Saturday, February 9, 2013

Tepuk dada, tanya iman

Bismillah..

Kali ini tergerak untuk meluah rasa tentang fenomena yang berlaku di depan mata. Lama sudah memerhati, baru kini diilhamkan untuk berkata.

Sebenarnya ada sedikit rasa kecewa. Melihat teman-teman yang dulu istiqamah ke kelas pengajian agama waktu tahun-tahun pre-clinical dulu, kini tidak lagi turut serta dalam majlis-majlis ilmu yang dinaungi para malaikat. Kalau dulu zaman 'muda-muda' dulu, rajin nampak, tapi sekarang, dah semakin kurang.

Sedari dulu lagi saya perhatikan. Bila mana melangkah ke tahun clinical, masing-masing seolah-olah buat hal sendiri. Tak libatkan sangat dalam program-program yang dianjurkan. Cuba juga berbaik sangka, mungkin ada hal yang lebih perlu di 'aula' kan, tapi kalau acap kali, diri ini tertanya-tanya juga.

Sememangnya kita sebagai ahli dalam bidang yang kita ceburi, fardu ain ke atas kita untuk belajar bersungguh-sungguh, mendalami ilmu-ilmu perubatan sebaiknya,menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas kita untuk berkhidmat kepada masyarakat kelak. Namun, itu tidak menggugurkan kewajipan fardu ain ke atas kita untuk belajar sedikit dari ilmu agama, bukanlah sampai mampu memberi fatwa, tapi cukup untuk buat kita beramal dan beribadat kepada-Nya.

Tak perlu tanya soalan yang susah-susah, kadang-kadang bab solat jama' dan qasar pun belum tentu betul-betul arif.. Sudahnya bila bermusafir baru terkial-kial. Belum masuk lagi bab aqidah. Kita semua cakap nak mendapat cinta dan reda Allah. Tapi tanya iman sendiri, sejauh mana ilmu kita tentang makrifatullah? Subjek tauhid yang kita belajar pun setakat SPM, lulus dah cukup. Sifat 20  pun ingat-ingat lupa. Allah, layakkah kita meraih cinta-Nya?

Tidaklah berdosa andai kita tidak tahu tentang sesuatu perkara, tapi salahnya bila kita MAMPU untuk pergi belajar tetapi kita lebih senang berdiam diri di rumah, melakukan perkara-perkara lain yang entah penting atau tidak. Di situ teruji juga, Fiqh Aulawiyat kita bagaimana? Ternyata banyak lagi perkara yang perlu kita bertanya dan belajar.

Banyak manfaat yang kita peroleh jika kita menghadiri majlis-majlis ilmu. Bayangkan, seawal kita hendak pergi lagi, dengan hanya berniat, kita malaikat Raqib sudah mencatit pahala  untuk kita. Kemudian sepanjang perjalanan kita ke tempat tersebut, tanpa kita sedari makhluk-makhluk di bumi mendoakan kebaikan untuk kita. Sampai di sana, kita duduk dalam taman-taman syurga yang dinaungi para malaikat yang sentiasa mendoakan orang yang menuntut ilmu. Kita berguru dengan alim ulama, banyak berkatnya berdamping dengan ulama yang menjadi pewaris nabi (menurut satu hadis). Diri kita terpelihara, berada dalam kalangan orang-orang yang soleh, saling ingat-mengingati. Bertemu dengan sahabat, merapat ukhuwah. Dan pastinya kita pulang dengan rohani kita terisi. Nah! Apa lagi sebab untuk kita lepaskan peluang ini?


Barangsiapa menempuhi sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan menempuhkan suatu jalan untuknya menuju ke syurga."

(Hadith riwayat Muslim)

Sepatutnya, semakin bertambah umur kita, semakin banyak yang perlu kita tahu. Untuk itu, semakin banyak yang patut kita pelajari. Sayangnya, kita menjadi semakin malas. Tiada salahnya sekiranya kita mendoakan dengan kesungguhan kita menuntut ilmu agama menjadi wasilah untuk kita lebih cemerlang dalam bidang yang kita ceburi. Kerana usaha kita mencari bekalan untuk akhirat kelak menjaminkan kehidupan kita di dunia.



Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

مَنْ كَانَتْ اْلآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ وَمَنْ كَانَتْ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنْ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ

“Sesiapa yang akhirat menjadi harapannya, Allah akan menjadikan rasa cukup di dalam hatinya dan menyatukan urusannya, dan dunia akan datang tunduk kepadanya. Tetapi sesiapa yang menjadikan dunia sebagai harapannya, nescaya Allah akan menjadikan kefaqiran di antara dua matanya serta mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan sekadar apa yang telah ditetapkan baginya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/5, no. 2389. Dinilai sahih oleh al-Albani)


Kita juga suka berkata, 'aku belajar kerana Allah'. Betul, alhamdulillah. Tapi, kita manusia memang mudah lupa. Oleh itu, kita kena ingat, setiap amalan bermula dengan niat. Jadi bukan hanya waktu nak belajar perlu niat.  Muhasabah diri sendiri, hari-hari yang kita terlepas majlis ilmu, apa yang kita niatkan untuk amalan yang kita buat? Adakah kerana Allah juga?

Akhir sekali, peringatan juga buat diri ini, majlis ilmu itu tidak rugi tanpa kehadiran kita. Islam itu tetap akan menang walaupun tanpa kita. Kerana Allah pasti akan mencari orang untuk menjaga dan membela agama-Nya. Beruntunglah bagi orang yang menjadi pilihan Allah. Tanya diri kita sendiri, apa yang kita buat untuk Islam? Adakah kita ingin menjadi orang yang memberi sumbangan Islam? Cukupkah kelayakan untuk menjadi tentera Allah? Bersediakah kita?

Moga Allah beri kekuatan pada kita semua. Buat yang sedang mencari, moga Allah tunjukkan jalan. Yang sudah berjumpa, tapi masih merangkak, moga terus kuat agar dapat melangkah. Yang sudah bertatih, jangan pandang belakang, teruskan berjalan dan berpautlah pada yang mampu memimpin. Yang sudah berlari, jangan berhenti, sama-sama tarik sahabat yang masih tertinggal. Semoga kita sama-sama mendapat reda dari Ilahi.

p/s: ini cakap-cakap dengan beberapa sahabat...

2 comments:

  1. Sahabat, andai diriku terleka, sy memohon untuk dirimu menarikku ke dlm jln yang diredhai Allah. Alhamdulillah, Kita di'kembar'kan. Alhamdulillah, kita didekatkan rumah. Alhamdulillah, Allah berikanku kekuatan melalui sahabat. :)

    suka ayat ini--> "majlis ilmu itu tidak rugi tanpa kehadiran kita. Islam itu tetap akan menang walaupun tanpa kita. Kerana Allah pasti akan mencari orang untuk menjaga dan membela agama-Nya. Beruntunglah bagi orang yang menjadi pilihan Allah."

    Semoga kita semua menjadi orang yang beruntung itu. ^^

    ReplyDelete
  2. amin...sama-sama cari hikmahNya...
    alhamdulilah atas segala kurniaNya..
    moga terus thabat..:)

    ReplyDelete