Friday, May 24, 2013

Ilmu

Alhamdulillah, diberi kesempatan hari ini. Lama sudah tidak menulis sesuatu. Saya masih menulis, tetapi bukan di sini..:) Bila ada masa, kekeringan idea, tapi bila idea mencurah, masa bagai mencemburui. Kesilapan diri sendiri yang tidak mengurus masa dan tidak sistematik dalam urusan.

Hari ini hari jumaat, yang paling dinanti pelajar Iskandariah. 6 hari sibuk dengan kuliah, satu hari ini macam-macam perkara yang nak dilakukan. Maka jadilah hari jumaat yang paling sekejap. Kalau rancang hendak study lecture-lecture lepas, selalu tak sempat nak pegang buku. Tak mengapalah, asalkan kita sendiri tahu menggunakan masa dengan baik, ke arah yang bermanfaat, in sha Allah, masa itu diberkati.

Kali ini tertarik untuk senaraikan semula pesanan atau wasiat Sheikh Dr Yusry, seorang figura yang terkenal dalam kalangan mahasiswa di Mesir. Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Pembedahan, seorang lepasan graduan perubatan Universiti Kaherah, turut bergelar lepasan pelajar syariah Universiti Al-Azhar. Bagaimana hebatnya beliau mampu menguasai kedua-dua bidang dalam masa yang sama. Sehingga sekarang, dalam kesibukan karier sebagai doktor pakar bedah, masih mempunyai masa untuk mengadakan kuliah agama setiap hari. Beliau turut bergelar hafiz, bukti bukan calang-calang orang.

Apa pesanan beliau terhadap pengamal perubatan?

1. Belajarlah bersungguh-sungguh dengan penuh tanggungjawab sehingga menjadi seorang pakar.

2. Seorang doktor mestilah menguasai ilmu qawaid fiqqiyah (kaedah feqah) dan qawaid tibbiyah (kaedah perubatan). Dalam erti kata lain, mestilah menguasai feqah perubatan.

3. Menghormati guru yang mengajar perubatan seperti menghormati sheikh yang mengajar agama. Maksudnya mestilah menuntut ilmu bersungguh-sungguh.

4. Menguasai sepenuhnya ilmu perubatan.

5. Menghormati manusia sebagai ciptaan Allah.

6. Mestilah arif tentang perkembangan semasa ilmu perubatan.

7. Menjaga rahsia dan aurat pesakit.

8. " Kamu bukan dijadikan untuk dunia, tetapi untuk akhirat". "Kamu sibuk dengan perkara yang ditentukan (rezeki) tetapi menjauhkan diri daripada perkara yang dituntut (bersungguh-sungguh) = Allah mencabut pandangan baik dari jiwa kamu

9. Kata-kata Saidina Ali, " Kedudukan seseorang adalah pada apa yang dia kuasai, bukan apa yang dia miliki"

10. Melibatkan diri dalam misi kemanusiaan. Seorang doktor yang melibatkan diri dalam misi peperangan sama dengan seorang doktor yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun.

11. "merawat dengan hati, bukan dengan tangan,"

12. Menuntut ilmu untuk mencari reda Allah, bukan untuk dipandang manusia.

Tanda menuntut ilmu kerana Allah: panjang masanya, bersungguh-sungguh, merendah diri dan menghormati guru.

Perkara ini kami dapat ketika duduk bersama-sama adik beradik smart circle yang saya sayangi. Membincang dan memuhasabah diri. Sudah berada di tahun 4, 2 tahun sahaja lagi untuk mencebur dalam bidang pekerjaan. Dan sesudah semester di tahun klinikal, banyak pengalaman di hospital yang dapat kami lihat secara live. Banyak yang perlu dipelajari.

Kalau lihat pada pesanan di atas, 2 bahagian ilmu yang perlu kita kuasai. Bukan saya nak highlightkan bidang agama dan perubatan yang perlu seiring di sini, itu sudah satu kepastian. Banyak hukum-hukum agama yang seorang doktor perlu tahu bila merawat pesakit. Seharusnya dalam merawat jasmani, rohani perlu diberi perhatian. Kalau lecture Community Medicine yang baru saya pelajar, mental illness itu berkait rapat dengan physical disease. Bagaimana seseorang yang tidak berada dalam well-being state emotionally, akan memberi kesan kepada penyakit yang dia hadapi.

Satu itu bahagian teori. Mesti tahu betul-betul apa yang dipelajari, sampai ke peringkat pakar.

Dan satu lagi, yang ramai lupa, yang ramai tak mampu buat, walau ilmu setinggi langit, ialah sikap. Macam mana kita mempamerkan akhlak yang sewajarnya sebagai doktor muslim? Adakah dengan marah-marah pesakit? Merasa diri hebat, ilmu yang banyak? Bagaimana kita menjaga rahsia pesakit? Menghormati auratnya, membuka sekadar perlu? Melayan pesakit sebagai ciptaan Allah, seorang makhluk, bukan bahagian-bahagian anggota semata yang perlu kita  rawat.




Gambar ketika field visit di Fever Hospital. Bukan senang nak jumpa hospital kerajaan di Mesir yang sebegini indah landskapnya.. ;)

Semoga tidak jemu terus menuntut ilmu, baik teori mahu pun praktikal. Cuba kita ambil contoh, bagaimana adab para sheikh yang menuntut ilmu, agar ilmu diberkati, diterjemahkan dalam amal dan dizahirkan dengan peribadi:


Berkata lagi Imam As-Syafie Rahimahullahu ta’ala :
“Apabila aku membuka helaian-helaian kitabku di hadapan Imam Malik, aku membukanya dengan perlahan-perlahan kerana aku gerun kepadanya takut-takut dia mendengar bunyi kertas.”

Berkata pula Imam Abu Hanifah Rahimahullahu ta’ala :
“Aku tidak pernah mengunjurkan kakiku ke arah rumah guruku, Imam Hammad kerana rasa hormatku kepadanya, sedangkan jarak rumahku dengan rumahnya dipisah oleh tujuh lorong.”


Selamat beramal..:)

No comments:

Post a Comment