Wednesday, December 19, 2012

Bangun dan berilah inzar!

Bismillah...

Kali ini, tertarik untuk berkongsi tentang pengajaran dari kisah sirah yang biasa-biasa kita dengar, yang kita tahu sejak sekolah rendah lagi. Tentang penurunan wahyu kepada baginda di Gua Hira'. Tapi, entah kenapa lain rasanya bila mendengar dalam satu majlis ilmu (Madrasah Nabawiyah) baru-baru ini. Perincian cerita ini diambil dari Kitab Al-Raheeq Al-Makhtum oleh Shaikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakhfuri.

Ketika baginda menerima wahyu pertama kali di Gua Hira' itu bukanlah pertama kali baginda berkhulwah. Sebelum itu lagi, baginda gemar beribadat dan mengasingkan diri dari kaumnya yang sudah jauh dan terpesong dari agama nabi Ibrahim. Mereka menyembah berhala. Disini, kita kena tahu, kenapa Rasulullah beruzlah? Sebabnya bila kita bersendiri dengan Allah, kita dapat bermuhasabah dan menghisab diri kita, jauh dari suasana keduniaan yang penuh dengan bermegah-megah dan hasad dengki. Masa inilah, kita akan merenung dan berfikir tentang kebesarannya, segala nikmat pemberiaannya. Rasa kerdilnya diri ini dihadapan Dia Yang Maha Agung.

Seperkara lagi yang sangat memberi kesan kepada saya dan sahabat-sahabat yang hadir. Kak Hanun (penyampai), meminta kami meneliti sama-sama bait-bait Surah al-Muddatsir, ayat 1-7.


"Hai orang yang berkemul (berselimut) (1) bangunlah, lalu berilah peringatan! (2) dan Tuhanmu agungkanlah! (3) dan pakaianmu bersihkanlah,(4) dan perbuatan dosa tinggalkanlah, (5) dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak.(6) Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, bersabarlah. (7)"

Kemudian, kami diminta menutup mata, dan mendengar ayat-ayat yang mengandungi seruan Ilahi membawa perintah agung, merentap Baginda dari kenyenyakan tidur dan kesedapan selimut untuk bersusah, berjihad dan berjuang.

Seolah-olah, seruan "Wahai yang berselimut,bangun dan berilah inzar" berkata:

"sesungguhnya orang yang hidup untuk dirinya sahaja akan hidup penuh kerehatan,engkau ini adalah orang yang memikul tanggungjawab yang besar.
kedatangan mu bukan untuk tidur!
dan bukan untuk berehat, bukan untuk berenak-enak dengan selimut yang mendakap!
bukan untuk hidup yang tenang!
dan bukan untuk berhibur dengan barang yang menyeronokkan.
Ayuh! bangun segera untuk tugas yang besar,yang sedang menunggu kau, kewajipan yang berat sudah pun disediakan untuk kau laksanakan.
Ayuh! bangunlah untuk berkecimpung dan menggarapnya,kau harus hadapi kepenatan dan kesusahan.
Ayuh! bangunlah segera,kini masa berehat dan tidur sudah tidak ada lagi bagimu,yang ada hanyalah berjaga malam yang berterusan dan perjuangan yang panjang lagi membebankan.
Ayuh! dan persiapkanlah diri mu untuk kesemuanya itu! "

Nah!! Perkataan inzar itu sendiri bermaksud pemberitahuan yang menakutkan. Maka, kita mesti bangun, tak boleh membiarkan diri lalai dan leka dengan kesenangan duniawi. Baginda yang Allah kasih pun menghadapi pelbagai rintangan untuk sebarkan Islam, memberi inzar kepada kita semua. Kasihnya baginda terhadap umatnya sehinggakan ketika di saat-saat akhir hidup baginda pun, baginda ingatkan kita. Lalu bagaimana pula manifestasi cinta kita terhadap baginda? Semua mengaku sayangkan Rasulullah, tapi muhasabah diri sendiri, apa bukti sayang kita? Sirah hidup baginda pun kita tak tahu.


Setiap orang ada tugas masing-masing. Semoga kita semua bersungguh-sungguh melaksanakan kewajipan kita, niat kerana Allah. Masa dengar ayat-ayat itu, terasa sangat. Waktu tu, kami dalam fatrah imtihan. Memang biasalah stress nak exam, banyak lagi tak baca. Lagi, cabaran musim sejuk , memang sangat enak berselimut. Itulah, lemahnya manusia, mengadap buku pun rasa tak mampu nak habiskan. Macam mana nak pikul amanah sebagai khalifah, yang lebih besar? Memang sebenarnya kita tak boleh bersenang-senang, sebab banyak lagi kerja tak buat. Kata-kata Imam Hasan al-Banna, " kewajipan lebih banyak dari masa".

Alhamdulilah, hari ini, rehat sehari...esok akan start round baru, ENT..semoga Allah berikan kekuatan untuk berusaha lebih gigih..

No comments:

Post a Comment