Thursday, January 3, 2013

Pekerja vs Penganggur

Bismillah..kali ini, terpanggil untuk meluahkan pendapat tentang kerja dan tanggungjawab. Mungkin juga kesan dari pilihanraya persatuan dan batch baru-baru ini dan sememangnya pemerhatian saya selama ini.

Kita selalu memfokuskan pekerja adalah seseorang yang mempunyai peranan tertentu dalam masyarakat. Dari kecil, kita diajar, dah besar nanti nak jadi apa? Semua bagi jawapan yang bagus-bagus, berhasrat untuk menjadi yang terbaik dalam bidang masing-masing untuk beri sumbangan pada masyarakat. Tiada siapa yang nak jadi seorang penganggur.

Tapi, kadang-kadang kita terlepas pandang. Sebenarnya tak perlu tunggu masuk alam pekerjaan untuk menjadi seorang pekerja, tapi semua itu perlu dilatih sejak kecil. Dari sekarang. Tak kira kita dimana. Walau apa pun bentuk tugasannya, besar atau kecil, nampak atau tidak.

Saya kadang-kadang tertanya-tanya dengan diri sendiri. Sekarang ini, saya berada dalam sekolah perubatan. Bukan masa yang sekejap, tapi mengambil masa 6 tahun untuk segulung ijazah. Lama. Ikutkan jangka masa itu, cukuplah untuk menimba ilmu teori dalam kuliah, cukup untuk habiskan syllabus sebagai lepasan ijazah. (yang sememangnya sangat sedikit untuk menjadi seorang doktor).

Semua tahu perkara itu. Semua belajar bersungguh-sungguh untuk lulus dengan cemerlang. Untuk tahu semua teori. Untuk faham semua perkara yang diajar. Tapi, seorang doktor dinilai bukan sekadar ilmu pengetahuan mediknya. Yang membezakan seorang doktor itu, bagaimana akhlak dan peribadi. Kita akan seronok dan tenang berurusan dengan doktor yang memahami pesakit dan doktor yang berasa 'dekat' dengan kita.

Lalu, bagaimana? Seharusnya 'soft-soft skills' itu tidak dapat tidak perlu dibentuk dari sekarang. Semasa 'dalam sekolah'. Bukan senang hendak melayan kerenah pesakit, kadang-kadang keluarga pesakit yang memburukkan lagi suasana. Banyak lagi perkara lain, kemahiran kita berkomunikasi dengan pesakit, pekerja hospital dan siapa-siapa lagi. Dan diri kita sendiri, mampukah untuk menguruskan kehidupan di alam pekerjaan yang pastinya lebih mencabar dengan tanggungjawab yang semakin bertambah?

Sebab itu, kita perlu menjadi 'pekerja' dari sekarang. Bukan 'penganggur'. Hanya duduk dalam bilik, menelaah buku-buku medik yang tebal-tebal dan menghafal nota-nota kuliah. Atau satu golongan lagi, 'Hello, saya budak medik pun saya enjoy ok'. Golongan yang ini, sekadar menghadiri kuliah untuk ambil kedatangan, cukup lepas masuk peperiksaan dan lulus, selesai. Tidak perlu fikir yang berat-berat, serabutkan diri dengan perihal orang lain, yang penting berseronok, dan bersuka ria pada waktu muda. Muda kan sekali?

Apa yang pekerja ini buat? Apa yang mereka dapat? Memang sebagai orang yang melihat, kita akan nampak mereka ini penat. Kurang masa untuk study dan diri sendiri. Tension barangkali dengan amanah yang membukit. Lagi, sibuk sangat dengan perkara-perkara apa entah, yang kita sendiri tak tahu, entah penting atau tidak.

Tapi, kalau kita perhatikan, banyak perkara yang mereka dapat. Banyak perkara yang mereka belajar. Mereka berpengalaman berurusan dengan orang yang banyak kerenah. Yang cerewet. Mereka biasa berdepan dengan situasi yang tidak jangka. Mereka belajar untuk menangani situasi tersebut. Mereka latih diri mereka. Bina dalam diri, sifat-sifat kepimpinan, sabar, ikhlas, berlapang dada, pemurah, berani mengambil risiko. Jalinkan silaturrahim sesama insan. Mereka berkerja dan memperoleh hasil.

Jika kamu meminjamkan kepada Allah dengan pinjaman yang baik, niscaya Dia melipatgandakan (balasan) untukmu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Mensyukuri, Maha Penyantun. (at-Tagabun, 64:17)

Timbul persoalan lain pula. Aku tak reti. Aku tak hebat macam dia tu. Aku ni biasa-biasa sahaja, tak ada apa-apa bakat dan kebolehan. Tak pandai bahagi masa. Tak boleh nak menyumbang. Noktah. Senyap. Hilang. Salahlah macam tu. Yang penting bukan jawatan atau kedudukan yang hebat-hebat, tapi cukuplah sekadar yang mampu. Walau sekecil mana pun peranan, yang penting Allah kira, Allah pandang. Betulkan niat kerana Nya, in sha Allah. Teringat kisah seorang sahabat Nabi. Beliau sudah tua, tapi masih semangat untuk berjihad, hendak berperang. Ramai yang memperkecilkan usaha beliau. Tapi, apa jawapan yang beliau beri, 'Walaupun tenaga aku sudah lemah, tapi kehadiranku untuk meramaikan lagi tentera Islam'. Cukup untuk berada disitu, menjadi sebahagian dari kumpulan kita. Kita memberi.

Walau apa pun, yang penting, kita ingat apa matlamat akhir kita. Kehidupan kita disini hanyalah sebagai bekalan untuk akhirat kelak. Jadi, apa pun perkara yang kita buat, moga-moga mencapai redaNya.Andai betullah kita niatkan study kita kerana Allah, janganlah pula kita tinggalkan perkara lain sehingga mengabaikan hak-hak orang sekeliling kita dan hak terhadap diri kita sendiri. Jangan lupa untuk menjaga niat sebelum, semasa dan selepas melakukan satu-satu amalan. Cubalah kerah tenaga diri sendiri untuk menjadi pekerja yang dapat menyumbang untuk Islam, bukan hanya penganggur yang bersenang-lenang dibuai keseronokan duniawi.



Bahasa arab: Saya baru tahu yang perkataan tinggi (اعلى) berlawanan dengan rendah ( ادنى). Jadi perkataan dunia (دنيا) tu maksud dia rendah. Jadi sebenarnya dunia ni tak ada apa-apa pun. Tak perlu bangga dan kejar sangat. Lebih baik fokuskan pada akhirat (اخيرة), pengakhiran kita. In sha Allah, kalau kita kejar akhirat, dunia pun ikut sekali.

No comments:

Post a Comment