dibaca, diberi fahaman. Dan semestinya perkongsian dan perbincangan bersama sahabat memberi manfaat..:)



Malam Kesatria Gemilang.

Kesinambungan dinner batch 2 tahun lepas. Kali ini bertemakan melayu klasik. Seronok melihat ahli batch berkumpul setelah lama tidak bersua. Dipisahkan jadual harian yang padat. Jarak rumah yang jauh. Faktor masa yang tidak mengizinkan. Dan semoga pertemuan kali ini merapat ukhuwah, menjalin persahabatan.


Malam ini juga merupakan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang cemerlang. Juga kepada sahabat yang menunjukkan peningkatan prestasi akademik. Tidak dilupa kepada sahabat yang banyak membantu urusan-urusan kebajikan dalam batch. Harapnya ke'mumtaz'an mereka dicontohi yang lain. Sama-sama membina potensi untuk menyumbang kelak.

5 Mei 2013

Hari bersejarah bagi Malaysia. Hari yang ditunggu lagi dinanti. Seluruh rakyat sabar menunggu di hadapan televisyen, tidak kurang juga buat penuntut luar negara, setia berada di hadapan laptop, menunggu keputusan. Bagaimana tampuk pemerintahan kerajaan Malaysia nanti? Nyata rakyat mengharap sesuatu. Perkara yang hampir serupa dirasa tatkala menunggu keputusan pilihanraya Mesir suatu ketika dahulu.

Cuma kadang-kadang bukan semua yang kita harapkan berlaku. Mungkin Allah melambatkan kemenangan itu kerana masalah pejuang-pejuang itu sendiri. Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kekalahan ditangisi, kesedihan dirasa, tapi itu bukan pengakhir sebuah perjuangan. Semua ini perlu diteruskan. Bahkan zaman sahabat lagi perit menanggung ujian demi menegakkan syiar Islam. Lalu, mengapa cepat benar ingin berputus asa?

6 Mei 2013

Jaulah Maqam di Cairo. Yang ini paling banyak memberi kesan. Rasanya saya perlu buat satu post baru untuk tintakan ilmu-ilmu yang saya dapat. Alhamdulillah, banyak pengajaran yang kita dapat. Muhasabahnya, banyak lagi perkara yang perlu dipelajari.

Selusuri semula salasilah nabi. Rasa malu bila mengingatkan betapa kita selalu ungkapkan kasih dan cinta pada junjungan besar sallahu alaihi wassalam, tapi berapa kerat sangat biografi baginda yang kita tahu? Yang kerap diulang pun kita ingat-ingat lupa, apatah lagi fakta lain yang tidak diketahui?

Kenali juga wali-wali Allah. Yang masyhur dengan karamah yang Allah kurniakan. Yang kuat ibadahnya. Yang tinggi ilmunya. Yang zuhud pekertinya. Lantas kita di mana?

Banyak lagi tempat-tempat yang tidak sempat diziarahi. Kalau di Kaherah sahaja ada lebih kurang 50 makam, hanya sempat menziarahi beberapa belas sahaja. Semoga Allah berikan kesempatan untuk berkunjung lagi, mengambil pengajaran mem'islah diri.



No comments:

Post a Comment