Sunday, November 3, 2013

Melihat Dengan Mata Hati

Alhamdulillah, hari jumaat penghulu segala hari tiba lagi. Hari yang saya paling suka sedari kecil lagi, hingga sekarang, tambahan pula hari jumaat satu-satu hari yang tiada kelas bagi kami pelajar perubatan iskandariah.

Hari cuti. Semua ambil kesempatan untuk cuti dari rutin biasa, selesaikan segala keperluan yang tak sempat dilunaskan dek kesibukan kuliah sepanjang minggu. Hari ini, rutin lain dari biasa, cuba refresh diri masing-masing untuk bekalan minggu akan datang.

Persoalan, apa yang kita buat untuk refresh tu? Masing-masing punya agenda tersendiri, meluangkan waktu merehat diri.

Cuti jumaat kali ini buat saya berkesempatan untuk beriadah, meluang masa dengan sahabat. Banyak topik yang keluar bila sudah lama tidak bersua. Seakan tepu dengan perkataan medic setiap hari, hati juga kosong, perlu bicara yang menambah iman.

Melihat dengan mata hati.

Seorang teman meluahkan, betapa kadang-kala beliau kasihan dengan rakan-rakan yang membutakan mata hati, tidak melihat sesuatu dengan pandangan yang istimewa.

M.E.S.I.R

Secara kasar, Mesir bukan negara yang indah, bukan seperti negara Eropah yang bersih, penuh dengan rakyat yang bertamadun. Yang patuh pada lampu isyarat. Yang menepati waktu. Yang sopan santun, berbudi bahasa. Udara bersih, persekitaran cantik.

Mesir lain, kotor. Rakyatnya kasar, selalu buat orang sakit hati barang kali. Banyak benda yang perlu sabar, kena kuat mendidik jiwa, mertarbiyyah hati. Tak boleh manja-manja, buat macam negara sendiri.

Tapi, di sini bumi yang banyak membentuk diri saya. Yang menjadikan saya lain dari yang dulu. Ada banyak permata istimewa yang ingin dicari, disebalik celahan debu bumi Firaun. Kalaulah kita berfikiran positif, bersangka baik, in sha Allah benda yang baik-baik juga yang kita dapat. Kerana kita mahu yang baik-baik, kita bergerak ke arah kebaikan dan kita akan berjumpa dengan perkara yang baik, dengan izinNya.

4 tahun di sini bukan waktu yang sekejap. Dan baki 2 tahun juga, terkdang terasa sudah kesempitan waktu. Seakan baru membesar, menjadi matang untuk membina jati diri. Harapnya diri ini punya kekuatan untuk menempuh cabaran yang mendatang. Terima kasih kepada semua sahabat yang sentiasa menyokong diri ini menjadi saya yang sekarang :)


Tuesday, October 15, 2013

Tadhiyyah manifestasi tarbiyyah

Alhamdulillah, kali ini diberi peluang untuk beraya aidil adha di perantauan, kali kelima. Berbeza sedikit kali ini, kami masih dalam waktu cuti, belum ramai sahabat yang pulang ke Mesir. Apa pun, kemeriahan beraya tetap berasa bersama sahabat-sahabat yang sudah berada di sini.

Seperti biasa, paginya, akan berkumpul di Bangunan Mara di Iskandariah, untuk solat sunat aidil adha dan mendengar khutbah. Kalau orang arab akan solat awal lagi, kami budak melayu, lewat-lewat sedikit. Dengar khutbah melayu, in sha Allah input difahami.

Dan seperti biasa akan diulang cerita mengenai kisah pengorbanan Nabi Ibrahim sekeluarga, dari kisah seorang ayah yang patuh dengan perintah Allah, meninggalkan isteri dan anak yang masih kecil, yang disayangi, di padang pasir yang kontang, sehinggalah baginda kembali dengan perintah Allah untuk menyembelih anaknya itu.

Bagaimana kuatnya iman Nabi Ibrahim, menjalankan perintah Allah untuk mengorbankan anak yang sudah lama ditinggal, datang untuk mengambil nyawanya.

Bagaimana patuhnya Nabi Ismail, dalam usia yang masih muda, reda dengan ketentuan dari Allah, memahami suruhan Yang Maha Esa.

Bagaimana redanya Siti Hajar, merelakan diri ditinggal bersama anak di tempat yang tandus, dan membesarkan anaknya, hingga menjadi seorang yang begitu patuh.

Kisah yang biasa didengar, namun bak kata seorang ustaz, sirah nabi, walau banyak kali diulang, akan ada pengajaran yang akan kita dapat, akan ada info baru yang kita terima.

Dan kali ini tersentak dengan kata ustaz, "Kuatnya Nabi Ibrahim yang sanggup meninggalkan keluarga, walaupun baru bernikah dan anak masih kecil, di tempat yang tiada sesiapa pun, padang pasir yang tandus".

Bukan ingin membandingkan dengan situasi sekarang, dengan iman para nabi, tapi lihat diri kita, insan yang imannya biasa-biasa, senipis kulit bawang.

Risaunya ingin membiarkan anaknya belajar di bumi Mesir, ardul kinanah, dalam keadaan politik yang tidak stabil. Seorang anak yang sudah besar, dalam kelompok masyarakat yang saling membantu dengan bahan keperluan asas yang masih dalam capaian.

Jauh benar kalau dibandingkan dengan kisah pengorbanan agung itu. Memang tidak layak dibandingkan pun. Terasa diri kecil, malah besarnya jiwa Nabi Ibrahim sehingga sampai tahap itu sanggup berkorban.

Itulah namanya pengorbanan, benda yang kita sayang sangat, tapi perlu dilepaskan. Tak bermakna sebuah pengorbanan andai benda tu memang kita nak buang, dah tak perlukan.

Bak kata ustaz pagi tadi, kalau kita ingin membuat korban binatang, sebaiknya kita bela terlebih dahulu, jaga haiwan itu baik-baik, hingga timbul perasaan sayang dan belas kasihan, barulah haiwan itu disembelih. Mengorbankan benda yang kita sayang.

Itu bukti tarbiyyah seseorang, didikan dari kefahaman agama sehingga mampu melahirkan insan yang mampu berkorban di jalan Allah.

Kuatkan diri untuk menerima tarbiyyah, moga kita dipilih Allah untuk berjihad dan berkorban untuk menegakkan syiar agama-Nya.

Cuti semakin pendek. Buat pertama kali, university mengeluarkan slip keputusan peperiksaan setelah empat tahun. Semoga diberi kerajinan untuk belajar dengan lebih baik, memahami sedalamnya ilmu yang diceburi, bekerja dengan lebih kuat, menyumbang untuk ummah.

Kerana sejauh mana kita sanggup berkorban, itu bukti didikan yang kita terima. Tak kira di bumi mana, di university mana. Dan orang yang menerima tarbiyyah punya kekuatan untuk memberi tadhiyyah.



P/s: tajuk diambil sempena tema program aidil adha di Mesir. Besar maknanya untuk mereka yang merasai :)




Monday, October 14, 2013

holiday in egypt?

Alhamdulillah, masih diizinkan untuk berada di ardul kinanah.Setelah banyak perkara yang berlaku, melibatkan politik mesir sehingga menjejaskan pengajian pelajar yang menuntut di bumi mesir, alhamdulillah, jodoh saya masih kuat di sini. semoga rakan-rakan yang lain dipermudahkan urusan dan diberikan kekuatan menghadapi ujian.

Tetap pulang ke mesir seperti dijadualkan, sudah 2 minggu berada di sini. Tak banyak yang dapat dilakukan, kelas masih belum bermula, cuma banyak 'merehat-rehatkan' diri sementara masih tidak disibukkan dengan jadual yang padat.Cuba memaksa diri membaca buku-buku sampingan, tak mengapalah beberapa helai pun memadai.

Sempat mengambil angin laut, menikmati keindahan Laut Mediterranean. Memang tak jemu dipandang, "Alex memang fotogenik"- quoted.

Dan setelah sekian lama, baru berpeluang untuk mandi laut. Seronok, bersantai dan berpiknik..:)

Piknik di Pantai Ma'mourah

Alhamdulillah, keadaan di sini baik-baik sahaja. Tak banyak yang berubah. Penduduknya masih meneruskan kehidupan seperti biasa. Dan sekarang kemeriahan Aidil Adha semakin terasa.:)

Beberapa ekor kambing yang di'kandang'kan di tepi jalan, menanti untuk dikorbankan pada Aidil Adha. Gambar ini diambil seminggu sebelum beraya dan sehari sebelum raya, ada unta pula :)
 Hari ini sudah 9 Zulhijjah, esok kali kelima beraya Aidil Adha di perantauan. Mengambil keberkatan Hari Arafah dan cuba beramal dengan hadis ini:

Daripada Abi Qatadah al-Ansari bahawa Rasulullah S.A.W telah ditanya mengenai puasa hari Arafah? Maka jawab Rasulullah S.A.W yang artinya: Dikaffarah (ampun dosa) setahun lalu dan setahun akan datang. (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

Nabi pun galakkan kita untuk banyak berdoa.


Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda,
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ .

“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu”. [HR. Tirmizi no. 3585. “Hasan”].

Tak banyak idea yang dapat dikeluarkan. Nampaknya, memang kalau bercuti, agak 'slow' sedikit. Memang nak istiqamah memang susah. Mengharap dapat menulis lebih baik selepas ini..

Monday, September 2, 2013

Forensic Department.

Alhamdulillah.

Hari ni sudah masuk minggu kedua membuat elective posting di HKL. Berada di Forensic Department, banyak perkara yang dapat dimuhasabahkan sebenarnya. Ikutkan saya target nak cari clinical experience dengan buat attachment di Malaysia, biasakan diri dengan sistem di hospital tempatan di sini, dengan pesakit dan banyak lagi perkara yang sepatutnya saya tahu.

Tapi, Allah letak saya untuk berada di sini. Hikmahnya hanya Dia yang tahu. Tapi tak sepatutnya saya lepaskan peluang untuk belajar sesuatu. Berada dengan doktor yang bekerja hari-hari, yang sangat supportive, kami sangat beruntung sebenarnya.

Ada apa dengan Forensic ni?

Lainnya bidang ini berbanding cabang perubatan yang lain ialah, kami berurusan dengan mayat yang sudah tidak bernyawa lagi. Yang tiada apa-apa perkara yang nak diadukan atau dirawat. Cuma dia berada di meja autopsy untuk mencari punca kematian (Cause of Death).

Kata doktor yang melakukan bedah siasat, " Kalau case kita ni, patient tak boleh nak complaint, kita tak boleh nak ambil history taking, jadi statement dari report, cerita dari polis, saksi, ahli keluarga sangat penting untuk guide kita untuk cari cause of death.

Banyak sudah case yang saya jumpa sepanjang seminggu berada di sini. Dan hari ini, paling banyak, 6 cases untuk waktu pagi sahaja. Dan kebanyakannya meninggal disebabkan kemalangan jalan raya, atau kes sakit jantung.

Melihat jasad yang tidak bernyawa lagi setiap hari, banyak perkara yang bermain di fikiran. Doa semoga kita mendapat kematian yang baik acapkali dilafazkan setiap kali teringat. Manusia semua sama sahaja, bila nyawa diambil, tanpa mengira kedudukan dan pangkat sudah tidak mempu membuat apa-apa lagi. Entah bagaimana nasib di alam yang menanti.


اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة

“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khatimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khatimah (akhir yang buruk)”

Saya juga teringat kata-kata seorang professor yang mengajar subjek ini. Yang menekankan untuk membuat kerja sebaik mungkin walaupun dia sudah tidak bernyawa, tidak mampu menuntut haknya lagi, tapi atas dasar tanggungjawab kita, kerana takut dipersoalkan di akhirat kelak, kita usaha sebaiknya walaupun mayat seorang bayi yang baru beberapa hari bernafas di muka bumi, yang tiada nama, atau mungkin tidak diketahui siapa ibu ayahnya. Kerana kita tak tahu darjat seseorang itu disisi Allah.

Otak yang boleh berkarat waktu musim cuti begini. Soalan anatomy yang simple pun terkebil-kebil nak jawab. Padahal specimen depan mata, peluang emas nak study betul-betul.

Perjalanan ini masih jauh. Masih banyak yang perlu dipelajari. Jangan malas :)

P/s: Tahniah kepada sahabat-sahabat yang mendirikan rumah tangga. Banyak pula dengar surprise dari sahabat satu batch. Barakallahu lakum.




Tuesday, August 27, 2013

summer holiday

Alhamdulillah, atas semua kurniaNya.

Entah mengapa ketiadaaan idea ingin menulis di sini.

Singgah sebentar, mencoret diari bulan lapan, yang hampir sampai ke penghujungnya.

1 Ogos 2013

Selesai kertas terakhir untuk semester kali ini. Tak seperti kertas sebelumnya, keputusan terus keluar seusai menjawab soalan di skrin komputer. Berbagai reaksi sahabat dapat dilihat. Apa pun, kita hanya mampu berserah kepada Allah untuk keputusan yang terbaik.

5 Ogos 2013

Mendarat di Malaysia, malam baru tiba di rumah. Terus berkemas untuk bertolak ke kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan keesokannya. Dan sekali lagi, malam juga baru sampai ke destinasi, dek kesesakan lalu lintas musim perayaan.

8 Ogos 2103

Ramadan berlalu pergi, Syawal pula menjelang. Perasaan bercampur baur, serasa tidak cukup bulan tarbiyah untuk mendidik iman sebagai bekalan sepanjang tahun. Semoga ketemu dengan Ramadan lagi tahun hadapan.

Syawal di kampung halaman sentiasa meriah dengan kehadiran sanak-saudara yang lama tidak bersua. Peluang inilah yang diguna untuk bertemu wajah, bertanya khabar, menyambung ikatan dan merapat ukhuwah.

24/25 Ogos 2013

Alhamdulillah, selesai juga program Next Ultimate Generation Symposium (NexUS) yang diusahakan sejak 3 bulan yang lepas. Bekerja dalam fatrah imtihan, dengan sahabat dari luar muhafazah, banyak perkara yang dipelajari. Input yang sangat bermanfaat dari pengisi yang hebat adalah satu perkara yang tak seharusnya disia-siakan.

26 Ogos 2013

Mula buat attachment di Forensics Department di HKL. Nampaknya, belum rezeki kami, tidak berpeluang melihat apa-apa case setakat ini. Perlu yakin, perancangan yang terbaik yang Dia sediakan untuk kami.

Dan sepanjang tempoh ini, hati bergolak dengan keadaan yang berlaku di negara kedua, Mesir tempat menuntut erti kehidupan. Tidak sanggup rasanya jika terpaksa belajar di tempat lain. Semoga Allah memberikan kemenangan kepada saudara di pihak yang benar di sana.



Sunday, July 28, 2013

Syukur

Alhamdulillah, selesai sudah menjawab Kertas Community Medicine hari ini. Nampaknya, kebanyakan blog saya akan diupdate selepas berjaya melepasi peperiksaan. Tak mengapalah, kalau tak mampu buat semua, kita jangan tinggal langsung.

Musim peperiksaan yang memaksa diri untuk memerap dalam rumah, menyebabkan tiada idea untuk menulis. Masih belajar mencari perkara yang bermanfaat untuk menulis.

Hari ini 19 Ramadan sudah, hampir masuk fasa ketiga bulan barakah ini. Fasa yang ditunggu, betapa ingin dikejar Lailatul Qadar. Semoga momentum kita bertambah baik untuk meningkatkan amalan dan ibadah kepada-Nya.



Tiba-tiba rasa ingin bercakap tentang syukur. Entah mengapa, terkesan dengan dua scene oleh dua kawan yang berbeza. Satunya sudah lama berlaku, satu lagi masih baru-baru ini, tetapi dua-duanya membuatkan saya terpukul sebentar.

Situasi 1:

Baru sahaja mendapat tahu keputusan peperiksaan semester satu. Berbagai-bagai reaksi dapat dilihat di dewan kuliah, sementara menunggu professor memulakan syarahan.

Saya duduk sebelah seorang sahabat, yang hebat dalam caranya yang tersendiri saya kira.

Saya: Macam mana result, ok tak? Ok je kan?
Beliau: Ok, Alhamdulillah..senyuman dilemparkan.

Balik rumah, sempat melihat sepintas lalu result sahabat-sahabat secara keseluruhan. Dan, beliau yang saya tegur, markahnya cukup-cukup untuk lulus, kurang satu, terpaksa mengulang musim panas nanti. Dan, mengenang beliau, yang mengucapkan syukur, dapat saya rasakan betapa ucapan itu lahir dari hati. Menampar diri sendiri yang kadang-kadang masih iri hati melihat result rakan lain yang lebih cemerlang.

Situasi 2:

Bersembang-sembang dengan rakan tentang result end-round yang baru diperoleh. Biasalah, akan kita bandingkan dengan group yang lepas.

Saya: Macam mana result? Mesti ok je kan?
Dia: Group kita orang teruk sikit. Si A yang score selalu pun dapat sikit je. Macam mana la Si B dari group lain tu salah tiga je. Kita punya markah pun teruk.

Entah kenapa, rasa terkedu sekejap mendengar reaksi tu. Mungkin biasa je berlaku, tapi kali itu rasa dia lain. Ada yang tidak berpuas hati dengan markahnya yang dikira sangat baik kalau dibanding dengan orang yang biasa-biasa sahaja. Yang saya kira, kalau sahabat di situasi A dapat tadi, dia akan sangat bersyukur. Betapa rasa syukur itu mahal. Dan darjat syukur itu berbeza barangkali. Bukan semua orang dapat. Orang yang biasa kena ulang exam, akan rasa sangat bersyukur kalau dia dapat lepas subjek tu, walaupun markah cukup-cukup makan. Tapi yang dapat markah cemerlang, ada juga yang rasa, ala sikit lagi nak dapat markah penuh.

Bukan saya nak kata orang di situasi kedua tak bersyukur dengan markah dia. Tapi, entah, kadang-kadang rasa syukur itu bukan semua orang dapat. Sebab itu Allah banyak kali sebut, sedikit sangat hamba-hambaNya yang bersyukur. Bila orang ingatkan kita untuk bersyukur, masa tu baru istigfar, dan ucap alhamdulillah. Muhasabah diri sendiri, rasa syukur kita di tahap mana?

Analogi mudah orang pesan, kalau lepas exam, kita mesti kesalkan, satu soalan yang kita tak boleh jawab. Sedangkan banyak lagi soalan lain yang boleh jawab.

Tapi, kita tak boleh juga terlalu merasa cukup dengan apa yang ada. Kalau semua fikir macam tu, bila kita hendak maju. Mesti sentiasa berusaha untuk mencapai lebih demi kecemerlangan umat Islam. Cantiknya Islam mengajar kita untuk bersederhana.

Dan ada juga orang pesan untuk bersyukur atas rasa syukur. Bersyukurlah kita dikurniakan perasaan syukur. Kerana itu pun Dia yang beri. Dan semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang bersyukur.

Bersyukur di atas nikmatNya yang tidak terhitung.

Gambar diambil dari tingkat atas masjid bahagian perempuan semasa solat tarawih berdekatan rumah. Orang arab ni semangat sambut Ramadan, gantung lampu dan tanglung. :)


Satu lagi subjek yang tinggal. Orthopedics. Semoga Allah mudahkan baki perjuangan kami, dalam masa memanfaatkan Ramadan yang tinggal di bumi Barakah.

Thursday, July 18, 2013

Ramadan


Alhamdulillah, selesai kertas pertama, General Surgery untuk peperiksaan final. Masih berbaki 3 lagi subjek yang menuntut usaha yang bukan sedikit. Dan kali ini, kami menjalani peperiksaan dalm bulan Ramadan, bulan yang berkat.

Kehabisan idea untuk mencurah kata, cuma ingin mengabdikan satu tazkirah ringkas yang dikongsi seorang sahabat ketika dalam dewan kuliah. Memberi makna yang besar buat hati-hati yang mengharapkan keampunan dari Yang Maha Esa.


Allah, betapa Dia muliakan orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadan lebih dari yang lain walau sekali. Ikutkan berbeza amalan yang dilakukan, tapi kerana keberkatan bulan Ramadan itu sendiri, dia dibenarkan untuk memasuki pintu syurga dahulu.

Sama-sama kita mengambil ibrah. Jadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan tarbiyah untuk kita. Jangan hanya momentum hanya terhenti bila Syawal menjelang, seharusnya kita cuba istiqamahkan diri sepanjang tahun.