Wednesday, March 18, 2015

Lost and found?

Alhamdulillah, atas nikmat yang kita nampak dan tidak. Yang datang dalam bentuk konkrit mahu pun abstrak. Yang kita boleh pegang dan yang hanya boleh dirasa di hati. Alhamdulillah.

Saya tak tahu kenapa. Cuma belakangan ni, selalu keciciran barang. Entah, saya bukan jenis yang senang hilang barang. Ujian barangkali.

Kelmarin, saya hilang dompet. Serasa ini pertama kali sepanjang saya mempunyai dompet. Yang saya baru perasan bila lewat malam. Terus dail nombor CIB untuk terminate card credit.

Ada hikmah barangkali. Ingin cuci harta bak kata orang. Atau kafarah dosa di mana-mana.

Dan semalam, saya pergi ke bank. Untuk ganti kad yang baru.

Kelakar sedikit bila, tandatangan saya bermasalah. Kata pegawai tersebut,'It's totally different" bila dirujuk pada tandatangan yang direkodkan 5 tahun yang lepas. Sudahnya saya terpaksa berlatih untuk pastikan tandatangan saya itu sama. Alhamdulillah, berjaya :)

Selesai urusan di bank, saya menuju ke Misr Turk, untuk hadiri kelas arab saya. Level yang paling lama, sudah 10 bulan. Dalam perjalanan, pegawai tersebut hubungi saya, menyatakan saya perlukan surat dari kedutaan dan pengesahan saya pelajar dari university (kad pelajar). Allah.

Disebabkan masih ada masa, saya pergi ke bangunan Mara, jumpa dengan pegawai dan alhamdulillah, bisa diatur :)

Dan saya teruskan kelas arab pada petang itu..dan kami sambut birthday ustazah suria. :)

Sentiasa percaya yang setiap yang hilang itu, gantinya lebih baik.
Sentiasa mencari hikmah di sebalik perkara yang berlaku.

Moga diberi kekuatan untuk teruskan hari yang mendatang, Nampaknya, tahun akhir ini memang sukar dari sebelumnya. Banyak hak yang perlu ditunaikan,  banyak misi yang perlu dicapai.

Moga sentiasa ikhlas beribadah keranaNya.


Saturday, March 14, 2015

Diterimakah?


Alhamdulillah, atas nikmatnya.

Semalam hari yang penuh, menghadiri MAT (Mesyuarat Agung Tahunan ) ke 11 PERUBATAN di Kaherah. Yang terakhir barang kali, yang paling terasa di hati. Buat pertama kali lagu Perubatan dinyanyikan setelah setahun cuba dihasilkan.

Banyak sangat perkara yang boleh diresolusikan. Adat mesyuarat, perlu diperhalusi. Mendengar dan memberi pandangan, adab dan akhlak mestilah dijaga.

Andai kata bekerja untuk Islam, perlu dimuhasabah,bagaimanakah hasil kerja kita itu, yang ingin dipersembahkan kepadaNya, agar menjadi pemberat amal kebaikan di akhirat kelak?

Dalam perjalanan pulang di dalam bas, keputusan peperiksaan lepas keluar.

Agak kecewa dengan prestasi diri sendiri.

Disangka, ujian lisan boleh membantu meningkatkan markah, namun sebaliknya berlaku.

Lantas aku bertanya, ku kira jawapan yang diberi sudah memuaskan hati professor, sementelah mereka menunjukkan reaksi yang bukan negatif.

Tapi, tidak berlaku demikian.

Wahai diri, bagaimana kau menjamin semua amalanmu diterima?

Ikhlas dan istiqamahlah..


Saturday, March 7, 2015

Setahun berlalu..

Alhamdulillah, atas nikmat dan kurniaNya.

Lama sudah tidak menulis. Ketandusan idea barangkali. Takut juga andai menulis perkara yang tidak bermanfaat. Namun, terasa sayang andai baki masa di Mesir, yang kurang dari setahun tidak dicoret. Azam baru, meninggalkan memori-memori di Mesir di alam maya ini :)

Sekarang berada di Round Surgery, Department Gastrointestinal System. Banyak sangat perkara yang perlu dipelajari, Sampai letih sendiri, bukan letih mengulangkaji, tapi letih memberi semangat pada diri.

Satu perkara yang ingin disimpan di sini, sewaktu berada di Department Head And Neck yang lalu.

Dapat case Squamous Cell Carcinoma.

Pertama kali dapat, Dapat tengok clinical manifestation secara real, bukan sekadar teori seperti sebelum ini.

Pesakit datang masuk ke dalam kelas, seorang lelaki yang berusia 40 an, tipikal lelaki arab kelas bawahan, memakai jubah, bersama segumpal kapas yang memenuhi ruang mulut sehingga bawah dagu.

Awalnya, aku biarkan rakan sekelas untuk mengambil sheet. Sekadar memerhati dari tempat dudukku di barisan hadapan. Namun, selepas beberapa ketika, aku buat keputusan untuk bantu mengambil history patient. Tambahan, pesakit tersebut kelihatan sukar untuk berbicara.

Data peribadi ditanya. Selesai. Mula ambil aduan, sebab pesakit datang.

Rupanya beliau sudah membuat pembedahan. Tapi, barah tersebut tidak dibuang sepenuhnya, (sepatutnya wide local excision with safety margin), maka sisa barah tersebut merebak. Cepat, Sememangnya Squamous Cell Carcinoma dikenali dengan sifat aggressive. History yang tidak sampai 2 tahun.

Aku bertanya lagi, Sayu melihat keadaan beliau.

"Macam mana pak cik makan?"
" Azab..azab". jawab pak cik dalam bahasa Arab, yang ku kira orang melayu pun faham.

Kami teruskan dengan clinical examination. Aku minta kebenaran untuk melihat keadaan mulut beliau. Awalnya ku kira beliau tak benarkan, dengan keadaan yang sangat teruk. Tapi, pak cik tersebut sangat bekerjasama.

Pak cik buka kapas. Allah, bibir bawahnya sudah tiada, dimakan barah. Kulit bawahnya sehingga dagu pun tiada, terus menampakkan gusi dan gigi. Air liur mengalir tapi pak cik masih berusaha menjawab persoalan kami.

Aku mengambil sarung tangan. Cuba untuk palpate kawasan leher, mencari sekiranya ada cervical lympadenopathy. Jumpa. Hard, fixed to underlying structure. Memang sign of malignancy. 
Selesai berdiskusi dengan rakan sekelas mengenai kes ini, Dr Ayman Sameh masuk. Ingin memulakan sesi pembelajaran.

Rakanku bentang kes. Sebelum bermula perbincangan, doktor katakan pada kami, sebak aku mendengarnya.

"This patient is blessed. We are not fully blessed. You know when someone face hardship, Allah will give difficulty to them. Just like sahabah, when they are comfortable with no trials, they go and see Rasulullah and ask, Ya Rasulullah, Did Allah has stop to love me?" (lebih kurang beginilah mesej yang cuba doctor sampaikan)

Kelas berjalan seperti biasa.


Ujian tanda Allah sayang. Dan ingatlah, ujian itu sekadar tanda untuk Allah lihat bagaimana kamu hadapi, bukan apa keputusannya.

Athirah, this is only a test. You gonna pass through it.

selamat bermujahadah.


Friday, March 14, 2014

Berserah

Alhamdulillah, atas segala perkara yang datang dari-Nya.

Sembang-sembang:

Gadis A: Awak ni baiklah, kita nak awak la..
Gadis B: Awak nak kita nak buat apa?
Gadis A: Eiii, awak ni selalu reject kita..
Gadis B: bukan reject la, mesti la kita nak tahu untuk apa kita serahkan diri kat awak..
Gadis A: Amboi ayat dia. Fine la, siapalah kita..
Gadis B: Macam kalau kita fikir semula, hebatkan orang yang boleh masuk Islam, dari satu pemikiran lain, betapa dia yakin dengan apa yang dibawa oleh ISLAM, dia SERAHKAN diri bulat-bulat pada agama ISLAM, walaupun dia tahu banyak dugaan yang menanti selepas keislamannya..

Kita, sejauh mana kita berserah dalam erti kata yang sebenar, kepada Yang Maha Pencipta?

Itulah maksud islam yang sebenar. Tunduk, patuh dan berserah diri.

Orang yang beriman dengan sebenar-benar iman meyakini setiap yang Allah takdirkan untuk dia, itu yang terbaik. Dia merancang, tapi Allah sebaik-baik perancang. Maka, dia berserah atas ketentuan setelah berusaha. Meyakini hikmah disebalik yang tersembunyi.

Orang yang beribadat, menikmati erti ibadah yang sebenar. Menjadi seorang abid, memperhambakan diri dengan amal ibadat tanpa menghiraukan makna disebalik ibadah, tidak mencari kebaikan duniawi, sebaliknya ikhlas melakukan untuk menjadi terbaik di mata Dia.

Manusia ini sifatnya ragu-ragu, lemah dan perlu kepada pergantungan. Maka, kita perlu mencari kepada tempat bergantung yang paling teguh. Islam menyediakan semua itu, memberi jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan, tapi nafsu manusia seringkali lupa, meminta selain Dia, kalah pada bisikan syaitan.


Perlu bertenang dan belajar setiap perkara yang mendatang dalam kehidupan. Kesalahan dan kekurangan yang dilakukan hari ni adalah kekuatan dan pengajaran hari yang mendatang. Minta pada Dia, yang Maha Mendengar :)

Wednesday, February 26, 2014

Emergency leave

Alhamdulillah, atas nikmat yang tak terhitung yang Dia beri padaku hari ni. Lama tidak menulis, entah, hilang rasa untuk berkongsi mungkin atau bimbang banyak merapu dari bicara yang bermanfaat.

Hari ni cuti lagi, cuti kecemasan secara tiba-tiba. dapat 2 minggu, dapat tahu sewaktu sedang buat persiapan untuk exam end of round bagi subjek Cardiology. Baru lepas belajar Cardiology 2 minggu selepas naik dari cuti selama 2 minggu, kini cuti kembali.

Alhamdulillah, nikmat lagi. Dan ujian masa lapang, yang itu manusia lagi lemah sebenarnya. Cabaran menyusun masa agar setiap detik jadi bermanfaat.

Banyak perkara yang berlaku setiap hari. Dan Dia datangkan sesuatu perkara itu dalam cara yang paling baik untuk kita terima walaupun zahirnya sesuatu itu pahit untuk kita terima. Mungkin dengan cara itu kita mampu bangkit dari lena yang panjang, bersyukurlah ada yang sudi menjentik dan memberi peringatan buat yang alpa.

Malu dengan diri sendiri yang banyak mengeluh. Hanya kerana perkara yang kecil kita mudah jatuh, tersungkur. Hakikatnya, mereka yang pernah jatuh tersungkur mengetahui sakitnya bila terluka, peritnya berada di bawah dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk terus bangun dan bergerak ke hadapan, menuju destinasi. Dan disitulah, sebuah kekuatan terbentuk. Mahal harga yang perlu dibayar untuk berdiri tegak di sebalik sejarah yang mendewasakan seorang insan.

Kerana sebuah tanggungjawab yang menanti untuk dilunaskan, tak memadai dengan bersenang-senang, melayan emosi dan perasaan yang menuntut untuk dibelai. Andai memahami kepentingan berbakti untuk ummah, keperluan diri ditolak tepi, melawan hawa nafsu dan terus menapak ke hadapan.

Semoga terus kuat.

Friday, December 6, 2013

Pediatric

Alhamdulillah, masih diberi kekuatan untuk menulis. Kuat sungguh ujian yang Allah beri kali ini untuk mencoret idea di blog ini. Harapnya Allah izin untuk saya sudahkan penulisan kali ini.



Ini Laut Mediterranean, di pinggir Bandar Iskandariah, gambar yang diambil  dari rooftop ward kanak-kanak di Syatby Hospital tempat saya belajar sekarang. Subhanallah, laut yang memang tidak jemu dan selalu menenangkan mata-mata pada hati-hati yang gundah gulana.

Tidak banyak yang ingin saya nyatakan kali ini. Round yang berbaki kurang dari 2 minggu seakan mengejar. Masih tidak puas mempelajari kes-kes pada kali ini.

Sayu rasa hati mengenangkan kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa sudah menanggung beban yang berat untuk menghadapi pelbagai penyakit. Ada yang terpaksa berulang ke hospital setiap minggu dari rumah yang jauh untuk mendapatkan rawatan.
Nampaknya diri ini perlu belajar dari ketabahan seorang kanak-kanak.
Tambahan kalau masuk ward NICU (Neonatal Intensive Care Unit), bayi-bayi yang lahir tidak cukup bulan terpaksa bersabung nyawa sebelum dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain.
Semoga kita diberi kekuatan untuk menghadapi ujian kehidupan yang semakin mencabar dari hari ke hari. Kerana kita mampu, kerana itulah kita diberi bebanan.


Semoga terus kuat berlari, trek itu pasti disitu, pelarinya mungkin silih berganti, tapi dimanakah aku?



Kerana jalan itu panjang, tidak pasti mana penghujungnya, teruskanlah...

Sunday, November 3, 2013

Melihat Dengan Mata Hati

Alhamdulillah, hari jumaat penghulu segala hari tiba lagi. Hari yang saya paling suka sedari kecil lagi, hingga sekarang, tambahan pula hari jumaat satu-satu hari yang tiada kelas bagi kami pelajar perubatan iskandariah.

Hari cuti. Semua ambil kesempatan untuk cuti dari rutin biasa, selesaikan segala keperluan yang tak sempat dilunaskan dek kesibukan kuliah sepanjang minggu. Hari ini, rutin lain dari biasa, cuba refresh diri masing-masing untuk bekalan minggu akan datang.

Persoalan, apa yang kita buat untuk refresh tu? Masing-masing punya agenda tersendiri, meluangkan waktu merehat diri.

Cuti jumaat kali ini buat saya berkesempatan untuk beriadah, meluang masa dengan sahabat. Banyak topik yang keluar bila sudah lama tidak bersua. Seakan tepu dengan perkataan medic setiap hari, hati juga kosong, perlu bicara yang menambah iman.

Melihat dengan mata hati.

Seorang teman meluahkan, betapa kadang-kala beliau kasihan dengan rakan-rakan yang membutakan mata hati, tidak melihat sesuatu dengan pandangan yang istimewa.

M.E.S.I.R

Secara kasar, Mesir bukan negara yang indah, bukan seperti negara Eropah yang bersih, penuh dengan rakyat yang bertamadun. Yang patuh pada lampu isyarat. Yang menepati waktu. Yang sopan santun, berbudi bahasa. Udara bersih, persekitaran cantik.

Mesir lain, kotor. Rakyatnya kasar, selalu buat orang sakit hati barang kali. Banyak benda yang perlu sabar, kena kuat mendidik jiwa, mertarbiyyah hati. Tak boleh manja-manja, buat macam negara sendiri.

Tapi, di sini bumi yang banyak membentuk diri saya. Yang menjadikan saya lain dari yang dulu. Ada banyak permata istimewa yang ingin dicari, disebalik celahan debu bumi Firaun. Kalaulah kita berfikiran positif, bersangka baik, in sha Allah benda yang baik-baik juga yang kita dapat. Kerana kita mahu yang baik-baik, kita bergerak ke arah kebaikan dan kita akan berjumpa dengan perkara yang baik, dengan izinNya.

4 tahun di sini bukan waktu yang sekejap. Dan baki 2 tahun juga, terkdang terasa sudah kesempitan waktu. Seakan baru membesar, menjadi matang untuk membina jati diri. Harapnya diri ini punya kekuatan untuk menempuh cabaran yang mendatang. Terima kasih kepada semua sahabat yang sentiasa menyokong diri ini menjadi saya yang sekarang :)