Sunday, September 18, 2016

She, my other half.

Alhamdulillah, masih mampu tersenyum.
____________________________________________________________________

Hari itu sahabat baiknya bakal menamatkan zaman bujang, bergelar isteri orang dan bakal melayari bahtera rumah tangga.

Dia rasa seronok sekali. Mungkin dia tidak seperti orang lain yang bisa meluahkan rasa hati secara zahir baik pada orang sekeliling mahupun di media sosial. Tapi dia memang begitu, lebih senang diam-diam sahaja.

Sekadar ingin mencoret, mengenang tali persahabatan yang terjalin.

Mereka seolah banyak sekali persamaan. Atau mungkin banyak perbezaan yang masing-masing boleh berlapang dada. Dia boleh meluah andai tidak bersetuju dan mampu mendengar andai berbeza pendapat.

Mereka saling berlapang dada. Persahabatan itu serendah-rendah tingkatnya adalah berlapang dada. Namun ramai yang tersalah sangka. Seolah sudah menjadi sahabat sejati bila mampu berkorban atau melebihkan pihak yang lain dari diri sendiri. Hakikatnya, kadang-kadang hati masih tidak tenang, masih ada sangkaan buruk bila dirasakan ada hak persahabatan yang tidak dipenuhi. Andai benar bibir tegar melaungkan dialah sahabat sehidup semati, masih ada ruangkan untuk bibit-bibit negatif seperti itu?

Lagi, mereka bisa berkongsi kisah, meluah rasa, menyimpan rahsia.

Seolah dia difahami oleh si dia, tanpa perlu mengungkap bicara kala bibir berat sekali meluah rasa. Sorotan mata dan anggukan tanda faham buat dia rasa separuh masalah terbang pergi. Hatinya tenang di samping sahabat sebegitu.Tepukan dibelakang tanda sokongan seperti dia memikul sebahagian beban di bahu. Hingga terkadang andai si dia tidak berada di situ, dia seolah menerima hantaran doa buat diberi kekuatan dipermudahkan urusan.

Doa untuk kamu sahabat,

Semoga kamu menjadi isteri solehah, ibu yang bakal melahirkan anak-anak yang berbakti untuk ummah. Semoga rumah tangga dibina sentiasa dalam rahmatnya, diberkati dan berkekalan ke syurga. Panjang lagi harapanku, biar yang lain diungkap dalam rintihan doa.

Dan semoga persahabatan kita kekal. Doakan juga semoga sahabatmu ini bertemu pasangan yang membawa ke syurga.

Walau kita mungkin tidak selalu bersama, namun harapanku kita saling mengingati dalam doa..

No comments:

Post a Comment