Monday, January 7, 2013

Matahari yang terik


Alhamdulilah, semalam berpeluang untuk menghadiri satu perkongsian tentang rentetan sejarah dan politik yang berlaku di Mesir.Banyak rupanya perbezaan apabila sesebuah negara itu diperintah oleh pemimpin yang zalim dengan pemimpin yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.

Saya tidaklah berhasrat untuk mencoretkan kembali apa perkara-perkara yang berlaku. Tapi, di sini ingin mengambil  pengajaran untuk manfaat bersama. Pertamanya kita renung kembali, bagaimana boleh terjadinya revolusi di Mesir ini. Semuanya bermula dari seorang pemuda, Khaled Saed. Apa yang telah beliau lakukan? Dengan beraninya, beliau telah memuat naik video yang menunjukkan polis Mesir menerima rasuah dari penyeludup dadah. Akibat dari peristiwa tersebut, polis-polis Mesir telah memukulnya di khalayak ramai, memenjara dan akhirnya diseksa sehingga mati dalam tawanan. Hasil dari kejadian tersebut, ditambah dengan revolusi yang berlaku di Tunisia, membuka mata rakyat untuk membebaskan diri dari cengkaman pemerintahan yang zalim. Bermula dari sinilah, berbagai-bagai peristiwa yang berlaku sehinggalah tampuk pemerintahan beralih kepada Dr Mursy sekarang, alhamdulillah.

Lihatlah, betapa besarnya peranan pemuda sebenarnya. Pemuda ini ibarat matahari yang sedang terik, penuh dengan semangat, bersungguh-sungguh dalam melakukan apa sahaja. Kalau kita selusuri kembali sirah baginda, kekuatan pemudalah yang banyak membantu perjuangan Islam. Kita muhasabah juga diri kita, sepanjang kita hidup, apa perkara yang telah kita lakukan? Kalaulah Sultan al-Fateh telah berjaya menawan Kota Constantinople pada umurnya 21, kita? Sama-samalah berusaha untuk membina kekuatan diri untuk menyumbang demi Islam.

Di bawah adalah video yang pernah saya dan sahabat-sahabat hasilkan. Sedikit perkongsian tentang kuasa dan peranan pemuda.



Besarnya peranan pemuda ini, hingga disebut bahawa Saidina Umar pernah berdiskusi dengan para sahabat. Beliau bertanya kepada sahabat, jika ada perkara yang mereka inginkan, apa yang mereka ingin penuhkan dalam bilik tersebut. Macam-macam jawapan yang diberi oleh para sahabat. Ada yang inginkan bilik tersebut dipenuhi emas untuk diinfaqkan di jalan Allah, tapi apa yang beliau jawab:

"Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan pemuda-pemuda seperti Muaz bin Jabal, Abu Ubaidah al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah, supaya aku boleh hantar mereka ke jalan Allah"

Besar sekali harapan Saidina Umar. Penting sekali peranan anak-anak mudi. Namun, waktu umur seperti inilah, kita banyak lalai dan leka, mahu menikmati kesenangan hidup. Sedangkan kalaulah kita sedar, pasti masa muda tidak akan disia-siakan begitu sahaja. Kalaulah alasan, waktu muda ini, fizikal paling kuat, mental sangat cerdas, dan semangat menyala-nyala, seharusnya kelebihan-kelebihan ini disalurkan ke tempat yang betul, untuk meningkatkan pengetahuan dan beramal untuk Islam. Bimbang pula, akan ditanya di akhirat kelas, masa muda kita, dimana kita dihabiskan?

Andai di dunia, pandailah mulut berkata-kata melencong memberi alasan di hadapan manusia, tapi pada hari pengadilan nanti, apa agaknya yang akan diberitahu oleh tangan dan kaki dihadapan Allah Yang Maha Agung, Penguasa Hari Pembalasan, ketika mulut dikunci?

Banyak lagi sebenarnya perkara yang kita belum capai. Kata-kata seorang, sahabat, kalaulah seseorang itu betul-betul faham, dia akan tahu bahawa kita akan terus bekerja sampai kita mati. Kerana kita adalah orang yang menyambung rantai-rantai perjuangan, bukan pemula atau penamat.

Peperiksaan makin dekat. Wahai diri, teruslah berusaha bersungguh-sungguh, kerana anda seorang pemuda, yang Allah kurniakan kekuatan!!

Ditanya kepada Imam Bukhari, 'Apakah ubat untuk lupa?. Maka dijawab, "Berterusan melihat buku,".




No comments:

Post a Comment