Friday, July 12, 2013

Mesir dan Mursi

Alhamdulillah, akhirnya diberi juga kekuatan untuk mencurah idea di sini. Sudah berapa kali ingin membuat post baru, tapi bila berhadapan dengan papan kekunci, idea jadi kaku, walhal banyak sahaja perkara yang berlaku di sini yang boleh saya coretkan. Entah, Allah tak izin barangkali.

Semalam ada berbual dengan seorang sahabat. Tentang politik Mesir, tentang reaksi penduduk Mesir sendiri dari mak cik biasa-biasa di tepi jalan hingga ke seorang doktor yang mengajar perubatan di dewan kuliah. Semua beri pandangan masing-masing tentang negara mereka.

Kami yang berada di sini tidak terkecuali. Yang turut merasa kemenangan ketika rejim mubarak dijatuhkan 2 tahun lalu selepas hampir 30 tahun memerintah, merasa semangatnya thaurah (demonstrasi), betapa penduduk Mesir mengharapkan sesuatu yang baru dengan bertukarnya pimpinan.

Dan setahun yang lalu, di kala musim peperiksaan, semua tekun menghadap laptop untuk sama-sama mengetahui presiden manakah yang menang dalam pilihanraya yang diadakan. Yang telus, menyuarakan harapan rakyat. Dan kami sama-sama gembira mendengar keputusan, berbangga dengan pilihan penduduk yang membuat perubahan baru, agar corak kepimpinan negara diterapkan nilai-nilai Islam.

Nampaknya langit tidak selalu cerah, hujan turun ditengah hari kala bumi Mesir memasuki musim panas ini. Entah, nampaknya kami sendiri keliru kenapa mereka ingin menjatuhkan presiden yang bukan calang-calang itu. Yang merupakan seorang hafiz Quran, bangun, memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin apabila membuka pintu Rafah, yang turut mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Syria tatkala rejim Basyar semakin mengganas terhadap puak sunni. Mungkin peranan media massa yang terlalu menyebar berita yang tidak benar, seolah-olah presiden mereka tidak pandai mentadbir negara. Seolah dilihat rakyat mereka tidak sabar untuk mengecapi arus pembangunan dan kemodenan walau tempoh yang diberi baru setahun.

Berikutan protes yang dilakukan pihak tamarrud, Majlis Angkatan Tentera mengambil keputusan untuk menjatuhkan presiden mereka. Berjuta bangun semula untuk memprotes, namun sehingga kini keadaan masih begitu. Sedih mengingatkan betapa mereka meraikan kemenangan ketika keputusan diumumkan. Seolah satu perayaan besar malam itu, dengan percikan bunga api, lagu dimainkan di jalanan, dan sorakan penuh kegembiraan. Hati merintih sedih, kecewa dengan apa yang berlaku.

Tapi Allah tak menjadikan sesuatu tanpa sebab. Semuanya untuk mengajar kita, mengambil muhasabah apa yang berlaku. Tidaklah ingin mengungkit apa yang telah terjadi, cuma ingin merenung apa yang perlu dilakukan pada masa depan.

Kerana bukan mudah untuk Islam menang. Tidak kerana seorang pemimpin yang memahami Islam telah mendapat jawatan pemimpin dalam negara, Islam akan tertegak dengan mudah di sesuatu negara. Tidak, banyak tapisan yang Allah buat, banyak perubahan yang perlu dilakukan oleh setiap ahli negara sebenarnya.

Kalau kita analogikan, bagaimana keadaan seorang pemenang? Andai dia seorang atlet lumba lari yang memenangi tempat pertama, pasti andai diajak untuk berlumba lagi, rekod yang cemerlang akan dikekalkan. Kerana dia telah mencapai yang terbaik dalam bidangnya, tentunya hasil dari usaha keras dan berterusan untuk mendapat kejayaan tersebut. Kerana dia tahu apa yang ingin dicapai dan bagaimana dia ingin mencapainya, usahanya luar biasa, maka kita pun akan lihat si pemenang tadi bukan orang yang biasa-biasa. Sama juga halnya dengan seorang pelajar yang cemerlang. Bukan calang-calang usaha yang dilakukan.

Maka, renung diri sendiri, andai kita rasakan Islam itu ingin menang, cukupkah dengan keadaan umat Islam sekarang ini? Yang rata-ratanya masih jahil tentang agama, bagi yang faham, masih malas untuk bekerja untuk Islam, menyebar fahaman pada semua. Layakkah Islam itu tertegak dengan melihatkan akhlak dan peribadi kita sendiri? Ya, adakah saya sendiri sudah betul-betul mengamalkan Islam dalam seluruh aspek kehidupan saya sendiri? Atau masih menjuzuk-juzukkan, untuk diaplikasikan pada ketika-ketika sahaja, masih menerapkan baki-baki sekularisma.

Nah, lihat sendiri, bukan senang untuk mendapat kemenangan itu. Dalam hidup ini, semuanya pasti pernah berlumba, merasa menjadi peserta, bersaing dengan orang lain yang hebat juga. Maka semuanya pasti tahu, untuk mencapai kemenangan Islam itu, tidak boleh bersenang lenang, mengharap sahaja, melihat dari jauh. Bukan Allah yang rugi jika kita tidak membantu agamaNya, tapi kita sendirilah yang rugi jika tidak memperjuangkan kemenangan Islam. Kerana Allah pasti akan menggantikan kaum lain, jika sesuatu kaum itu lalai dan leka.

Pilihan di tangan kita. Semoga kita thabat di posisi masing-masing.

Selamat menyambut Ramadan. Semoga ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya...:)


No comments:

Post a Comment